Isnin, 23 Februari 2015

HANTARAN MAHAL?

"Setiap orang mahu mendirikan rumah tangga yang bahagia. Mempunyai pasangan yang baik, penuh dengan kasih sayang, memahami dan mencintai kita sepenuh hati. Untuk membina rumah tangga yang diingini haruslah bermula dengan perkahwinan. Namun di zaman sekarang, wang hantaran dan untuk majlis perkahwinan sangat tinggi kadangkala tak termasuk dek akal. Hal ini memberi satu tekanan pada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga.
Apakah sebab ibu bapa zaman sekarang meletakkan hantaran yang begitu tinggi untuk anak perempuan mereka? Adakah itu dianjurkan di dalam Islam? Ya, sudah tentu tidak kerana di dalam Islam, lebih elok kita permudahkan urusan perkahwinan. Jangan dibebankan pihak lelaki."

Ok, cukup dengan mukadimah yang macam artikel surat khabar ni. Isu yang aku nak merepek kali ni sebenarnya bukanlah mengenai hantaran sebenarnya, tapi ada kaitan sikit pasal hantaran. Macam mana tu?Sekarang, bila kita tengok di facebook dan twitter umumnya, banyak kita tengok orang share atau update status mengenai hantaran perkahwinan yang sangat mahal. Ayat yang tak boleh blah, "Wahai ibu ayah, turunkanlah hantaran untuk anakmu untuk bla..bla..bla.." Atau kalau ada kes orang muda dalam umur awal 20-an atau kahwin masa belajar kat universiti lagi, ramai pakat dok share. Atau kalau ada yang kahwin dengan hantaran yang murah-murah, mesti ada yang share selalunya konon nak bagi contoh dan mengharapkan hantaran yang lebih murah.

Apa yang menariknya di sini, kebanyakan (tak semua) yang share benda-benda macam ni adalah orang yang dah ada kekasih hati. Senang citer tengah hangat bercouple. Dan yang menjadi benda ni semakin lawak ialah bila mereka menggunakan hukum hakam agama, hadis-hadis Nabi SAW, kata-kata dari ustaz, ulama, sampai ada sekali tu siap ambil contoh Imam Syafie kahwinkan anak lelaki dia yang umur belasan tahun (tak tau cerita ni betul ke tak).

Tak salah untuk kita menasihati atau menyedarkan masyarakat Islam sekarang yang suka letak harga hantaran yang tinggi. Dan tak salah juga untuk menggunakan kata-kata agama atau hadis yang memang sahih untuk menyedarkan masyarakat. TETAPI, harus diingat, tiada istilah bercinta sebelum kahwin di dalam Islam. Bila korang kata nak kahwin cepat untuk hindari zina, sedangkan korang sendiri yang biarkan diri korang terjerumus dalam lembah couple yang sebenarnya mendekati zina, apakah itu?

Korang makan dengan GF/BF korang sama-sama, berdua kat restoran. Jalan sama-sama. Ada yang lagi teruk sampai pegang-pegang tangan. Kalau jenis yang tak pegang, duduk rapat, dan kadang-kadang 'terpegang'. Dan kemudian korang update status bahawa sesungguhnya bla..bla.. keluar hadis nabi, ayat-ayat dari ustaz semua laa.. Dan ada yang lebih biadap keluar ayat "Anak perempuan anda pakai pakaian ketat, biar lelaki ajnabi sentuh sesuka hati dan anda minta hantaran yang tinggi.." 

Memang bagus untuk pengajaran, tetapi bagi aku sangat kurang ajar bila dia kata macam tu.
Aku tau aku pun bukanlah orang yang jaga ikhtilat sangat. Kalau baca post kat Tarbiah Sentap tu bila sentuh pasal ikhtilat memang aku orang yang paling cukup tersentap la. Jadi ini untuk ingatan kita semua la.Bukan tak betul apa yang korang share, tapi sebenarnya isu sekarang ni, korang seolah-olah menggunakan agama untuk kepentingan diri. Sedangkan korang sendiri sedar akan hakikat bahawa couple itu haram. Kita semua bukanlah insan yang sempurna tapi tak salahkan menuju ke arah kebaikan sama-sama. Tipu kalau kata aku tak pernah ada crush, tapi tak perlulah nak dilayankan sangat. Kalau subuh pun entah ke mana, lepas tu ada hati nak suruh mak ayah buat kahwin ikut sunnah yang simple dan murah, memang tak laa... Memang kahwin ikut sunnah Nabi tu sangat digalakkan, tapi harap maklum, banyak lagi amalan yang lebih dituntut untuk kita amalkan. Contohnya, sembahyang Subuh berjemaah. Ia sangat-sangat dituntut dalam Islam. Ok, itu nanti kita citer eh.. macam dah melalut je. Apa-apa pun jom kurangkan dosa tambahkan pahala.. huhu

ps: aku memang sengaja buat tajuk camtu, padahal nak tegur pasal benda ni je pun.. hehehe.. harap maaf..

Ahad, 15 Februari 2015

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU?

Bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan di Malaysia adalah Bahasa Melayu. Tidak perlu untuk kita nafikan perkara tersebut. (ada ke yang menafikan?) Secara umumnya, kita rakyat Malaysia yang menetap di Malaysia banyak menuturkan bahasa melayu dalam dialek yang berbeza berikutan setiap negeri ada dialek masing-masing. Meskipun ada kaum lain, namun kadangkala, apabila bercakap dengan orang Melayu mereka akan menggunakan Bahasa Melayu walaupun ada yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Begitu juga sesama Melayu. Kenyataan yang kita semua harus terima adalah bahawa sesungguhnya ada sebahagian malah boleh aku katakan sangat ramai sekali orang-orang Melayu kita berborak dalam Bahasa Inggeris dalam keadaan tidak formal. Kalau nak ditambah dengan keadaan yang formal, memang sangat ramai. Kenapa ini semua boleh terjadi.
Berdasarkan pendapat aku, (seorang pelajar biasa yang belum puas mengenal erti kehidupan) semua ni terjadi kerana Bahasa Melayu sudah hilang taringnya. Rasanya tak perlulah nak aku singkap balik sejarah yang satu ketika dulu Bahasa Melayu merupakan bahasa perdagangan semua tu. Atau nak cakap bahawa ramai orang luar yang berminat nak belajar Bahasa Melayu sedangkan kita orang Melayu ada yang malu nak cakap Bahasa Melayu.
Selepas kedatangan penjajah, Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi dan dianggap bahasa yang membezakan orang yang berpelajaran dengan orang yang kurang berpelajaran (maksudnya tahap pengajian sampai universiti atau setakat sekolah melayu). Masa tu, siapa yang boleh berbahasa Inggeris memang dipandang tinggi dan dihormati. Malah selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan keadaan ini berterusan hingga ke hari ini. Mungkin ada yang tak nampak sangat masalah ni sebab, keadaan sekeliling. Tapi kalau kita tengok dekat kawasan bandar besar macam Johor Bharu dan Kuala Lumpur, seolah-olah masalah ini nampak ketara.
Menara Berkembar Petronas kita tak panggil singkatannya sebagai MBP tetapi KLCC (Kuala Lumpur City Centre). 1M4U singkatan dari (One Malaysia for Youth). Banyak lagi nama-nama yang kita guna bahasa Inggeris sebagai singkatan sedangkan kita berpijak di bumi Malaysia, bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu, tetapi mengapa masih banyak guna Bahasa Inggeris?
Aku ambil satu situasi yang pernah aku alami. Pernah sekali aku pergi restoran western. Pelayan dia sampai kepada cashier semua orang melayu. Dan pelanggan boleh katakan ramai yang melayu. Tetapi dapat kita tengok ada yang menggunakan bahasa inggeris untuk memesan makanan. Bagi yang tak kisah memang tak rasa apa-apa, tapi pada aku, sangat sakit hati aku dengar. Seolah-olah kalau cakap dalam Bahasa Melayu tak ada standard langsung.
Situasi kedua yang lebih memeranjatkan ialah kat tempat kerja aku masa habis SPM dulu. Aku bekerja di sebuah kedai buku sekolah swasta. Sekolah swasta tu ada pelajar antarabangsa dan ramai juga pelajar Melayu. Bagi aku kalau diorang cakap bahasa inggeris kat kelas atau dengan pelajar antarabangsa tak ada la yang peliknya. Tapi yang sangat memeranjatkan bila ada seorang budak dalam darjah empat macam tu. "I want to buy books.. (agaknya la books aku tak ingat dia nak beli apa masa tu). Lepas tu aku tanya "Nak berapa?" Budak tu diam. Ingatkan pelajar luar, rupanya budak Melayu, cuma dia tak ada 'keyakinan' nak cakap Bahasa Melayu. Itu yang salah seorang pekerja kat situ cakap.
Memang perkara ini hanya terjadi dalam kalangan elit Melayu, tapi kalau dah Melayu tetap Melayu. Kalau nak agung-agungkan sangat bahasa luar silakan, tapi tak perlu la sampai didik anak sampai tak berani bertutur dalam Bahasa Melayu.
Jadi persoalannya di sini, sehebat manakah Bahasa Melayu itu sampai aku nak agung-agungkan? Jujur aku katakan, Bahasa Melayu merupakan bahasa yang biasa. Bukanlah bahasa saintifik. Bukanlah bahasa perdagangan pada masa sekarang. Bagi aku pada masa sekarang Bahasa Melayu umpama bahasa ibunda yang hanya dituturkan sesama kita malah tak salah kiranya jika aku katakan hanya dituturkan sesama bangsa Melayu selalunya. Kalau kita perhati betul-betul, berapa ramai yang bercakap dalam Bahasa Melayu dengan kaum Cina dan India?
Di mana silapnya? Tak perlulah kita nak membuka cerita lama bahawa satu ketika dahulu Bahasa Melayu merupakan lingua franca, bahasa perdagangan di Asia Tenggara. Harap maklum, itu perkara yang dah berlalu beratus tahun lamanya. Sekarang, kalau tak reti cakap Bahasa Inggeris, susah nak kerja. Hakikatnya, kita memerlukan kemahiran dalam Bahasa Inggeris itu sendiri untuk kita mendapat kerja yang bagus, gaji yang lumayan dan kewangan yang stabil. Kerana Bahasa Inggeris digunakan hampir di seluruh dunia. Bahasa Inggeris digunakan untuk kita maju ke hadapan seiring kebanyakan negara-negara maju yang lain.
Malah sekarang kalau nak dapatkan segulung ijazah ada tahap tertentu yang perlu kita capai dalam MUET (Malaysian University English Test).
Timbul pula idea kenapa kalau ada ujian MUET untuk Bahasa Inggeris, tak nak buat untuk Bahasa Melayu? Cadangan yang bagus juga pada aku sebenarnya. Pendapat yang lain aku tak tahu la.


ps: banyak pulak aku merepek kali ni, maaf andai tak faham atau membuang masa korang semua. Tapi suka hati aku la, ni blog aku. Hahaha

Ahad, 1 Februari 2015

SWITCH OFF YOUR PHONE AND START A CONVERSATION

Pada era moden ini, internet boleh dianggap satu keperluan. Rasanya tidak salah jika aku katakan bahawa hampir seluruh rakyat Malaysia hidup dengan internet sekarang. Ya, tidak dinafikan masih ramai yang tiada kemudahan internet di rumah. Tapi sekarang majoriti ada smartphone, yang boleh berhubung internet dengan menggunakan kredit. Malah ada pelan data dan seumpanya. (maaf aku orang zaman batu, takde smartphone, jadi tak tau la benda-benda macam ni).
Jadi untuk sekian kalinya, aku sendiri pun tak tau apa yang aku merepek ni. Nak cerita pasal generasi sekarang yang tak boleh hidup kalau tak ada internet? Hrmm... kat mana nak mula eh?
Aku mulakan di tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Alhamdulillah, aku dibesarkan di Ulu Klang, Kuala Lumpur/Selangor (jujur aku tak tau nak letak aku kat negeri yang mana satu). Hidup kat KL ni boleh kata kena selalu updated la. Kalau tak ketinggalan zaman la jawabnya. Tapi masih ada segelintir anak KL yang sebaya dengan aku (mungkin tiada lagi) yang tak updated sangat atau ketinggalan zaman. Salah satu contoh yang terbaik adalah AKU.
Aku mengenali atau lebih tepat, hidup dengan internet pada usia 16 tahun (tahun 2011). Masa tu, mak aku beli laptop dengan broadband. Wahh, memang seronok la jugak time tu. Oh, mesti ada yang expect aku ni datang dari keluarga yang susah. Alhamdulillah aku datang dari keluarga yang sederhana. Lengkap segala-galanya. Kalau nak makan apa-apa sebut je, mesti dapat. Kira ok la tu.
Walaupun dah ada internet, masa tu mak aku hadkan la penggunaan internet. Alaa, family lain pun mesti buat benda yang sama kan. Takde laa nak dihairankan pun. Cumanya apabila masa terus berlalu, internet makin berkembang, dan kini ramai yang mula menggunakan smartphone sedangkan aku tidak, membuatkan kadangkala timbul rasa cemburu. Namun entah mengapa aku merasakan itu bukan lagi satu keperluan untuk aku.
Kadangkala aku juga berasa bimbang seandainya aku menjadi seperti mereka yang lain. Hidup menghadap phone 24 jam. Ya, memang sebenarnya normal, tapi aku teringin nak hidup di zaman tiada phone. Zaman di mana menulis bukan di komputer. Zaman di mana kita berutus menggunakan surat. Aku ingin hidup zaman macam tu. Mungkin aku orangnya layak duduk di kampung-kampung, tapi orang kampung sekarang pun dah maju.
Generasi sekarang layak sahaja digelar sebagai generasi internet dan aku tau mereka bangga dengan gelaran itu. Tetapi aku sedih kerana internet, suatu medium untuk kita merapatkan hubungan, menjadi medium yang juga menjarakkan hubungan. Medium di mana fitnah semakin berleluasa. Medium di mana, menjadi punca berlakunya perceraian suami isteri. Aku tau, bukan salah internet, tetapi salah orang yang menggunakannya.
Apabila kita berjumpa dengan kawan-kawan lepak sama-sama. Kadang-kadang, semua akan buka phone dan mulalah, chat, whatsapp, main COC dan sebagainya. Sebenarnya, tak semua macam tu, tapi kalau dah masa lepak tu semua buat macam tu, kita pun ikutkan je la kan. Kadang-kadang perkara macam ni menjadikan, hubungan sesama member tu tak meriah. Meriah cuma di whatsapp, facebook, tapi realitinya, senyap diam seribu bahasa.
Namun, siapalah aku untuk menentang atau mengkritik budaya baru manusia kini. Aku juga hanyalah insan biasa yang memerhati. Yang mungkin satu hari nanti menjadi seperti mereka. Namun apa yang aku mampu merepek adalah, "Switch off your phone and start a conversation.." Dan aku akan merepek benda selagi aku mampu. Terpulang kat korang semua nak kata apa. Sebab aku belum jadi macam korang. Belum ada alat komunikasi canggih macam korang. Kerana mungkin aku merasakan aku belum bersedia untuk itu. Jadi sekali lagi aku berkempen (wahh bajet kempen gitu..)
"SWITCH OFF YOUR PHONE AND START A CONVERSATION" ^_^

ps: cek bape kali sebab takut silap eja 'Conversation' jadi 'Conservation' hahahaha..

Selasa, 20 Januari 2015

JAWI ATAU RUMI? BAHAGIAN 3

[Bahagian 3-
Di bahagian yang lepas aku dah merepek sikit-sikit tentang kesedihan aku bila tengok tulisan jawi ni dipinggirkan. Dan aku bertanya kepada diri aku dan kepada anda semua yang membaca tentang peranan yang boleh kita mainkan dalam mempertahankan tulisan jawi ini sebagai salah satu warisan dunia Melayu. Di bahagian 3 ini, aku tak nak huraikan tentang peranan kita semua tu. Aku cuma nak pergi kepada sebuah kesimpulan.
Jujur aku katakan, tergeraknya hati aku ni nak tulis tentang tulisan Jawi ini adalah ketika pagi subuh Selasa 20 Januari 2015. Dan aku mula menulis tentang tulisan Jawi ni sehingga ke Bahagian 3 ini dengan lintang pukang dan tak teratur. Merepek dan merepek. Tapi kalau tak merepek, nanti sampai ke sudah aku tak tulis. Dan aku pun mula merepek.
Baik, kembali kepada kesimpulan.
Kesimpulannya, pada pendapat aku, walaupun pahit, aku terpaksa menerima hakikat bahawa dalam 100 atau 200 tahun lagi mungkin tulisan jawi akan dilupakan dan pupus sepertimana pupusnya tulisan rencong. Mungkin ada yang bertanya apakah aku mengalah? Bagi aku, tiada makna untuk kita kekalkan tulisan yang di mana penggunaannya hanyalah sekadar untuk mengekalkan warisan. Jika 200 tahun akan datang tulisan jawi masih lagi digunakan, aku nak tanya, dalam bidang mana atau ketika mana ia digunakan selain untuk menterjemah kitab-kitab pada zaman dahulu? Mungkin akan datang para sejarawan yang belajar tulisan jawi ni sepertimana ada yang belajar tulisan Rencong dan tulisan Mesir Purba.
Namun tidak salah kiranya jika kita wariskan tulisan jawi ni kepada anak-anak kita. Mungkin tidak memberi apa-apa makna, tetapi sekurang-kurangnya biarlah generasi kita tahu bahawa wujudnya tulisan Jawi yang telah digunapakai ratusan tahun lamanya.
Ingatlah bahawa kita pernah membunuh tulisan rencong satu ketika dahulu, jadi tidak mustahil kita bakal membunuh tulisan jawi kerana kita sedang membunuhnya sekarang sedikit demi sedikit tanpa kita sedar. Jika dahulu kita membunuh rencong kerana mahu menggunakan istilah Islam dengan lebih mudah, lalu apakah alasan kita dengan membunuh Jawi? Kerana mahukan kemajuan dan dipandang tinggi oleh masyarakat luar?
Sama-samalah kita renungkan. Jujur aku katakan, aku sendiri tak nampak apa rasional aku tulis benda ni, tetapi sekadar mahu berkongsi sebuah kesedihan akan nasib tulisan Jawi. Jujur aku katakan aku tidak tahu sebab aku begitu menghargai tulisan ini. Mungkin aku sekadar meminatinya. Namun aku sendiri tidak mahir jawi. Jadi wajarkah untuk aku berkongsi kesedihan akan nasib tulisan jawi ini? Aku akan cari jawapan itu nanti. Tetapi apa-apa pun hidup perlu diteruskan. Terpulang kepada anda semua yang membaca untuk menganggap tulisan ini seperti sampah yang tidak bernilai kerana susunan kata yang lintang pukang dan isi yang mengarut. Tetapi ini sekadar luahan isi hati yang tidak ditulis dengan betul oleh saya yang baru mencuba di dalam bidang penulisan.
-Sekian-

TULISAN JAWI ATAU RUMI? - BAHAGIAN 2

[Bahagian 2 - Buta Jawi]
Sekadar untuk makluman, tujuan utama aku menulis mengenai perkara ini adalah untuk meluahkan sedikit rasa sedih untuk menerima kenyataan bahawa nasib tulisan jawi yang semakin dipinggirkan. Maaf andai bahasa yang tunggang terbalik dan berbelit. Dan maaf andai ada yang terasa atau terguris hati bila membaca tulisan ini.
Pada masa sekarang, kita dapat lihat bahawa tulisan rumi sudah digunakan dengan meluas dan semakin ramai yang tidak reti untuk membaca tulisan jawi. Berapa ramai antara kita sekarang yang boleh membaca tulisan jawi dengan lancar? Aku akui, aku pun kadang-kadang merangkak-rangkak nak baca. Maklumlah, dah lama tak baca.
Tetapi suka untuk aku kongsi betapa sedihnya hati aku bila ada di antara sahabat-sahabat kita yang tak reti baca jawi. Aku tau akan ada yang terguris mengenai kenyataan ini tapi itulah realitinya.
Macam yang kita semua tahu, Buku Teks, Pendidikan Islam kita dari Darjah 1 sampai Tingkatan 5 semua dalam Tulisan Jawi. Tapi kita semua juga tahu, kita ada buku rujukan Pendidikan Islam di dalam tulisan RUMI. Dan tanyakan kepada diri kita, berapa ramai yang merujuk buku teks yang dalam tulisan jawi masa tu? Mungkin akan ada yang bagi alasan "Ohh.. kan dulu kita pinjam buku. Jadi nak rujuk yang tahun lepas punya kenalah pakai buku rujukan.." Tapi masa buku teks ada dalam tangan pun jarang bukak buku teks Pendidikan Islam tu pun.
Bukanlah niat aku nak menidakkan keutamaan tulisan rumi dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi kita sudah ada banyak perkataan baru seperti 'Transformasi', 'Realiti', 'Paradigma' 'Akuarium' dan seumpanya. Ya, masih boleh dieja dalam jawi, tetapi sangat banyak huruf yang nak digunakan. Tambahan pula subjek Bahasa Melayu kita diajar dalam tulisan rumi meskipun dibenarkan untuk menjawabnya dalam tulisan jawi. (ada yang perasan tak kat kertas soalan dia tulis macam tu?) Lebih-lebih lagi apabila ada di antara kita yang tidak didedahkan dengan tulisan jawi sejak kecil.
Oh ya, mungkin ada di antara kita yang tak tau bahawa ejaan jawi yang kita gunakan pada masa sekarang, bukanlah ejaan yang digunakan pada zaman atuk-atuk kita dulu. Mungkin ada yang sering mendengar orang-orang tua mengeluarkan ayat macam, "Tulisan jawi sekarang macam budak-budak. Banyak sangat alif wau ya. Walau diejanya wau alif lam alif wau." Percayalah, jika anda kata tulisan jawi sekarang susah, tulisan pada zaman dahulu lebih rumit kerana mereka menggunakan sistem ejaan yang ringkas tetapi ia difahami oleh semua orang.
Bukanlah niat aku untuk menyalahkan mana-mana pihak mengenai perkara ini. Aku ulang, aku hanya sekadar ingin meluahkan kesedihan aku akan nasib tulisan jawi pada masa sekarang. Aku faham ada di antara kita yang tiada masa untuk belajar atau memperkasakan jawi masing-masing kerana kita sibuk belajar, kerja dan seumpamanya. Banyak tanggungjawab lain yang perlu kita pikul.
Kita tak boleh menyalahkan mereka yang tak reti baca jawi ni 100% kerana subjek tulisan jawi hanya diajar di sekolah agama. Mungkin kebanyakan dari kita yang mampu membaca tulisan jawi ini pernah sekolah agama di peringkat rendah. Tapi bagaimana mereka yang tidak ke sekolah agama kerana kurang berkemampuan? Kita juga tak boleh nak salahkan ibu bapa mereka kerana tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama kerana untuk ke sekolah agama memerlukan wang yang lebih. Ada yang kehidupan mereka melarat sehinggakan mereka hanya mampu menyara anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan sahaja. Di sekolah kebangsaan juga ada belajar jawi, tetapi tak masuk UPSR pun (masa aku upsr dulu laa..).
Lantas bagaimanakah caranya untuk kita memelihara tulisan jawi ini agar tidak pupus dan lenyap ditelan zaman? Apakah peranan kita? Adakah kita hanya mengharapkan usaha dan kempen dari kerajaan semata-mata?
[sambung ke Bahagian 3]

TULISAN JAWI ATAU RUMI? BAHAGIAN 1

[BAHAGIAN 1 - Sejarah Tulisan Jawi dan Rumi]
Sebelum orang-orang Melayu menggunakan tulisan jawi, sekurang-kurangnya tiga jenis tulisan pernah digunakan oleh orang-orang Melayu iaitu Rencong, Kawi dan Palava. Di antara ketiga-tiganya, hanya tulisan rencong sahaja merupakan tulisan yang benar-benar tulisan yang dihasilkan oleh orang Melayu tanpa pengaruh dari luar.
Setelah penyebaran Islam di Kepulauan Melayu, orang-orang Melayu Klasik cuba untuk terus menggunakan ketiga-tiga tulisan ini untuk menulis tentang Islam. Mereka mendapati ketiga-tiganya tidak sesuai kerana tidak mampu untuk merakam bunyi perkataan-perkataan baru dari al-Quran dan hadis secara tepat. Daripada mencipta atau menambah huruf baru, orang-orang Melayu Klasik telah mengambil keputusan untuk mengabaikan terus ketiga-tiga tulisan tersebut. Sebaliknya, orang-orang Melayu Klasik cuba mengeksperimennya ke atas huruf-huruf Arab dengan mengejanya dalam bahasa Melayu. Hasilnya, lahirlah tulisan Jawi yang berasaskan huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan dan digunapakai dalam sistem persuratan Bahasa Melayu Klasik.
Kemudian setelah kedatangan penjajah barat seperti British dan Belanda ke Kepulauan Melayu, tulisan rumi mula mengambil tempat menggantikan tulisan jawi meskipun sebenarnya pada ketika itu, masyarakat Melayu sudahpun mempunyai ejaan jawi yang lengkap (meskipun ada sedikit perbezaan). Dan tulisan rumi mula berkembang di Kepulauan Melayu dengan sehingga pada tahun 1963, satu akta yang dikenali sebagai 'Akta Bahasa Kebangsaan' diperkenalkan.
"9. Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan
syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu,
yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa
kebangsaan."
Lalu bagaimanakah nasib tulisan jawi pada ketika itu? Ya tulisan jawi mula dipinggirkan sungguhpun akta tersebut tidak melarang penggunaan tulisan jawi, tetapi mungkin dek kerana meluasnya penggunaan tulisan rumi menyebabkan tulisan jawi dipinggirkan. Sehinggalah pada tahun 1985, kerajaan mula menyedari akan kepentingan tulisan jawi sebagai 'Warisan Dunia Melayu', lalu mewajibkan pelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah agama. Banyak usaha dilakukan namun ia kurang berkesan kerana sudah ramai anak muda dan golongan dewasa yang buta Jawi.
[sambung ke Bahagian 2]

Rabu, 31 Disember 2014

PERUTUSAN TAHUN BARU.. (nak bajet-bajet sikit)

2015. Sebuah lembaran baru. Walaupun lewat setelah 10 jam berlalu dalam 2015 baru nak post. Sempena tahun baru masihi ini aku hanya berharap cerita yang lebih baik yang bakal kita sama-sama lakar pada tahun ini. Malam semalam aku buat apa? Duduk bilik dan pukul 12 malam laptop aku terpadam sebab terputus charger. New Year sangat.. hahaha..
Seperti yang kita semua tahu, tahun 2014 meninggalkan banyak kenangan buruk di samping kenangan gembira di negara kita mahupun dunia. Dimulai dengan MH370 hilang, kemudian diikuti kemarau, jerebu, catuan air. MH17 kena tembak, harga minyak naik (dah turun balik. yeaaa), soalan UPSR bocor, Gaza diserang lagi, dan baru-baru ni, QZ8501 dan banjir di Kelantan dan Pantai Timur secara umumnya.
Semua ini membawa kita semua kembali mengingati Tuhan dan berdoa dan terus berdoa agar segala ujian ini kita dapat jumpa jalan penyelesaiannya. Maka, kita dapat lihat perubahan sambutan tahun baru di Dataran Merdeka semalam. Sesuatu yang bagus. Aku berharap perubahan ini kekal. Jangan mengharap musibah tiba baru nak berubah, lepas tu buat balik.
Secara peribadi tahun 2014 memberi banyak pengajaran yang bermakna kepada aku. Banyak air mata yang mengalir dan tak kurang juga gelak tawa (rasanya terlampau banyak) pada tahun 2014. Banyak suka duka, ilmu, pengalaman yang aku peroleh pada tahun 2014.
Tahun 2014 juga mencatatkan banyak jugak peristiwa yang aku tak tau nak bagi reaksi gembira atau sedih. (macam mana tuu? hahaha). Macam apa? Obama datang Malaysia, coklat cadburry ada DNA babi lepas tu takde balik, Malaysia kalah AFF ( erkkk???...ermm cam sedih tapi takde laa sedih sangat pun.. huhu)...
Tidak kurang juga tahun 2014 memberi banyak kenangan gembira kepada kita. 
Tapi apa yee?? 
(nampak sangat sifat bersyukur dalam diri aku ni tak banyak sebab ingat yang buruk je. yang baik terus lupa. Ibarat kacang lupakan kulit...)
Ketibaan tahun 2015 ini membawa seribu harapan kepada rakyat Malaysia. Berharap tahun ini membawa berita gembira. Bukan berita-berita yang kurang enak didengar. 
Di negeri pantai timur, di beberapa tempat, kebanyakan mangsa banjir sedang membersihkan rumah, kawasan yang teruk dilanda banjir. Maafkan aku kerana aku sedang bermalas-malasan di sini sementara kalian pula sedang bangkit dari musibah yang melanda kalian dan aku tidak pula membantu kalian. (maaf mudah untuk diungkap. adakah berharga maafku ini?) 
Sementara dari segi politik, di belah pihak pembangkang memainkan isu ekonomi manakala di belah yang lagi satu aku macam tengok diorang mainkan isu Hudud dan sebagainya. Politik biasalah.
Dari segi ekonomi, kita berharap ekonomi kukuh dan tak jatuh. (tak tau nak hurai apa sebab aku tak reti bab ekonomi ni.. huhu)
Dari segi sosial, semoga keamanan Malaysia berkekalan, tiada pergaduhan, perpecahan, rusuhan dan seumpamanya.
Akhir sekali di sini aku kongsikan beberapa hashtag yang agak popular pada tahun 2014. (motif???... hahaha suka hati aku laa..)
‪#‎Pray4MH370 ‪#‎Pray4MH17 ‪#‎CDM25 ‪#‎AlQassam ‪#‎SaveGaza‪#‎PrayForPantaiTimur ‪#‎Pray4QZ8501
Sekian sahaja perutusan saya. Semoga kita berjaya melakar kenangan indah pada tahun ini. In sha Allah.


ps: kan bagus kalau ada tengok anak bulan Rabiul Awal. Maulud jatuh hari sabtu. tu kalau ikut kalender. kalau tengok anak bulan mana la tau boleh dipercepatkan sehari.. hehehehe... oh lagi satu, yang stress baca perutusan aku ni sebab panjang sangat, padan muka. hahahahahhahahaaha.