Selasa, 20 Januari 2015

JAWI ATAU RUMI? BAHAGIAN 3

[Bahagian 3-
Di bahagian yang lepas aku dah merepek sikit-sikit tentang kesedihan aku bila tengok tulisan jawi ni dipinggirkan. Dan aku bertanya kepada diri aku dan kepada anda semua yang membaca tentang peranan yang boleh kita mainkan dalam mempertahankan tulisan jawi ini sebagai salah satu warisan dunia Melayu. Di bahagian 3 ini, aku tak nak huraikan tentang peranan kita semua tu. Aku cuma nak pergi kepada sebuah kesimpulan.
Jujur aku katakan, tergeraknya hati aku ni nak tulis tentang tulisan Jawi ini adalah ketika pagi subuh Selasa 20 Januari 2015. Dan aku mula menulis tentang tulisan Jawi ni sehingga ke Bahagian 3 ini dengan lintang pukang dan tak teratur. Merepek dan merepek. Tapi kalau tak merepek, nanti sampai ke sudah aku tak tulis. Dan aku pun mula merepek.
Baik, kembali kepada kesimpulan.
Kesimpulannya, pada pendapat aku, walaupun pahit, aku terpaksa menerima hakikat bahawa dalam 100 atau 200 tahun lagi mungkin tulisan jawi akan dilupakan dan pupus sepertimana pupusnya tulisan rencong. Mungkin ada yang bertanya apakah aku mengalah? Bagi aku, tiada makna untuk kita kekalkan tulisan yang di mana penggunaannya hanyalah sekadar untuk mengekalkan warisan. Jika 200 tahun akan datang tulisan jawi masih lagi digunakan, aku nak tanya, dalam bidang mana atau ketika mana ia digunakan selain untuk menterjemah kitab-kitab pada zaman dahulu? Mungkin akan datang para sejarawan yang belajar tulisan jawi ni sepertimana ada yang belajar tulisan Rencong dan tulisan Mesir Purba.
Namun tidak salah kiranya jika kita wariskan tulisan jawi ni kepada anak-anak kita. Mungkin tidak memberi apa-apa makna, tetapi sekurang-kurangnya biarlah generasi kita tahu bahawa wujudnya tulisan Jawi yang telah digunapakai ratusan tahun lamanya.
Ingatlah bahawa kita pernah membunuh tulisan rencong satu ketika dahulu, jadi tidak mustahil kita bakal membunuh tulisan jawi kerana kita sedang membunuhnya sekarang sedikit demi sedikit tanpa kita sedar. Jika dahulu kita membunuh rencong kerana mahu menggunakan istilah Islam dengan lebih mudah, lalu apakah alasan kita dengan membunuh Jawi? Kerana mahukan kemajuan dan dipandang tinggi oleh masyarakat luar?
Sama-samalah kita renungkan. Jujur aku katakan, aku sendiri tak nampak apa rasional aku tulis benda ni, tetapi sekadar mahu berkongsi sebuah kesedihan akan nasib tulisan Jawi. Jujur aku katakan aku tidak tahu sebab aku begitu menghargai tulisan ini. Mungkin aku sekadar meminatinya. Namun aku sendiri tidak mahir jawi. Jadi wajarkah untuk aku berkongsi kesedihan akan nasib tulisan jawi ini? Aku akan cari jawapan itu nanti. Tetapi apa-apa pun hidup perlu diteruskan. Terpulang kepada anda semua yang membaca untuk menganggap tulisan ini seperti sampah yang tidak bernilai kerana susunan kata yang lintang pukang dan isi yang mengarut. Tetapi ini sekadar luahan isi hati yang tidak ditulis dengan betul oleh saya yang baru mencuba di dalam bidang penulisan.
-Sekian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan