Selasa, 20 Januari 2015

TULISAN JAWI ATAU RUMI? - BAHAGIAN 2

[Bahagian 2 - Buta Jawi]
Sekadar untuk makluman, tujuan utama aku menulis mengenai perkara ini adalah untuk meluahkan sedikit rasa sedih untuk menerima kenyataan bahawa nasib tulisan jawi yang semakin dipinggirkan. Maaf andai bahasa yang tunggang terbalik dan berbelit. Dan maaf andai ada yang terasa atau terguris hati bila membaca tulisan ini.
Pada masa sekarang, kita dapat lihat bahawa tulisan rumi sudah digunakan dengan meluas dan semakin ramai yang tidak reti untuk membaca tulisan jawi. Berapa ramai antara kita sekarang yang boleh membaca tulisan jawi dengan lancar? Aku akui, aku pun kadang-kadang merangkak-rangkak nak baca. Maklumlah, dah lama tak baca.
Tetapi suka untuk aku kongsi betapa sedihnya hati aku bila ada di antara sahabat-sahabat kita yang tak reti baca jawi. Aku tau akan ada yang terguris mengenai kenyataan ini tapi itulah realitinya.
Macam yang kita semua tahu, Buku Teks, Pendidikan Islam kita dari Darjah 1 sampai Tingkatan 5 semua dalam Tulisan Jawi. Tapi kita semua juga tahu, kita ada buku rujukan Pendidikan Islam di dalam tulisan RUMI. Dan tanyakan kepada diri kita, berapa ramai yang merujuk buku teks yang dalam tulisan jawi masa tu? Mungkin akan ada yang bagi alasan "Ohh.. kan dulu kita pinjam buku. Jadi nak rujuk yang tahun lepas punya kenalah pakai buku rujukan.." Tapi masa buku teks ada dalam tangan pun jarang bukak buku teks Pendidikan Islam tu pun.
Bukanlah niat aku nak menidakkan keutamaan tulisan rumi dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi kita sudah ada banyak perkataan baru seperti 'Transformasi', 'Realiti', 'Paradigma' 'Akuarium' dan seumpanya. Ya, masih boleh dieja dalam jawi, tetapi sangat banyak huruf yang nak digunakan. Tambahan pula subjek Bahasa Melayu kita diajar dalam tulisan rumi meskipun dibenarkan untuk menjawabnya dalam tulisan jawi. (ada yang perasan tak kat kertas soalan dia tulis macam tu?) Lebih-lebih lagi apabila ada di antara kita yang tidak didedahkan dengan tulisan jawi sejak kecil.
Oh ya, mungkin ada di antara kita yang tak tau bahawa ejaan jawi yang kita gunakan pada masa sekarang, bukanlah ejaan yang digunakan pada zaman atuk-atuk kita dulu. Mungkin ada yang sering mendengar orang-orang tua mengeluarkan ayat macam, "Tulisan jawi sekarang macam budak-budak. Banyak sangat alif wau ya. Walau diejanya wau alif lam alif wau." Percayalah, jika anda kata tulisan jawi sekarang susah, tulisan pada zaman dahulu lebih rumit kerana mereka menggunakan sistem ejaan yang ringkas tetapi ia difahami oleh semua orang.
Bukanlah niat aku untuk menyalahkan mana-mana pihak mengenai perkara ini. Aku ulang, aku hanya sekadar ingin meluahkan kesedihan aku akan nasib tulisan jawi pada masa sekarang. Aku faham ada di antara kita yang tiada masa untuk belajar atau memperkasakan jawi masing-masing kerana kita sibuk belajar, kerja dan seumpamanya. Banyak tanggungjawab lain yang perlu kita pikul.
Kita tak boleh menyalahkan mereka yang tak reti baca jawi ni 100% kerana subjek tulisan jawi hanya diajar di sekolah agama. Mungkin kebanyakan dari kita yang mampu membaca tulisan jawi ini pernah sekolah agama di peringkat rendah. Tapi bagaimana mereka yang tidak ke sekolah agama kerana kurang berkemampuan? Kita juga tak boleh nak salahkan ibu bapa mereka kerana tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama kerana untuk ke sekolah agama memerlukan wang yang lebih. Ada yang kehidupan mereka melarat sehinggakan mereka hanya mampu menyara anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan sahaja. Di sekolah kebangsaan juga ada belajar jawi, tetapi tak masuk UPSR pun (masa aku upsr dulu laa..).
Lantas bagaimanakah caranya untuk kita memelihara tulisan jawi ini agar tidak pupus dan lenyap ditelan zaman? Apakah peranan kita? Adakah kita hanya mengharapkan usaha dan kempen dari kerajaan semata-mata?
[sambung ke Bahagian 3]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan