Hari ni 31 Disember 2015. Hari terakhir dalam tahun 2015. Esok 1 Januari 2016. Tahun baru azam baru. Ikhlas aku kata, aku rasa sekejap sangat tahun 2015 ni. Tak macam tahun lepas (2014) terasa sungguh lama. Mungkin sebab banyak benda yang jadi pada aku. Jadi nak mengimbau kembali kenangan-kenangan yang tak seberapa untuk tahun 2015 ni.
Tahun ni kira secara rasmi aku menamatkan pengajian diploma kat UPSI. Ironinya, pada tarikh ini, aku datang UPSI ambil sijil diploma aku memandangkan aku tak datang konvo. Jadi kira macam perasmian tamat pengajian aku pada 31 Disember 2015 kononnya. Tahun ini juga adalah tahun aku banyak menganggur dan membuang masa. Habis semester 5, menganggur kejap. Kemudian sambung praktikal bulan Jun sampai pertengahan Ogos. Dan aku menganggur balik sampailah sekarang tengah tunggu kemasukan untuk ijazah. Banyak buang masa.
Walaupun banyak buang masa, banyak juga pengalaman baru aku dapat. Contohnya ada pengalaman bekerja di Zoo Negara meskipun sekadar menjalani praktikal tanpa gaji. Itu secara peribadi. Kalau kita luaskan skop kepada apa yang terjadi di Malaysia. Tahun ini kira satu tahun bermulanya masalah ekonomi di Malaysia. Lebih tepat masalah ekonomi rakyat Malaysia.
Kita mulakan dengan pelaksanaan GST. Semua rakyat merasai bebanannya. Diikuti dengan harga minyak yang kejap naik kejap turun. Naiknya banyak, turunnya sikit. Sememangnya semua rakyat Malaysia termasuk aku merasai kesannya. Harga barang semakin naik. Nak top-up pun kena gst. Walaupun kerajaan berjanji mulai tahun hadapan (esok) nilai gst akan dikreditkan ke dalam akaun pengguna. Kita tengok di kreditkan ke tak. Masuk ni dah kali ketiga cakap benda yang sama.
Tahun ini juga menyaksikan beberapa peristiwa bencana alam seperti gempa bumi di Sabah dan banjir besar di Pantai Timur. Kita menyaksikan beberapa keluarga yang kehilangan ahli keluarga mereka di dalam bencana tersebut. Ada juga beberapa rakan aku yang merasai bencana alam tersebut. Alhamdulillah kesemua mereka selamat. Selain itu, jerebu yang melanda juga boleh dikatakan teruk pada tahun ini. Semua sekolah di semenanjung kecuali di Kelantan ditutup hampir seminggu.
Tahun ini juga kita kehilangan beberapa tokoh hebat seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz yang menghadap Illahi pada 12 Februari 2015. Seluruh rakyat Malaysia terkesan dengan pemergian beliau. Aku sendiri rasa sedih dengan pemergian beliau. Tidak lupa juga artis seperti Yus Jambu dan Mariyani. UPSI juga kehilangan Prof Dr Suhaily Yusry, penggerak Operasi ResQ Team UPSI yang banyak membantu mangsa banjir di Kelantan. Tidak dilupakan juga saudara Ardy bekas MPP UPSI Sidang 13/14 yang meninggal dunia kerana penyakit (aku tak ingat).
Musim haji pada tahun ini juga menyaksikan dua kemalangan yang menyayat hati. Pertama di kala beberapa minggu sebelum Hari Arafah, kren tumbang akibat ribut yang sangat kuat menimpa Masjidil Haram yang meragut berpuluh nyawa dan beberapa orang rakyat Malaysia turut terkorban sama. Kejadian kedua adalah rempuhan di Mina yang mengorbankan ratusan jemaah haji. Seorang jemaah Malaysia turut terkorban. Korban pada kejadian rempuhan tersebut adalah yang paling ramai semenjak rempuhan di terowong Muassim. Namun, meninggal dunia di tanah suci adalah impian setiap Muslim. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diredai Allah serta diterima amalan mereka.
Sesungguhnya tahun 2015 ini telah memberi pengajaran yang berguna kepada rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan