Ahad, 4 Jun 2017

Sikap kita di bulan Ramadan...

Alhamdulillah kita dipertemukan lagi dengan bulan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ramadan Al-Mubarak datang lagi dengan berjuta rahmat, dan ganjaran yang menanti kita. Bulan yang mendidik kita untuk menjadi seorang insan yang bertaqwa. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang kurang eloklah orang kata tu yang sentiasa kita semua atau sebahagian daripada kita lakukan dalam bulan Ramadan.

1. Pembaziran
Benda ni memang lumrah. Bukan di Malaysia saja malah di negara-negara Islam yang lain. Seharusnya di dalam bulan Ramadan inilah kita boleh berjimat cermat dalam bab pemakanan. Namun sayang seribu kali sayang, di kala waktu berbuka puasa umpama pesta makanan jadinya. Nak-nak lagi kalau beli makanan di bazar ramadan. Semua makanan nak beli kalau boleh. Tapi bila waktu berbuka saja, hanya sedikit yang dimakan. Walau macam mana kita menyaksikan pembaziran itu seumur hidup kita, kita sentiasa mengulanginya. Kadang tu tanpa rasa bersalah. Bukankah orang yang membazir itu diibaratkan sebagai saudara syaitan? Ramadan seharusnya mendidik kita menjadi seorang Muslim yang bertaqwa, tapi kita? Bila masuk Ramadan mula membazir. Astaghfirullah.. T.T

2. 8 atau 20?!!!
Ini memang sentiasa diperdebatkan sejak zaman dulu lagi. Aku rasa sebelum merdeka agaknya dah digaduhkan. Cuma isu ini semakin luas merebak sejak ada media sosial ni. Aku rasa kita semua ni mesti dah muak dengar perdebatan ni. Tapi sekarang aku rasa isu ni dah mula senyap dan diharap kekal senyap tanpa perlu diperdebatkan lagi. Walaupun aku selalu terdengar golongan berusia masih memperbesarkan isu ini, tapi aku harap kita yang muda-muda ni dah boleh terima. Bayangkanlah, kita ni diasak musuh Islam dari segenap penjuru. Takkan kerana perkara khilaf ni kita nak berpecah? Tolak ansur itu perlu. Bukan dalam isu rakaat terawih di bulan Ramadan saja. Isu wirid selepas sembahyang, bacaan yasin pada malam jumaat, talkin, sambutan maulud dan banyak lagi. Tak perlu diperbesar-besarkan isu yang remeh temeh ni lagi. Banyak isu besar yang boleh kita fikirkan solusinya bersama-sama. 

3. Ramadan Muslim
Ini normal. Serius normal. Dan tak ada apa salahnya. Aku agak hairan dengan orang yang suka sindir orang yang nak buat baik dalam bulan Ramadan ni. Apa masalah dia eh? Eh baguslah orang nak datang masjid & surau dalam bulan Ramadan ni. Walaupun sebenarnya memang lagi elok kalau dikekalkan sehingga keluar dari bulan Ramadan tapi sekurang-kurangnya mereka masih fikir untuk merebut ganjaran pahala di dalam bulan Ramadan. Tak kurang pahala kau kalau orang yang jarang ke masjid datang masjid dalam bulan Ramadan. Kau kutuk dia yang buat kurang pahala tu. Sedangkan sahabat Nabi pun menambah amalan di bulan Ramadan. Kau rasa dengan amalan kau yang kononnya banyak tu cukup untuk kau memandang rendah orang lain. Eh terlebih marah pulak aku kan...

4. Persiapan raya
Yang ni aku rasa semakin berkurangan mungkin. Sebab sekeliling aku dah mula kalau sebut raya je diorang akan kata tak ada nak fikir apa sangat pun. Sambut apa adanya. Kadang-kadang aku rasa kita ni dah mula sambut puasa dengan meriah lebih daripada raya. Dah macam orang-orang Arab gitu. Tak ada dah acah-acah dramatik raya nak ada itu ini bagai. Kuih pun banyak kuih tunjuk. Lemang pun kalau teringin merata jual sepanjang tahun. Tak ada jumpa lemang cuma di pagi raya saja. Ketupat palas pun dah selalu sangat jumpa. Cuma ketupat anyam biasa tu memang jumpa time raya aje la. Yalah mungkin susah nak anyam tu yang cuma jumpa time raya je. Tapi serius, lagi elok bulan Ramadan ni fokus habis untuk cari ganjaran pahala je. Persiapan raya tu siap ala kadar pun ok. Walaupun ya aku tak nafikan di penghujung Ramadan, jumlah jemaah yang datang terawih semakin berkurangan. Agak aneh di situ. Seharusnya kita menambah amalan kita dah nak hujung-hujung Ramadan ni. Nak kata persiapan raya tu takkan tiap-tiap malam kau bersiap? Nenek aku pun suruh aku gantung langsir lepas aku balik terawih. Ya tak dinafikan kita kena bersangka baik mungkin saja yang tidak berterawih itu tidur awal untuk berqiamullail.

Kesimpulannya, bulan puasa ni sama-samalah kita berubah ke arah kebaikan. Tujuan utama berpuasa pun menjadikan kita seorang yang bertaqwa bukan sahaja di dalam bulan Ramadan sahaja, tapi apabila kita keluar dari Ramadan kita mengekalkan ketaqwaan kita. Kita (termasuk aku) walaupun masih jauh untuk itu, tapi apa salahnya kita cuba sedikit demi sedikit. Bukankah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Sekian.

Selasa, 9 Mei 2017

Sudah hilangkah rasa malu dalam diri kita? T.T

Kedatangan seorang pelakon cerita dewasa ke Kuala Lumpur mendapat banyak reaksi yang berbeza-beza oleh orang kita. Cuma dalam apa yang aku nak tulis ni, aku khususkan kepada yang beragama Islam. Dan ni lebih kepada apa yang aku nampak di media sosial terutamanya facebook.

Mula-mula, yes aku kenal dia daripada sekolah. Bukan sebab tengok ye. Sebab masa tu ada kawan-kawan aku asyik dok sebut nama tu. Lepas tu sebagai seorang kaki facebook, kadang tu selalu nampak orang buat trol nama tu. Tapi muka dia memang aku tak kenal. Jadi masa aku terbaca satu page kata dia datang Malaysia aku pun macam... tak rasa apa sangat. Cuma aku menjangkakan akan ada bangkangan dari netizen (sebab dia datang untuk bercuti je. Jadi tak ada orang politik atau siapa yang berautoriti boleh buat apa-apa). Jadi mungkin netizen akan meluahkan rasa bimbang mungkin bash pelakon tu. Dan aku juga menjangkakan page-page facebook akan menyiarkan netizen meroyan marah ke apa dia datang Malaysia. Atau paling tidak pun berita tu berlalu begitu saja dengan bunyi cengkerik krik..krik..krik...

Tapi... lain pulak jadinya. Sebab dalam dua tiga hari ni aku ternampak beberapa gambar orang Islam kita (semua lelaki setakat ni) bergambar dengan dia. Tak tahulah motif apa mereka ni? Aku tak berapa nak kisah sangat kalau bukan Islam sebab bukan tempat aku pun nak tegur. Cuma mereka yang Islam ni? Serius aku rasa malu dengan apa yang terjadi.

Aku pun bukannya tak pernah buat dosa? Kita manusia. Buat dosa dan kesilapan adalah normal. Cuma terpulang nak bertaubat atau tak. Dan lagi penting, jaga aib. Sebenarnya benda ni aku perasan lama dah. Banyak page-page (ada yang dikendalikan oleh orang Islam kita) banyak sebut nama pelakon-pelakon lucah ni. Tak kurang juga dalam kalangan kawan-kawan aku ada yang share dari page antarabangsa pasal post trol pelakon lucah. Aku yang daripada tak kenal pun boleh kenal. Bodoh gak aku gi google nak tau siapa diorang ni. Ingatkan siapa, rupanya.....

Memang, dalam masyarakat kita tak kira lelaki mahupun wanita, ramai yang pernah atau masih melayan benda tu. Kebanyakannya lelaki. Aku juga ada kawan yang dulu pernah. Tapi tak ada la pulak dia dok bangga-bangga kat media sosial. Baru tadi salah seorang kawan aku ni luahkan rasa marah dan malu dia dengan keadaan orang kita yang bangga bergambar dengan Maria ni. Kat mana kita dah campakkan rasa malu kita?

Ada juga aku perasan yang tulis "...daripada yang ambil rasuah, hak orang bla..bla..bla.." Perlu ke membanding-bandingkan dosa. Aku kasi contoh, kalau rumah kau masuk pencuri tengah malam. Dia curi barang kau. Ambil la sikit laptop kau, duit mana yang dia jumpa. Dijadikan cerita kena tangkap. Adakah kau boleh terima alasan kalau pencuri tu kata, "... daripada yang rompak ikat tuan rumah tanya mana letak harta benda. Aku sekurangnya jaga nyawa orang..." kau boleh terima? Adakah di hadapan Tuhan nanti kau nak kasi alasan macam ni atas semua dosa kau. "....sekurangnya aku tak bunuh orang, amik hak orang, tak rasuah ya Allah..."

Ada juga yang kata acah-acah islamik sikit kata mungkin kalau dia (agaknya si penulis merujuk kepada Maria atau yang bergambar dengan dia) bertaubat akan jadi Muslim yang baik. I mean? Yang selama ni kau kutuk Najib, segala ahli politik yang Islam atau bukan Islam tu boleh pulak? Tak pernah pulak kau keluarkan ayat-ayat ni masa tu.

Aku perasan, dalam zaman sekarang ni perbincangan benda ni (aku tak tau nak istilah apa yang sopan jadi harap korang faham laa kalau aku sebut 'benda') pun seolah jadi kebiasaan. Tapi kalau sampai nak cerita pernah tengok benda tu... agak-agak laa. Aku pun serba salah nak kasi nasihat agama sebab aku pun bukannya baik sangat. Tapi selagi kita mampu, kita sorok segala dosa yang kita dah dan pernah buat. Tuhan dah tutup aib kita. Jangan pulak kita bukak.

Apa? Hipokrit kalau macam tu? Aku tak tau definisi hipokrit pada korang. Tapi, yang pasti tu bukan tanda munafik. Kalau kau buat dosa dan kau rasa benci dengan apa yang kau buat, kau bukan munafik. Jadi tak ada salahnya kau tak cerita apa dosa yang kau buat. Itu yang kita kena buat. Jadi bila kita cerita dengan gebangnya pasal benda-benda lucah ni, nak-nak yang dok sebut link itu ini layan kat mana (ya ada yang tulis sampai ke tahap macam tu...), tu nak kata apa? Ada hadis pasal cerita pasal dosa kita kat khalayak. Try baca.

Aku pendosa, kau pendosa, kita semua pendosa. Tapi cukuplah dosa dengan Tuhan tu antara kita dengan Tuhan je yang tau. Dan kita semua berusaha untuk bertaubat. Sampai bila kita nak sesat jauh macam ni? Aku pernah dengar ceramah kat surau UiTM ni ustaz ni kata lebih kurang macam ni.. Islam ni pecahan di bawahnya Akidah, Ibadah dan Adab. Tak ada salah satu tak lengkap. Jadi isu pelakon ni datang Malaysia ni lebih kepada isu adab. Hishhh senang cerita mana rasa malu dalam masyarakat kita pasal benda ni? Tak tau malu ke?




***kalau yang jenis perhati, aku sebelum ni aku tulis, aku cuba jaga ayat supaya nampak ilmiah sikit. Tapi kali ni aku main bedal je. Sebab rasa meluat masa tengah tulis.... -_-

Isnin, 24 April 2017

Lawatan ke PPKI SMK Alam Damai, Cheras

Hari Jumaat lepas (21 April 2017) kelas aku dengan sebahagian kelas bio, kami telah pergi ke SMK Alam Damai untuk tugasan subjek Psikologi Pendidikan (Educational Psychology) kami. Tugasan kami secara mudahnya mengenai Pendidikan Khas senang cerita. Kami perlu memerhati dan kalau boleh menemubual mereka dan kami kaitkan dengan teori perkembangan kanak-kanak semua tu.

Jadi, sepanjang lawatan tersebut, aku banyak belajar benda baru. Pertama sekali, seronok yang teramat. Aku selalu dengar menguruskan pelajar Pendidikan Khas ni seronok. Orang kata sebab diorang ni dengar kata. Sebenarnya aku rasa seronoknya bukan tu. Sebab pelajar-pelajar istimewa ni ikutkan lagi banyak kerenah. Tapi kita rasa seronok sebab kerenah mereka. Biasalah, mereka-mereka ni orang yang diampunkan segala dosa. Jadi kita biasanya akan rasa tenang je melayan kerenah diorang. Walaupun mestilah sampai satu tahap akan ada rasa stres, tertekan dan sebagainya, tapi lumrah dalam apa jua keadaan sekalipun mesti akan rasa macam tu juga.

Ada salah seorang cikgu Pendidikan Khas kat sekolah tu dia sebenarnya kelulusan biologi dan pernah mengajar biologi sebelum mengambil keputusan untuk jadi cikgu Pendidikan Khas ni. Dia kata, beza mengajar pelajar Pendidikan Khas dengan pelajar biasa ni, kalau pelajar biasa buat hal, kita akan rasa marah, dan kadang-kadang sakit hati. Tapi kalau dengan pelajar pendidikan khas ni, buatlah apa pun kita secara automatik akan sabar sebab kita tau bukan salah diorang. Lagi satu kita akan rasa puas kalau kita tengok beberapa pelajar yang pada mulanya, nak butang baju pun tak reti, tapi lepas beberapa tahun kita ajar mereka, diorang boleh urus diri diorang sendiri.

Selain tu, aku pun berpeluang kenal beberapa orang pelajar istimewa ni. Salah seorang namanya Akil. Dia ni slow learner tak silap aku dan ada sawan. Dia pun ada masalah ingatan. Hrmm.. masalah ingatan pun sampai nyanyi memang sedap. Lirik lagu pun dia ingat. Biasalah, apa orang kata, dia ingat pada benda yang memang minat dia. Tapi serius suara dia sedap. Aku literally bergenang air mata masa dia nyanyi lagu Tajul tu.

Lagi seorang namanya Felicia. Dia ni kelakar sikit. Pertama kali nampak, comel, baik walaupun nampak la sikit dia berbeza daripada pelajar normal. Tak silap aku dia ni Autisme. Bila kami puji dia depan dikgu-cikgu, cikgu kata "Awak jangan tertipu. Dia ni ada hyper sebenarnya. Nampak je baik, sopan santun. Datang mood dia nanti, dia naik blok kacau pelajar-pelajar lain..." Hahaha.. comel je weh.

Lagi sorang namanya Yuanesh (aku tak pasti ejaan... tapi sebutan lebih kurang ni). Aku tak tau dia ada masalah apa, tapi satu benda istimewa pasal dia ni, dia boleh ingat hari untuk setiap tarikh tahun ni. Contoh hari jadi aku 23 September, automatik dia kata "Saturday". Ya tahun ni hari lahir aku jatuh pada hari sabtu. Kami memang terkejut gila la bila dia dapat teka semua betul.

Jadi, secara umumnya memang seronok pergi mengenal pelajar-pelajar pendidikan khas ni. Secara jujurnya dalam kepala aku memang fikir pasal assognment je sebelum jumpa diorang. Bila dah kenal tu, aku tak terfikir pun pasal assignment. Aku cuma enjoy dan hrmm.. seronok. Memang pengalaman ni satu yang sangat berharga la. Aku ada terfikir kejap kalau nanti aku nak jadi cikgu Pendidikan Khas je la. Memang seronok. Terima kasih SMK Alam Damai sebab menerima kami untuk mengenal anak-anak istimewa ni.


Ramai-ramai bergambar dengan cikgu dan semua pelajar.

Khamis, 6 April 2017

EduScitech2017 - Sebuah Pengalaman~

3 & 4 April yang lalu, berlangsungnya satu program besar untuk persatuan kursus aku iaitu Edu Scitech 2017 (Science Education Technology Festival 2017) yang berlangsung di UiTM Shah Alam khususnya di DATC dan Pusat Sukan di sana. Aku menjadi ketua unit logistik untuk program ini. Sejujurnya aku malas nak terlibat lebih-lebih dalam program ni. Asalnya aku cuma bawah roket. Entah macam mana boleh tersangkut logistik. Hahaha.


Image may contain: text
Poster Scitech
Scitech ni merupakan satu program di mana sekolah-sekolah yang menyertai akan bertanding. Terdapat lima pertandingan yang dianjurkan iaitu Roket Air, Kereta dan Bot Solar, Kapal Terbang Kertas, Rekacipta dan Inovasi dan akhir sekali Drama Sains.


No automatic alt text available.
Pertandingan yang dijalankan...
Daripada program ni aku belajar banyak benda dalam berprogram. Serius, rupanya banyak lagi benda yang aku tak tau. Paling ketara, perkara mengenai penajaan. Aku memang kosong kalau nak sebut soal sponsorship ni. Memandangkan scitech ni memerlukan perbelanjaan yang banyak, maka sponsorship merupakan perkara paling utama. Setiap kali meeting, sponsor merupakan perkara paling lama dibincangkan. Tapi aku tak faham apa sangat pun yang diorang cakapkan.

Selain tu, aku belajar banyak benda dalam urusan untuk kendalikan logistik ni. Dari soal peralatan sampailah ke bas. Macam-macam dugaan melanda. Daripada peralatan sampailah kepada tempat pertandingan dan bas. Sakit kepala aku memikirkannya. Hahaha. Masa hari program pun, penat dia tak payah cakaplah. Tapi aku tak kisah penat fizikal sangat. Asal bukan penat sebab berfikir atau menahan perasaan marah dekat orang. (ehemm.. bunyi lain macam je.. hahaha). Serius aku rasa logistik ni unit yang masuk dengan aku. Dua kali aku jadi logistik dan aku suka jadi logistik. Tapi mungkin nanti aku nak try masuk unit lain ke mana-mana program nanti untuk tambah pengalaman.. gituu~

Antara perkara menggembirakan jadi ajk logistik ni bila kau tengok peralatan yang kau dapatkan tu berguna. Hahaha. Lagi satu, kau tak perlu fikir sangat pasal penampilan kau sepanjang program. Rasanya aku sorang je dalam beratus tenaga kerja yang ada masa program yang pakai selipar. Hahaha. Sampai sir pun tegur aku kenapa pakai selipar.. 


Image may contain: one or more people, people sitting, table and indoor
Keadaan di dalam Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC)
ketika majlis sedang berlangsung
Walaupun masa sebelum dan ketika program aku rasa nak cepatlah habis scitech ni, tapi bila dah habis baru aku sedar sebenarnya best scitech ni. Dah habis ni rasa lost la pulak. Nak belajar otak jadi blank. Hahaha. Thanks pada semua yang banyak membantu aku terutamanya pengarah asal, Izul yang berulang alik dari Shah Alam-Puncak Alam demi menjayakan program ni, bantu aku setelkan urusan logistik aku dalam keadaan susah dan payahnya, setiausaha, Kak Farah, Amani & Teah yang banyak bagi nasihat serta menjadi tempat meluahkan perasaan... hahaha.., mantan presiden Seeds, Hafiz yang jadi kaunter pertanyaan aku, team logistik yang lain, Rais, Mad & Razaq, lecturer-lecturer Sir Hisyam & Sir Furkan, event-event leader Fatin, Far, Eton, Bibo & Ana.. dan semua yang banyak tolong aku dalam menjalankan tugas logistik scitech ni. Cehhh ucapan konon.. hahaha..

Tapi seriuslah pengalaman scitech ni antara pengalaman berprogram aku yang paling best setakat ni. Kali terakhir aku seronok berprogram macam ni aku tak ingat bila. Aku rasa ini kali pertama aku terlibat dengan mendalam untuk sebuah program yang sangat besar. Sesuatu yang boleh aku ambil untuk jadi pengalaman di masa akan datang. Sekarang fokus belajar dulu. Kena rilek kejap dua tiga hari. Otak masih mamai-mamai nak fokus belajar semula. Hahaha. 

Sabtu, 18 Mac 2017

NORTH AND SOUTH

Dalam cerita Avatar (TLA & LOK), Water Tribe terbahagi kepada tiga bahagian. Satu di Kutub Utara yang merupakan kawasan pertama didiami oleh Water Tribe ni. Kemudian sebahagian mereka berhijrah ke Kutub Selatan dan membentuk satu komuniti baru. Tidak lama kemudian sebahagian daripada mereka berhijrah sehingga ke paya (The Swamp) dan masa berlalu, puak air yang mendiami paya ini mula lupa akan asal usul mereka di dua belah kutub itu.


Ketika Perang 100 tahun (100 year of war), Puak Air Selatan (Kutub Selatan) seringkali diserang oleh Fire Nation sehingga mengakibatkan bilangan waterbender di selatan berkurangan sehinggalah hanya tinggal Katara saja. Para lelaki di Selatan seringkali pergi membantu Earth Kingdom untuk mengalahkan Fire Nation yang mencetuskan perang. Malahan mereka juga antara yang terlibat dalam membantu Aang cubaan untuk menakluk ibu kota Fire Nation ketika gerhana matahari meskipun berakhir dengan kegagalan.

Puak Air Selatan Sebelum Perang
Masa Katara & Sokka kanak-kanak

Sudahnya tinggal ni je

 Ketika Puak Air Selatan membantu secara langsung untuk menamatkan perang, Puak Air Utara mengambil tindakan sebaliknya dengan bersembunyi di balik tembok dan mengekalkan ketamadunan mereka.  Tiada bantuan daripada utara kepada selatan atas faktor jarak antara keduanya yang sangat jauh. Bukan saja bantuan kepada saudara mereka di selatan, malah bantuan kepada Earth Kingdom juga tidak pernah dihantar. Senang cerita memencilkan diri hidup senang lenang.

Puak Air Utara punya tempat

Sesudah perang, Katara dan Sokka berhasrat untuk menjenguk bapa mereka (Hakoda) di Kutub Selatan. Hakoda kini telah dilantik sebagai Ketua Puak Air Selatan. Seluruh Kutub Selatan di bawah kekuasaannya. Sampai saja mereka berdua di Kutub Selatan, mereka tidak menyangka sudah banyak perubahan yang berlaku di kampung mereka. Oh.. bukan kampung lagi, ia sudah menjadi bandar.

nampak lain gila lepas setahun tak balik


Kemajuan yang dikecapi ini hasil kerjasama antara Hakoda dan wakil daripada Utara, Malina dan Maliq. Mereka berdua mempunyai visi untuk memajukan saudara mereka di Selatan supaya mengecapi apa yang telah dicapai oleh Utara sebelum ini.

Namun untuk melakukan perubahan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak tentangan yang dihadapi oleh sebahagian yang merasakan seolah-olah pihak Utara ini mahu menjadikan Selatan sebagai tanah koloni. Pada mereka kenapa perlu meminta bantuan Puak Air Utara untuk memajukan selatan? Sedangkan ketika Perang 100 tahun, mereka tidak membantu saudara mereka di selatan.

Dipendekkan cerita, Malina dan Maliq memberitahu Katara dan Sokka bahawa mereka telah menjumpai sumber minyak di sebuah kawasan di Selatan. Sebagai seorang yang sentiasa memandang ke hadapan, Sokka berasa teruja kerana ini dapat membantu Selatan maju ke hadapan. Tetapi Katara mula berasa tidak senang kerana ini boleh merosakkan budaya di Selatan. Namun Katara tidaklah membangkang rancangan Malina dan Maliq.

Malam itu, sebuah perayaan diadakan. Puak pemberontak mengganggu perayaan tersebut lalu menunjukkan bukti kepada orang ramai bahawa Malina dan Maliq berhasrat mahu menyerahkan telaga minyak yang dijumpai itu untuk menjadi hak milik Puak Air Utara. Malina mengaku bahawa itu rancangan asalnya tetapi kemudian dia ingin membatalkan rancangan tersebut setelah melihat masyarakat di Selatan. Tetapi tidak bagi Maliq yang rupanya masih mahu menerukan rancangan tersebut. Pada Maliq, masyarakat di Selatan masih mundur dan tidak boleh menguruskan telaga minyak yang dijumpai itu.

Puak pemberontak berasa marah lalu menyerang mereka berdua. Meskipun berasa marah terhadap Malina dan Maliq, Katara dan Sokka melindungi mereka berdua. Hakoda ditikam. Namun akhirnya pemberontak semuanya berjaya ditangkap. (ni aku dah ringkaskan seringkas-ringkasnya.. cerita dia lagi complicated sebenarnya).

Haa point aku di sini sekadar nak tunjuk pada mereka yang menganggap tengok kartun anime untuk kanak-kanak je. Aku sendiri tertanya cerita Avatar ni untuk kanak-kanak atau orang dewasa sebab temanya walaupun nampak ringkas tapi isinya berat. Hahaha.. cerita punya panjang sekali nak tunjuk cerita kartun bukan untuk budak-budak je. Banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari cerita Water Tribe ni sebenarnya tapi nanti ada masa in sha Allah aku ulas ye nanti. Setakat ni itu saja untuk malam ni. Sekian...

Sabtu, 11 Mac 2017

Melawat UPSI

Ok.. entri kali ni pendek je..

Fuhh.. baru saja balik daripada melawat UPSI. Tempat aku mengambil diploma. Perasaan? Puas. Seronok. Teruja. Eh semua perasaan positif la. Walaupun sangat sekejap sebab satu malam je kat sana dek kerana Ahad ni aku ada kem kepimpinan apa entah. Tapi serius kata memang seronok aku kat UPSI jumpa beberapa sahabat lama yang dah sekian lama berpisah. (ecewaaahhhh)

Kalau nak diikutkan, tak banyak benda berubah di Kampus Lama dan aku suka tu sebab banyak memori lama yang aku boleh ingat. Tapi di kampus baru, memang banyak benda berubah. Baik daripada kafe, hinggalah kepada fakulti. Mujur masjid tak ada apa-apa perubahan sangat semenjak kali terakhir aku sembahyang di sana. Kolej? Sama je.

Tapi tujuan utama aku melawat upsi ni bukanlah sekadar nak tengok-tengok keadaan upsi tu. Mestilah nak jenguk kawan-kawan kat sana yang satu ketika dulu pernah berkongsi suka dan duka bersama. Hehehe.. Terubat juga rindu aku kat diorang. Masing-masing perangai tak berubah. Ada yang jumpa terus bahan aku. Hahaha. Malam kat upsi terasa meriah dengan gelak tawa dan saling bahan membahan. Seronok. Sedikit sebanyak mengingatkan aku kepada zaman kegemilangan diploma dulu. Hahaha. Kebetulan juga minggu ni KUO ada buat hari terbuka. Sangat-sangat meriah jika hendak dibandingkan dengan hari terbuka kolej masa aku kat upsi dulu. Wow. Memang banyak perubahan yang ada kat upsi. Baguslah.

Sememangnya perasaan melawat upsi ni memang sukar untuk digambarkan. Tak tergambar keseronokannya. Kebetulan aku banyak stress beberapa bulan kebelakangan ni. Alhamdulillah aku dapat lepaskan stress aku ni sekejap. Terima kasih Faizal, Azim, Hans, Mustakim, Teah, dan semua laa kerana sudi terlibat.. hehe.. Ini boleh kata antara perkara terbaik yang berlaku kat aku dalam tempoh beberapa bulan ni semenjak semester 2 itu hari. Ok.. esok kem. Mula stress balik. Hahaha

Rabu, 8 Mac 2017

Buku Fattah Amin punya pasal

Salam. Aku tau aku tulis ni untuk perkara yang dah sejuk. Pasal buku Fattah Amin yang viral itu hari. Pertama kali baca orang kongsi, serius aku ingat orang bergurau atau gambar tu edit semata-mata. Tak sangka memang betul. Lepas tau bahawasanya pelakon Fattah ni ada buat buku, aku tak dapat bayangkan buku pasal apa? Novel? Atau apa.. Rupa-rupanya, hrmmm... macam kita semua tau macam mana.

Rasanya kita semua tahu akan pelambakan buku-buku macam ni yang banyak dijual. Ada baik dan buruknya. Tak semestinya semuanya buruk. Pada yang menyokong pasti akan kata "Baguslah, kita galakkan orang-orang muda membaca.." Pada yang membangkang pula "Kewujudannya buat orang baca perkara yang tak berfaedah. Baik baca buku ilmiah yang mengembangkan minda..." Pada jenis rakyat moden sejati di masa kini pula akan kata "Eh, lantaklah dia nak buat apa. Bukannya ganggu korang pun.." Jadi kita dalam kategori yang mana satu?

Apa aku nak tulis ni bukanlah untuk menyokong atau bangkang buku Fattah Amin ni. Masing-masing ada pandangan masing-masing. Cuma apa pengajaran yang kita boleh dapat daripada isu yang mungkin pada sesetengah orang 'entah apa-apa.. benda camni pun nak jadi isu..' Ohh ada pengajaran ke daripada buku Fattah Amin ni? Ya, ada beberapa benda yang buat aku sedar daripada buku Fattah Amin ni.

Benda yang boleh aku dapat daripada isu ini adalah kita sememangnya sedar bahawa generasi kita sangat kurang membaca. Kalau baca pun pada perkara yang kurang berfaedah. Ok kita letak tepi dulu pada mereka yang baca perkara yang kurang berfaedah. Kita cerita pasal yang tak suka membaca ni. Memang aku perasan kebanyakan kita malah kawan-kawan aku sendiri tak suka membaca. Aku tak ada harapkan korang baca benda yang berat pasal politik atau sains yang buat kepala korang pening. Aku sendiri jarang dan tak berapa minat baca mengenai soal-soal politik aras tinggi dengan perkataan pelik-pelik yang jarang aku dengar. Tapi cukuplah kita rajin membaca isu-isu terkini. Nak suruh baca sejarah, korang tak minat. Bukan semua minat sejarah.

Sejak daripada sekolah lagi sebenarnya, kementerian dah berusaha nak galakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak supaya boleh dijadikan amalan kepada mereka apabila dewasa. Contoh, program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca). Dari kita darjah satu cikgu perpustakaan kita kalau cakap kat perhimpunan mesti pasal program NILAM ni. Tapi aku tertanya, berkesan ke program NILAM ni? Program ni mungkin akan jadi lebih berkesan kalau ibu bapa atau keluarga memainkan peranan yang sangat penting. Seharusnya ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak mereka akan budaya membaca sejak mereka seawal 5-6 tahun lagi.

Aku ingat masa aku kecik mak dengan atuk aku rajin belikan buku untuk aku. Bila aku masuk umur 9 tahun entah macam mana aku tergerak nak beli novel Harry Potter (yang dalam BM punyalah..). Kebetulan aku beli siri yang pertama. Dan sejak tu aku selalu mintak nak beli yang kedua, ketiga sampailah ketujuh daripada keluarga aku supaya belikan. Biasalah budak-budak, mana ada duit banyak nak beli Harry Potter ni. Walaupun selalu diorang bebel asyik baca novel tak berfaedah, tapi diorang belikan jugak. Sebab apa? Sekurangnya aku membaca, bukan buat benda bukan-bukan pun. Daripada membaca novel Harry Potter ni aku sedar yang benda aku minat buat adalah membaca. Kebetulan atuk aku ada banyak buku-buku cerita pasal sejarah Nabi-Nabi dan sahabat. Dari situ aku mula minat sejarah.

Ok aku pun dah tak tau point aku ke mana sebenarnya tapi aku teruskan juga sebab sedap pula menaip ni. Apa yang nak aku tekankan di sini, untuk menerapkan budaya membaca dalam generasi kita seharusnya bermula dari kanak-kanak lagi. Bukan remaja. Seawal yang mungkin. Kalau sesetengah ibu bapa mampu beli ipad untuk senyapkan anak-anak, kenapa tak mereka belikan buku yang menarik untuk mereka? Kalau tak mampu, buku terpakai banyak je. Majalah kanak-kanak banyak yang bagus-bagus. Contohnya dulu aku ingat lagi aku suka baca Majalah Asuh. Yang ada komik godaan syaitan tu. Selain daripada komik tu banyak bahan bacaan menarik dalam tu. Cerita-cerita Nabi, cerpen dan sebagainya yang bagus untuk kanak-kanak membacanya. Banyak je cara untuk kita ajak anak-anak kita membaca. Bak kata pepatah yang kita belajar sejak sekolah rendah lagi 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya..'

Ok di mana kita tadi? Oh ya buku Fattah Amin. Haa punya panjang aku melalut. Jadi, terpulanglah pada kita nak sambut baik atau buruk buku dia ni. Dah dijual dah pun. Bukannya boleh kita suruh kerajaan haramkan buku ni pun. Cuma pada aku, dengan harga sebanyak RM 55 sangat-sangatlah tak berbaloi. Sebab bukannya ada apa pun dalam buku tu. Setakat kata-kata dia dengan gambar dia. Harga mahal tu pun aku rasa sebab kertas, print warna dan sebagainya. Yalah, dia pun buat buku tu untuk peminat dia. Tapi pada aku laa, Fattah Amin ni dah ramai peminat. Kenapa tak gunakan peminat dia yang ramai tu untuk buat buku yang lagi bermanfaat? Dan dengan harga yang lebih berpatutan. Aku tak rasa ada peminat dia dalam kalangan baya aku. Kebanyakan yang lebih muda daripada aku iaitu remaja sekolah. Kalau dia hargai peminat dia, mesti dia akan letak dengan harga yang lebih murah supaya peminat dia boleh beli. Ni harga macam suruh peminat hargai dia je aku rasa. Mungkin penerbit nak letak harga tinggi aku tak tau. Budak sekolah bukannya berduit sangat. Itu pandangan aku la. Nak galakkan anak muda membaca mestilah letak harga yang sesuai dengan anak muda. RM 55 tu boleh beli 3 buah buku yang lagi banyak isinya.

Ok sekian penulisan aku yang berterabur ni. Sebab hari ni tak ada kelas dan aku dalam mood introvert sekarang. Jadi aku pun bazirkan masa tulis benda ni. Assalamualaikum.