Salam. Aku tau aku tulis ni untuk perkara yang dah sejuk. Pasal buku Fattah Amin yang viral itu hari. Pertama kali baca orang kongsi, serius aku ingat orang bergurau atau gambar tu edit semata-mata. Tak sangka memang betul. Lepas tau bahawasanya pelakon Fattah ni ada buat buku, aku tak dapat bayangkan buku pasal apa? Novel? Atau apa.. Rupa-rupanya, hrmmm... macam kita semua tau macam mana.
Rasanya kita semua tahu akan pelambakan buku-buku macam ni yang banyak dijual. Ada baik dan buruknya. Tak semestinya semuanya buruk. Pada yang menyokong pasti akan kata "Baguslah, kita galakkan orang-orang muda membaca.." Pada yang membangkang pula "Kewujudannya buat orang baca perkara yang tak berfaedah. Baik baca buku ilmiah yang mengembangkan minda..." Pada jenis rakyat moden sejati di masa kini pula akan kata "Eh, lantaklah dia nak buat apa. Bukannya ganggu korang pun.." Jadi kita dalam kategori yang mana satu?
Apa aku nak tulis ni bukanlah untuk menyokong atau bangkang buku Fattah Amin ni. Masing-masing ada pandangan masing-masing. Cuma apa pengajaran yang kita boleh dapat daripada isu yang mungkin pada sesetengah orang 'entah apa-apa.. benda camni pun nak jadi isu..' Ohh ada pengajaran ke daripada buku Fattah Amin ni? Ya, ada beberapa benda yang buat aku sedar daripada buku Fattah Amin ni.
Benda yang boleh aku dapat daripada isu ini adalah kita sememangnya sedar bahawa generasi kita sangat kurang membaca. Kalau baca pun pada perkara yang kurang berfaedah. Ok kita letak tepi dulu pada mereka yang baca perkara yang kurang berfaedah. Kita cerita pasal yang tak suka membaca ni. Memang aku perasan kebanyakan kita malah kawan-kawan aku sendiri tak suka membaca. Aku tak ada harapkan korang baca benda yang berat pasal politik atau sains yang buat kepala korang pening. Aku sendiri jarang dan tak berapa minat baca mengenai soal-soal politik aras tinggi dengan perkataan pelik-pelik yang jarang aku dengar. Tapi cukuplah kita rajin membaca isu-isu terkini. Nak suruh baca sejarah, korang tak minat. Bukan semua minat sejarah.
Sejak daripada sekolah lagi sebenarnya, kementerian dah berusaha nak galakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak supaya boleh dijadikan amalan kepada mereka apabila dewasa. Contoh, program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca). Dari kita darjah satu cikgu perpustakaan kita kalau cakap kat perhimpunan mesti pasal program NILAM ni. Tapi aku tertanya, berkesan ke program NILAM ni? Program ni mungkin akan jadi lebih berkesan kalau ibu bapa atau keluarga memainkan peranan yang sangat penting. Seharusnya ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak mereka akan budaya membaca sejak mereka seawal 5-6 tahun lagi.
Aku ingat masa aku kecik mak dengan atuk aku rajin belikan buku untuk aku. Bila aku masuk umur 9 tahun entah macam mana aku tergerak nak beli novel Harry Potter (yang dalam BM punyalah..). Kebetulan aku beli siri yang pertama. Dan sejak tu aku selalu mintak nak beli yang kedua, ketiga sampailah ketujuh daripada keluarga aku supaya belikan. Biasalah budak-budak, mana ada duit banyak nak beli Harry Potter ni. Walaupun selalu diorang bebel asyik baca novel tak berfaedah, tapi diorang belikan jugak. Sebab apa? Sekurangnya aku membaca, bukan buat benda bukan-bukan pun. Daripada membaca novel Harry Potter ni aku sedar yang benda aku minat buat adalah membaca. Kebetulan atuk aku ada banyak buku-buku cerita pasal sejarah Nabi-Nabi dan sahabat. Dari situ aku mula minat sejarah.
Ok aku pun dah tak tau point aku ke mana sebenarnya tapi aku teruskan juga sebab sedap pula menaip ni. Apa yang nak aku tekankan di sini, untuk menerapkan budaya membaca dalam generasi kita seharusnya bermula dari kanak-kanak lagi. Bukan remaja. Seawal yang mungkin. Kalau sesetengah ibu bapa mampu beli ipad untuk senyapkan anak-anak, kenapa tak mereka belikan buku yang menarik untuk mereka? Kalau tak mampu, buku terpakai banyak je. Majalah kanak-kanak banyak yang bagus-bagus. Contohnya dulu aku ingat lagi aku suka baca Majalah Asuh. Yang ada komik godaan syaitan tu. Selain daripada komik tu banyak bahan bacaan menarik dalam tu. Cerita-cerita Nabi, cerpen dan sebagainya yang bagus untuk kanak-kanak membacanya. Banyak je cara untuk kita ajak anak-anak kita membaca. Bak kata pepatah yang kita belajar sejak sekolah rendah lagi 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya..'
Ok di mana kita tadi? Oh ya buku Fattah Amin. Haa punya panjang aku melalut. Jadi, terpulanglah pada kita nak sambut baik atau buruk buku dia ni. Dah dijual dah pun. Bukannya boleh kita suruh kerajaan haramkan buku ni pun. Cuma pada aku, dengan harga sebanyak RM 55 sangat-sangatlah tak berbaloi. Sebab bukannya ada apa pun dalam buku tu. Setakat kata-kata dia dengan gambar dia. Harga mahal tu pun aku rasa sebab kertas, print warna dan sebagainya. Yalah, dia pun buat buku tu untuk peminat dia. Tapi pada aku laa, Fattah Amin ni dah ramai peminat. Kenapa tak gunakan peminat dia yang ramai tu untuk buat buku yang lagi bermanfaat? Dan dengan harga yang lebih berpatutan. Aku tak rasa ada peminat dia dalam kalangan baya aku. Kebanyakan yang lebih muda daripada aku iaitu remaja sekolah. Kalau dia hargai peminat dia, mesti dia akan letak dengan harga yang lebih murah supaya peminat dia boleh beli. Ni harga macam suruh peminat hargai dia je aku rasa. Mungkin penerbit nak letak harga tinggi aku tak tau. Budak sekolah bukannya berduit sangat. Itu pandangan aku la. Nak galakkan anak muda membaca mestilah letak harga yang sesuai dengan anak muda. RM 55 tu boleh beli 3 buah buku yang lagi banyak isinya.
Ok sekian penulisan aku yang berterabur ni. Sebab hari ni tak ada kelas dan aku dalam mood introvert sekarang. Jadi aku pun bazirkan masa tulis benda ni. Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan