Disrict of Panem |
Jadi, masa cuti sem ni aku sempatlah baca ketiga-tiga novel The Hunger Games. Aku dah tengok semua filem dia sebelum ni jadi aku saja nak baca novel untuk maklumat lebih lanjut. Secara keseluruhan novel dan filem mempunyai kekuatan masing-masing. Berbanding Harry Potter yang pada aku novelnya lebih bagus daripada filem, aku rasa untuk Hunger Game ni sama saja novel dan filem.
Ok pada yang tak pernah tengok Hunger Game ni, aku cuba cerita sikit sinopsis dia. Secara asasnya cerita ni mengisahkan tentang sebuah negara Panem yang menjalankan sebuah pertandingan dinamakan Hunger Game. Latar masa cerita ni aku anggap beratus atau beribu tahun daripada zaman sekarang. Disebutkan dalam buku bahawa negara Panem ni mula ditubuhkan di sebuah negara yang 'dulunya' merupakan Amerika Utara. Dek kerana dunia huru-hara dan banyak bencana dan sebagainya apa semua bagai, tertubuhlah sebuah negara Panem tu.
Pada awalnya negara Panem berjalan seperti biasa di mana 13 district (daerah) menyumbang setiap produk industri masing-masing kepada Capitol. Akibat sistem yang tidak adil dan sebagainya, district-district ni semua memberontak dan Panem melalui fasa dinamakan Dark Ages. Selepas Dark Ages di mana pemberontakan tersebut berakhir dengan kekalahan dan District 13 'dihapuskan' dari 'muka bumi', maka Capitol kembali menguasai Panem dan dimetrailah sebuah perjanjian/perundangan di mana setiap district akan menyumbangkan seorang 'tribute' lelaki dan seorang 'tribute' wanita dalam lingkungan 12-17 tahun untuk berentap di dalam pertandingan dinamakan The Hunger Game. Pertandingan ini merupakan pertandingan sehingga mati di mana pemenang ditentukan berdasarkan 'tribute' terakhir yang masih hidup. Tujuan Hunger Game ni diadakan untuk menakutkan district dan memberi bayangan bahawa mereka tidak mampu mengalahkan kekuasaan Capitol.
Cerita bermula pada Hunger Game yang ke-74 apabila seorang gadis daripada District 12 bernama Katniss Everdeen menawarkan diri menjadi tribute (tercatat sejarah sebab selama 74 tahun tak ada siapa menawarkan diri daripada District 12) untuk menggantikan adiknya yang terpilih. Dalam siri pertama kita lihat bagaimana Katniss Everdeen dan Peeta Mellark (tribute lelaki District 12) berusaha untuk memenangi Hunger Game 74. Dan bagaimana dengan satu tindakan Katniss dan Peeta berjaya memberi satu kesedaran dan sekelumit keberanian untuk beberapa penduduk di seluruh Panem untuk menentang kezaliman Presiden Snow dengan pertandingan Hunger Game tersebut.
Itu serba sedikit ringkasan mengenai Hunger Game. Nak tau lebih lanjut boleh tengok filem tu dulu. Dalam buku, penceritaan lebih kepada sudut pandangan Katniss itu sendiri di mana kata ganti diri pertama (I, me) digunakan bagi menggambarkan Katniss. Manakala di dalam filem, lebih kepada penceritaan untuk kita penonton. Terdapat beberapa babak di dalam filem yang tidak mungkin ada di dalam buku seperti perbincangan Seneca Crane dan Snow, Plutarch dan Snow, Plutarch dan Coin. Namun apa aku boleh kata mungkin dia memberi gambaran lebih jelas kerana babak-babak ini diceritakan secara kiasan atau tidak begitu jelas di dalam buku di mana anggapan Katniss atau persoalan yang bermain di minda Katniss itu sendiri. Jadi boleh aku kata filem untuk cerita ini melengkapkan beberapa persoalan di dalam buku.
Selain itu, siri ini menarik minat aku kerana melibatkan soal-soal politik dan kenegeraaan tapi dari sudut pandang yang berbeza dan mungkin pada sesetengah orang tidak masuk akal. Siri ini juga menggunakan beberapa falsafah atau ideologi Rom tidak terkecuali beberapa bahasa yang seperti bahasa Latin (Rom). Seperti Panem yang bermaksud roti dan sebagainya.
Ada beberapa peristiwa atau perkara yang betul-betul menarik perhatian aku dalam siri ini dan perkara inilah yang memberi aku ilham untuk menulis penulisan ini. Pertama sekali adalah Mocking Jay. Mocking Jay ini merupakan satu spesis burung di Panem yang boleh mengajuk bunyi-bunyian yang menarik minat mereka. Mocking Jay ini banyak kali digunakan di District 11 untuk menyampaikan isyarat dan sebagainya. Mocking Jay ini juga menjadi simbol kepada revolusi seluruh Panem untuk menentang kezaliman Capitol dan Presiden Snow. Tapi apa yang menarik Mocking Jay ini sebenarnya produk secara tak langsung daripada Capitol itu sendiri.
Pada zaman Dark Age ketika district menentang kuasa Capitol, Capitol menghasilkan beberapa senjata biologi yang menggunakan kejuruteraan biologi untuk mengalahkan pemberontak. Antaranya adalah dengan menghasilkan Tracker Jacker, sejenis serangga seperti lebah yang sengatannya boleh memberikan halusinasi kepada mangsanya dan boleh juga membawa maut. Sarang Tracker Jacker ini diletakkan di sekeliling Capitol sebagai pertahanan dan diletakkan juga di District sebagai senjata. Apabila pemberontak dikalahkan sarang Tracker Jacker ini dihapuskan kecuali di sekitar District saja dibiarkan.
Terdapat juga Jabber Jay di mana penghasilan spesis burung yang kebolehannya seperti burung kakaktua atau nuri namun lebih hebat lagi di mana Jabber Jay ini boleh terbang dari Capitol ke district kemudian mendengar dan merakam/mengingati perbualan pemberontak dan pulang semula ke Capitol dan menyebut semula setiap apa kata-kata pemberontak. Setelah Dark Age berlalu, Jabber Jay ini dilepaskan saja ke hutan dan saintis pada ketika itu menjangkakan mereka semua akan mati. Namun siapa sangka burung-burung ini bersenyawa (aku tak ingat perkataan yang sesuai) dengan burung-burung di hutan dan setelah berpuluh tahun wujudlah spesis yang dinamakan Mocking Jay.
Daripada sini kita dapat lihat seolah sebuah kezaliman jatuh disebabkan kezaliman yang dilakukannya sendiri. Dan sememangnya seperti kata pepatah 'What you give, you get back'. Jadi sebenarnya ia boleh dijadikan mesej kepada pemimpin-pemimpin yang zalim bahawasanya satu hari nanti, kezaliman yang dia lakukan akan memakan sama ada dirinya atau pewaris-pewarisnya.
Selain itu, kita juga dapat lihat kesusahan dan keperitan untuk menggantikan kerajaan yang zalim dengan kepimpinan yang lebih baik. Untuk menggulingkan kerajaan zalim tidaklah sesusah itu. Kita dapat lihat setelah Capitol berjaya dikalahkan, Coin mengambil alih dengan gelaran Presiden sementara dan Coin mencadangkan untuk mengadakan Hunger Game ke atas anak-anak Capitol kononnya untuk memuaskan kemarahan penduduk District yang lain. Seolah Coin mempunyai pemikiran yang sama dengan Snow cuma beliau mahu kekuasaan itu kepadanya. Mujur tindakan Katniss membunuh Coin berjaya mengelakkan keadaan ini.
Namun realitinya memang kita dapat lihat di beberapa negara. Contoh paling dekat dengan masa kita adalah Arab Spring. Berapa banyak negara Arab yang keluar daripada revolusi dengan keadaan yang lebih baik? Mungkin Mesir berjaya tapi setahun saja la. Apa jadi pada Syria? Libya? Dan hasil daripada Arab Spring ini adakah memanfaatkan orang-orang Islam? Tidak sama sekali. Kepimpinan yang bercirikan sekular dan menekan rakyat juga yang memerintah. Kepimpinan yang mengambil duit rakyat untuk kepentingan sendiri juga yang mengambil alih. Nasib rakyat Palestin masih sama dan tidak berubah. Sememangnya untuk kita menukar kepimpinan dengan keganasan dan penggulingan kerajaan jarang sekali memberi keadaan yang lebih baik kepada kita.
Jadi itu saja agaknya. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan