Sabtu, 20 Januari 2018

Apa Erti Merdeka Bagi Diri Saya

Sebenarnya tulisan ni aku tulis untuk masuk pertandingan menulis sempena Hari Kebangsaan. Lepas tu aku tak ingat sama ada aku hantar atau tidak. Kalau hantar dah sah-sah tak menang. Maka aku sekadar kongsi kat blog aku. Silakan baca ^_^
.
.
Betapa kacaknya aku dengan Jalur Gemilang... hehehe

Bulan Ogos tiba lagi dan seperti biasa di Malaysia, bulan ini sangat sinonim dengan Hari Kebangsaan sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Sudah mencapai 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya. Namun begitu, ada pandangan yang mengatakan bahawa negara kita ini belum merdeka sepenuhnya dari belenggu penjajah. Hal ini kerana definisi merdeka itu sendiri berbeza-beza bagi setiap individu. Hamka pernah berkata "Kemerdekaan suatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa."

Bagaimana pula kita? Apakah erti kemerdekaan itu pada kita? Adakah negara ini sudah betul-betul merdeka? Pada pandangan saya, kita memang telah merdeka dari kebanyakan aspek terutamanya dari sudut politik, tetapi dalam beberapa perkara sesetengah daripada kita belum merdeka sepenuhnya. Mudah saja untuk melihatnya. Kita lihat dari sudut bahasa. Orang yang mahir berbahasa Inggeris lebih dipandang tinggi berbanding mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Tahun lalu, apabila Faiz Subri yang memenangi Anugerah Gol Terbaik di PUSKAS dikritik kerana kurang fasih berbahasa Inggeris. Malah lebih memalukan ada yang mengatakan Faiz telah memberi malu kepada negara hanya kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris meskipun telah memenangi anugerah yang membanggakan negara.

Tak lupa juga dari sudut budaya. Kebanyakan daripada kita malu untuk menunjukkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia kepada orang luar. Contoh yang sama apabila Faiz Subri ingin berbaju Melayu ketika mahu menerima anugerah tersebut. Beliau dikritik kononnya tidak sesuai dan seumpamanya. Kita mungkin sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan, tetapi pemikiran kolonial seperti ini masih wujud dalam masyarakat kita. Bahkan berapa ramai antara kita yang bangga mengenakan pakaian kebangsaan di dalam majlis formal? Kita lebih suka mengenakan pakaian barat malah merasa gah mengenakannya.

Tidak dinafikan banyak perubahan yang berjaya kita kecapi setelah mencapai kemerdekaan. Kita sudah mampu mentadbir negara kita sendiri. Kita sudah ada kereta berjenama kita sendiri. Kita sudah ada sistem pendidikan kita sendiri. Malahan kita sudah ada mercu tanda yang dihasilkan oleh orang kita sendiri seperti KLCC. Tetapi sangat sedih jika masih ramai tidak bangga menaiki kereta buatan tempatan. Masih ramai golongan elit terutamanya yang menghantar anak-anaknya belajar ke luar negara. Lebih menyedihkan, masih ramai warganegara Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sesama mereka. Bahasa penjajah lebih diagung-agungkan.

Bukanlah saya tidak bersyukur akan apa yang kita telah capai daripada kemerdekaan ini, tetapi bukankah kemerdekaan kita ini akan menjadi lebih bermakna jika kita berbangga menggunakan produk tempatan kita. Kita berbangga menuturkan bahasa kebangsaan kita meskipun di hadapan pelancong luar negara. 60 tahun kita merdeka. Kita mampu memerintah negara kita sendiri. Namun hakikatnya untuk kita menuju ke arah erti kemerdekaan yang sebenarnya masih jauh. Jiwa kita masih lagi dibelenggu oleh pemikiran yang telah diterapkan oleh penjajah.

Kesimpulannya, erti merdeka pada saya tidak sekadar merdeka fizikal semata-mata. Jiwa yang merdeka adalah tujuan utamanya. Kerana tanpa jiwa yang merdeka kita tidak akan tenang. Bagaimana mahu menjadi sebuah negara maju jika jiwa kita masih terbayang keagungan negara lain? Tidaklah salah mencontohi mereka namun berpada-padalah. Orang Jerman, Jepun, Korea, Perancis malah Arab sekalipun jarang kita tengok menyindir orang senegara mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Tetapi kita berasa malu jika tidak tahu berbahasa Inggeris di hadapan orang Inggeris. Seolah mereka itu masih tuan kita yang perlu untuk kita mengikut rentak mereka. Jika kita mampu memimpin negara kita tanpa mereka, pasti kita mampu dan gah menunjukkan identiti kita sendiri kepada mereka.

4 ulasan:

  1. Ni tahun berapa punya?Macam 2017...Macam mana boleh terfikir idea ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya ni saya tulis asalnya tahun 2017 untuk pertandingan menulis sempena Hari Kebangsaan yang ke-60.
      Tapi sebab tak menang, kemudian rasa nak letak dekat blog.
      Idea- sebelum tu saya ada tulis mengenai "Faiz Subri dan minda orang Malaysia" dan "Memartabatkan Bahasa Melayu?" jadi gabung2 sikit isi kemudian hurai.. hehehe

      Padam
  2. mantap bang idea luar kemampuan

    BalasPadam
  3. Tak lama lagi nak sambut hari kemerdekaan yang ke-67

    BalasPadam