Isnin, 19 Mac 2018

Perempuan Berkalung Sorban - Review

Memandangkan 8 Mac itu hari merupakan Hari Wanita Sedunia, entah kenapa malam tu aku tergerak pulak nak tengok cerita Perempuan Berkalung Sorban ni. Tak silap ini filem. 

Ok, terus kepada sinopsis dia dulu. Jadi cerita ni mengisahkan tentang seorang anak kiyai Pesantren Al-Huda iaitu Annisa binti Hannan yang merasakan nilai-nilai Islam yang dipegang oleh pesantrennya itu sangat diskriminasikan wanita. Pada awal zaman persekolahannya beliau merasakan Islam itulah yang mendiskriminasikan wanita. Sejak kecil dia minat kepada aktiviti menunggang kuda. Namun kerana pada ketika itu, menunggang kuda dianggap hanya sesuai untuk lelaki bukan wanita. Maka, beliau dimarahi oleh ibu dan ayahnya. Meskipun beliau mengeluarkan hujah bahawa tokoh-tokoh wanita Islam yang hebat pada zaman dahulu juga menunggang kuda namun tetap beliau tidak diberi izin untuk menunggang kuda.

Annisa ini ada seorang teman rapat(boyfriend lerr senang cerita) yang bernama Khudori (aku tak pasti ejaan). Ketika usia Annisa dalam lingkungan 10-11 tahun mungkin Khudori ni sambung belajar ke Cairo untuk mendalami agama. Tinggallah Annisa seorang di Pesantren Al-Huda dengan pendapatnya yang sangat berbeza dengan warga pesantren tersebut terhadap hak-hak wanita. Satu ketika Annisa ditangkap kerana ingin menonton wayang (menonton wayang dianggap seperti pergi ke sarang syaitan) lalu beliau dihalang untuk keluar ke pesantren sampailah habis sekolah.

Apabila Annisa mendapat tawaran untuk sambung belajar ke Jogjakarta, ayahnya tidak memberi izin kerana Annisa belum bermuhrim (bersuami) takut menjadi fitnah bagai. Kebetulan tidak lama kemudian datang pinangan dari seorang kiyai yang banyak memberi banyak bantuan kepada Pesantren Al-Huda untuk meminang Annisa bagi pihak anaknya yang baru habis pengajian, Shamsul. Walaupun Annisa tidak bersetuju namun akhirnya beliau terpaksa juga kahwin dengan Shamsul meskipun hatinya masih berpaut pada Khudori.

4 tahun beliau melayari perkahwinan bersama Shamsul dan beliau masih tetap didiskriminasikan dan hak-hak beliau sebagai seorang isteri untuk dilayan dengan baik tidaklah ditunaikan. Beliau dipaksa 'bersama' dengan suaminya meskipun beliau telah memberitahu dalam halangan. Sampailah seorang wanita yang sarat mengandung datang ke rumah memberitahu bahawa suaminya telah menduakan beliau. Maka hiduplah Annisa bermadu dengan serumah bersama madunya dan diabaikan suaminya. Apa jadi seterusnya tengoklah cerita ni sendiri.

Ok, tujuan aku tulis ni nak konon-konon review la cerita ni. Perkara utama yang paling ketara dalam cerita ini adalah tentang diskriminasi terhadap wanita serta kebabasan wanita. Dan sudah pastilah ini merupakan tema kepada cerita ini. Babak-babak kiyai mengajar anak-anak perempuan pesantren tentang kewajipan seorang isteri untuk taat terhadap suami dan tentang batas-batas serta larangan yang perlu dihindari wanita menggambarkan bahawa kehidupan wanita di Pesantren Al-Huda sangatlah terbatas. Tidak boleh bekerja, meluahkan pendapat dan sebagainya. Terdapat beberapa pengajaran yang aku boleh dapat dari cerita ni dan kebanyakannya berkaitan dengan kebebasan wanita.

Pengajaran pertama adalah, untuk mengawal seorang insan yang bergelar wanita haruslah dikawalnya dengan hikmah iaitu kebijaksanaan. Dalam cerita ni digambarkan anak-anak muslimah di Pesantren Al-Huda lebih kepada ditakutkan dengan hukuman neraka sekiranya meminta cerai, tidak taat kepada suami, tidak menjaga maruah dan sebagainya. Namun adakah dengan cara menakut-nakutkan ini berkesan? Mungkin berkesan pada sebahagian kecil manakala selebihnya tidak. Ketika Annisa ingin menumpang rumah sahabatnya di Jogjakarta, ternyata sahabatnya itu telah lari jauh menyimpang dari ajaran Islam. Ini menyebabkan Annisa sedikit kaget. Tambah pula sedang berdua-duaan dengan lelaki di dalam bilik dalam keadaan yang sangat mencurigakan. Sahabatnya itu juga menceritakan tentang sahabat mereka di pesantren yang lain yang juga sudah lari dari ajaran Islam. Ada yang tidak kisah diusung ke sana ke mari oleh lelaki, ada yang sudah tidak menutup aurat dan sebagainya. Sahabatnya itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada Annisa kerana memberi galakan kepadanya untuk ke Jogjakarta kerana sahabatnya merasakan beliau telah bebas dari belenggu Islam yang 'mengongkong' wanita.

Dari babak ini kita dapat lihat, matlamat asal Pesantren Al-Huda untuk melahirkan muslimah-muslimah yang baik tidaklah begitu tercapai. Sedangkan sahabat rapat kepada anak kiyai juga lari menyimpang apatah lagi anak-anak yang lain? Di zaman yang serba moden ini, lebih-lebih lagi dengan asakan daripada liberalisme, sekularisme dan sebagainya, seharusnya para muslimah dan sudah tentu muslimin sekali haruslah diterapkan ke dalam akalnya akan kepentingan mengamalkan ajaran Islam itu. Dan tidak sepatutnya sekadar ditakut-takutkan dengan azab neraka semata-mata. Selain itu, sepatutnya Pesantren Al-Huda memberikan pengetahuan tentang hak-hak wanita yang terdapat di dalam Islam. Bukan sekadar pantang larangnya semata-mata.

Pengajaran kedua adalah, kebebasan yang selari dengan Islam. Bebas apa erti bebas? Terpulang pada setiap individu itu sendiri untuk mendefinisikan kebebasan itu. Namun dalam cerita 'Perempuan Berkalung Sorban' ini, ada satu kata-kata pada hujung-hujung cerita ni yang diungkapkan oleh Annisa iaitu "Ikutilah jalan Allah dengan rasa bebas". Kenapa ayat ini dikeluarkan. Kita kaitkan dengan pengajaran pertama yang aku huraikan tadi. Muslimah-muslimah di Pesantren Al-Huda lebih kepada dikongkong dan ditakut-takutkan dengan neraka untuk memastikan mereka taat kepada perintah Allah. Sepatutnya mereka harus diajar untuk taat kepada perintah Allah dengan rasa yang lebih bebas. Sebagai contoh, menutup aurat. Adakah dengan menakutkan wanita dengan azab kalau tidak menutup aurat lebih berjaya membuatkan seorang muslimah itu istiqamah dengan penutupan auratnya, atau dengan cara memberi justifikasi yang diterima akal tentang perlunya penutupan aurat bagi wanita Islam seperti untuk melindungi maruah, menaikkan darjat, supaya dihormati lelaki dan sebagainya.

Pengajaran ketiga adalah wanita berpendapat. Satu babak apabila Annisa berhasrat ingin mengadakan sebuah perpustakaan di Pesantren Al-Huda namun mendapat bangkangan abangnya sendiri. Menurut Annisa, perpustakaan ini dapat membantu pelajar-pelajar (wanita) untuk mengembangkan minda mereka dan boleh mengutarakan pandangan mereka. Namun menurut abangnya dan aku ingat akan ayatnya "....wanita itu sudah mendapatkan surganya tanpa perlu berpendapat...." Namun akhirnya abangnya menerima akan cadangan adiknya itu setelah berlaku satu peristiwa di mana anak-anak pesantren lari.

Di zaman Rasulullah SAW sendiri, wanita muslimah tidaklah dihalang daripada mengutarakan pandangan mereka. Malah ketika zaman awal hijrah ketika Islam telah bertapak di Madinah, wanita-wanita Ansar banyak mengutarakan pandangan mereka untuk mendapatkan keselesaan dalam menuntut ilmu di masjid misalannya. Mereka meminta Nabi S.A.W untuk mengadakan hari khas bagi wanita untuk mendengar ceramah Nabi supaya mudah bagi mereka untuk bertanya soalan. Hal ini kerana jika sebelumnya syarahan Nabi didengar oleh lelaki dan wanita di mana sudah tentu lelaki berada di hadapan, agak sukar bagi muslimah untuk bertanyakan soalan. Selain itu, wanita-wanita Ansar juga meminta diadakan pintu khas untuk wanita di masjid agar mudah untuk mereka ke bahagian wanita di masjid tanpa perlu melalui ruangan lelaki.

Kata ‘Aisyah: “Sebaik-baik wanita, wanita Ansar, malu tidak pernah menghalang mereka bertafaqquh dalam agama.

Tidaklah dengan sikap wanita Ansar ini mereka mencari alasan untuk tidak mengamalkan syariat Islam. Ketika ayat perintah menutup aurat diturunkan, wanita Ansar dilihat segera melaksanakan perintah tersebut dengan mengambil kain yang berhampiran dengan mereka untuk menutup aurat. Kita dapat lihat di sini bahawasanya Islam tidaklah menghalang wanita daripada menyuarakan pandangan atau bersuara asal saja kena pada caranya. Tidaklah wanita Ansar itu bersuara untuk tidak melaksanakan perintah Allah. Tidak juga mereka bersuara tanpa sebarang ilmu. 

Ini saja sedikit sebanyak pengajaran yang aku dapat dan dapat hurai serba sedikit yang aku tau. Sebenarnya banyak lagi pengajaran yang kita boleh dapat daripada cerita ni. Contohnya peranan suami dalam mendidik isteri, suami perlulah berbuat baik kepada isteri, bagaimana hendak seiringkan kemajuan sama dengan landasan Islam dan banyak lagi. Untuk cerita ni aku bagi rating (cewaahhhh siap nak rate bagai... hahaha) 8/10. Walaupun aku rasa macam tak proper pulak babak cinta Annisa dengan Khudori tu. Eh orang agama kot, janganlah digambarkan pegang-pegang.

Aku tengok berulang kali kot. Entah mungkin sebab isu kebebasan wanita ni satu topik yang menarik minat aku. Kita sekarang diasak dengan pemikiran feminisme dan liberalisme yang banyak menyimpang daripada ajaran Islam. Ditambah pula ekstrimis Islam yang terlalu mengongkong wanita secara berlebih-lebihan. Jadi pentingnya ilmu bagi para muslimah untuk memastikan mereka mencari kebebasan dengan cara yang betul.

"Pilih jalan Allah dengan rasa bebas.."

Ayat ni pada aku sangatlah lejen. Memberi makna yang mendalam. Jika kita taat perintah Allah tanpa rasa bebas atau dalam kata yang mudah ikhlas dan reda, kita akan mudah lari daripada jalanNya itu. Taat perintah Allah dengan rasa yang bebas membuatkan kita tak rasa penat dengan Islam. 

Sekian saja daripada aku.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan