Sabtu, 8 Oktober 2016

Cakna Ummah

Dua malam lepas iaitu pada 7 Oktober 2016, aku hadir satu forum anjuran ACIS UiTM Puncak Alam. Panel yang dijemput adalah Yatt Hamzah dan Prof (Dr.. ke encik tak ingat gelaran) Nik Abdul Aziz. Tajuk forum Hijrah Ummah macam tu. Tapi antara perkara utama yang disebut adalah mengenai penderitaan saudara Islam kita di sana. Banyak pengajaran yang aku dapat dari sana.

Aku tak nak cerita apa yang disebut oleh panel-panel tu sebab banyak sangat dan aku sendiri pun tak berapa ingat. Tapi lepas program tu aku ada la juga terfikir, "Layak ke kita orang Islam kat Malaysia ni kata kita ni cinta kepada saudara seagama kita?" Apa sumbangan aku kepada saudara seagama aku? Hatta yang di Malaysia pun aku tak pernah bantu sedangkan aku rasa aku mampu je.

Ada satu kisah. Panel tu pun cerita kisah ni dan aku pun pernah terbaca cerita ni dua tiga kali dekat Harakah tak silap. Satu ketika pada zaman dulu di musim Haji, seorang ulama (tak ingat nama) bermimpi. Masa tu dia pun pergi haji. Dalam mimpi tu dia melihat dua malaikat sedang berbual. Antara isi perbualan adalah seperti ini.
"Berapa ramai jemaah Haji pada tahun ini?"
"600 000 orang"
"Sungguh ramai. Berapa ramai yang hajinya diterima Allah?"
"Tiada"
"Tetapi kerana seorang yang bernama polan bin polan yang berada di sekian tempat, Allah menerima haji mereka pada tahun ini."
(ada riwayat kata hanya haji si polan itu saja yang diterima. Wallahualam)

Dan ulama itu sedar dari mimpi. Selepas habis urusan hajinya, beliau pergi ke tempat yang disebut di dalam mimpinya lalu mencari lelaki yang disebut oleh malaikat di dalam mimpinya itu. Akhirnya beliau menjumpai lelaki tersebut. Lelaki itu merupakan seorang tukang kasut biasa. Terkejut lelaki itu seorang ulama hebat datang berjumpa dengannya. Apabila ulama tersebut bertanya apakah amalan beliau sampai Allah menerima haji semua jemaah haji pada tahun tersebut? Lelaki itu berkata dia tiada amalan-amalan khusus.

Tetapi lelaki itu bercerita bahawasanya dia sudah lama mengumpul duit hasil pekerjaan sebagai tukang kasutnya itu. Akhirnya pada tahun itu, wang untuk beliau pergi menunaikan haji mencapai 300 dirham. Satu malam, beliau terbau bauan makanan. Lalu beliau menyelidikinya. Sampailah beliau ke sebuah pondok yang usang. Beliau mengetuk pintu untuk merasa makanan yang dimasak oleh penghuni pondok tersebut. (katanya isteri beliau mengandung dan mengidam mahu makan makanan daripada bauan tersebut)

Lalu pintu dibuka oleh seorang wanita yang kusut pakaiannya. Lelaki tersebut menjelaskan keinginannya untuk mengambil sedikit makanan tersebut untuk isterinya yang sarat mengandung. Lalu wanita itu berkata lebih kurang, "Maaf tuan. Makanan ini halal untuk saya tetapi haram untuk tuan. Kerana saya dan anak-anak sudah lama kelaparan. Satu hari saya ternampak bangkai keldai lalu saya mengambil sedikit daripada daging tersebut lalu saya mencucinya dan dimasak untuk dimakan sebagai alas perut."

Terkejut lelaki itu lalu meminta izin untuk pulang lalu memberitahu isterinya. Mereka pun memasak sekadar apa yang ada untuk wanita tadi. Lalu dibawa kepada wanita tersebut. Kemudian, lelaki itu memberikan 300 dirham (wang yang digunakannya untuk menunaikan haji itu) seikhlas hatinya. Di dalam hatinya berkata, "Inilah hajiku ya Allah".

Pengajaran daripada cerita ini adalah, kadangkala kita terlampau banyak mengeluarkan duit untuk ibadah sendiri. Umrah atau haji berkali-kali contohnya. Haji itu wajib pada yang pertama. Yang kedua, ketiga? Aku rasa lagi elok digunakan untuk ummah.

Ada lagi satu kisah mengenai rakyat Gaza. Sebenarnya banyak kisah-kisah hebat mengenai penduduk Gaza. Aku cerita apa yang aku tau saja. Salah satu daripadanya masa Somalia dilanda kemarau, rakyat Gaza berjaya mengumpulkan derma yang sangat banyak (aku tak ingat berapa) sedangkan mereka sendiri dilanda kesusahan ketika itu. Selain itu, aku pernah juga terbaca di Mastika.. ketika sembahyang subuh di sana, mereka mendoakan akan kesejahteraan rakyat Syria yang sedang bergolak. Sedangkan mereka sendiri sedang bergolak.

Para mujahidin di sana juga hebat-hebat belaka. Isteri mujahidin mereka juga hebat. Banyak kisah-kisah yang kalau kita baca boleh mengalir air mata kerana malu dan sedih. Tetapi mereka tidak. Malah mereka tidak meminta air mata kita. Apa yang mereka minta cumalah doa kita supaya Al-Aqsa berjaya dibebaskan supaya kita semua boleh sujud di sana satu hari nanti. Mereka ingin membebaskan Al-Aqsa bukanlah kerana itu tanah tumpah darah mereka saja. Tetapi mereka mahu kita boleh sujud di sana. Semangat persaudaraan sesama Islam oleh mereka sangat hebat.

Maka, marilah kita sama-sama membantu saudara kita di sana dalam apa jua cara yang kita mampu. Sentiasa kita doakan mereka. Jangan asyik doa jodoh je. Doakanlah diorang sekali. In sha Allah bumi Syam kembali aman dan akan menjadi milik kita, umat Islam semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan