Jumaat, 19 Disember 2014

MASYARAKAT BANJAR DI MALAYSIA

Pendahuluan
Masyarakat Malaysia terkenal kerana sifat majmuknya. Salah satu golongan etnik yang besar ialah orang Banjar. Seperti golongan etnik lain, orang Banjar juga merupakan satu golongan yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri di negara ini.
Orang Banjar adalah tergolong dalam rumpun bangsa Melayu, walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui tentang masyarakat ini. Keadaan ini agak berbeza dengan orang Jawa yang lebih dikenali walaupun kedua-dua masyarakat ini mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia.
Satu hal yang agak menarik juga, kedua-dua masyarakat tersebut tinggal di kawasan petempatan yang berdekatan di Malaysia, contohnya di daerah Batu Pahat, Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor dan daerah Bagan Datoh di Perak.
Sehingga kini, belum ada penulisan yang benar-benar lengkap tentang sejarah kedatangan atau perkembangan masyarakat tersebut di negara ini, walaupun sumbangan mereka dalam bidang sosial, ekonomi dan politik bangsa Melayu khasnya di negara ini secara keseluruhannya tidak kurang pentingnya.
  
Asal Usul Kedatangan Orang Banjar ke Tanah Melayu
Orang Banjar yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu. Kawasan ini adalah terletak di bahagian tenggara Borneo. Di antara daerah-daerah utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah dari daerah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian dari mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi dan Sepat. Daerah-daerah tersebut merupakan kawasan penanaman padi. Oleh demikian, mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Di samping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan berniaga juga ditekankan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan mereka dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang tinggal lebih ke utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan kemahiran membuat peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata. Kebanyakan mereka suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti di sepanjang lembah Sungai Barito dari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung di utara.
Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan, tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji orang Banjar, migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak, Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada itu Bagan Datoh di Perak juga dikatakan tempat pertapakanawal masyarakat ini di Tanah Melayu.
Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka masih lagi manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah, kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh didapati di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman padi seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di Sabah pula, orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini pula terbahagi kepada beberapa puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung dan Kalua dari daerah Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah Alai, Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah Margasari dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usul mereka di Tanah Banjar.
Selain daripada faktor perdagangan, kemiskinan yang mencengkam kehidupan orang Banjar di tempat asal mereka juga telah mendorong penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar agak sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan dengan pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Di samping itu, mereka tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke Tanah Melayu.
Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat menggalakkan penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan mengerjakan kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat terkenal dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.

Sumber Ekonomi
Sumber ekonomi asas penduduk adalah bertani(menanam padi) dan menangkap ikan. Mereka juga melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih moden seperti industri pelancongan, pembuatan makanan, bengkel membuat kereta dan motosikal dan sebagainya yang di lakukan di sekitar perkampungan tersebut. Mereka juga mampu melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti tempatan setanding dengan bangsa lain dan keluar menjadi  seorang yang mampu mengubah aktiviti ekonomi tradisional kepada suatu yang lebih maju kehadapan seperti seorang ahli perniagaan, guru dan sebagainya.

Bahasa
Sebahagian besar perkataan dalam Bahasa Banjar adalah sama dengan Bahasa Melayu, begitu juga dengan awalan seperti di, ber, ter, men, meng, dan akhiran seperti kan, an dan sebagainya. Perbezaan yang nyata hanyalah dari segi sebutan. Bahasa Banjar menggunakan abagi menggantikan e (pepet) seperti kalihatan(kelihatan), handak(hendak) dsb.
Bahasa Banjar juga menggunakan awalan ‘ber‘ , ‘ter‘ , ‘me, men, meng‘ yang ditukar menjadi ‘ba‘, ‘ta‘, ‘ma‘ seperti ‘bersedih’ disebut ‘basadih‘, ‘memberi‘ disebut ‘mambari‘ , sementara akhiran ‘kan’ kadangkala disebut ‘akan‘ contohnya ‘mendengarkan’ jadi ‘mandangarakan‘.

Muzik dan Kesenian
Salah satu kesenian  muzik tradisional khas Suku Banjar  ialah Muzik Panting. Muzik panting berasal dari daerah Tapin, Kalimantan Selatan. Pada zaman dulu muzik hanya dimainkan secara solo. Disebabkan semakin majunya perkembangan zaman dan muzik panting akan lebih menarik jika dimainkan dengan beberapa alat muzik lainnya, seperti babun, gong,dan biola dan pemainnya juga terdiri dari beberapa orang. Ada sebuah kesenian muzik tradisional Suku Banjar, iaitu Muzik Kentung yang berasal dari daerah Kabupaten Banjar iaitu di desa Sungai Alat, Astambul dan Kampong Bincau, Martapura.

Agama dan Kepercayaan
Kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara hidup yang sederhana. Maka, tidak hairanlah bahawa masyarakat ini amat condong terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka.
Perkembangan pendidikan secara formal yang wujud dalam masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca al-Quran, mempelajari hal-ehwal syariat Islam sama ada di sekolah-sekolah agama rakyat mahupun di madrasah-madrasah. Bagi golongan yang berkemampuan pula, mereka menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah arab mahupun pondok-pondok di tempat lain. Bagi yang lebih berkemampuan, mereka juga turut menghantar anak-anak mereka ke Tanah Suci Mekah untuk mendalami ilmu agama. Amat kurang sekali yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan mahupun ke sekolah Melayu kerana mereka berpendapat mata pelajaran yang di ajar tidak sesuai dan semata-mata hal-ehwal duniawi sahaja. Begitu juga dengan sekolah-sekolah Inggeris mereka khuatir anak-anak mereka akan terpengaruh dengan dakyah Kristian jika menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut. Walaupun pada umumnya, fahaman sebegini wujud dikalangan masyarakat Melayu yang lain, tetapi keadaan yang wujud dikalangan orang Banjar amat ketara sekali.
Sebagai buktinya, sehingga awal tahun-tahun 60an, amat kurang sekali pegawai-pegawai kerajaan mahupun kakitangan yang berketurunan Banjar. Kalau pun ada, hanya pegawai-pegawai agama atau guru-guru agama. Ringkasnya mereka lebih berminat untuk bergiat dalam bidang-bidang yang bersangkutan dengan hal-ehwal agama Islam sahaja. Kesan lain yang dapat diperhatikan dan masih kekal sehingga kini ialah terdapatnya dengan banyak sekali sekolah-sekolah agama rakyat, madrasah mahupun pondok-pondok dikawasan-kawasan yang majoriti penduduknya orang Banjar seperti di daerah Kerian, Perak mahupun di daerah Sabak Bernam, Selangor.
Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah mereka dikatakan kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti kerusi, meja dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak sahaja.
Namun masyarakat Banjar pada masa kini sudah berubah dan tidak seperti pada masa dahulu. Seperti kaum yang lain juga, masyarakat Banjar sudah ada di setiap bidang pekerjaan.

Adat dan Pantang Larang
Perkahwinan
Secara umumnya adat perkahwinan masyarakat Banjar mirip kepada adat perkahwinan masyarakat Melayu. Cuma ada sedikit perbezaan seperti masyarakat Banjar mempunyai adat Usung Jinggung.
Usung Jinggung merupakan adat dalam majlis perkahwinan masyarakat banjar dimana pengantin akan diusung di atas bahu orang lain di hadapan para tetamu yang hadir. Upacara ini hanya dilakukan oleh orang yang mahir sahaja kerana ianya bukan sahaja memerlukan tenaga yang lebih untuk mengusung pengantin tetapi harus pandai menari.Ini kerana pengusung yang di panggil ‘Pausung’ perlu menari mengikut irama muzik yang dimainkan bagi tujuan menghiburkan tetamu yang hadir.

Kelahiran
Antara adat resam yang diamalkan oleh masyarakat banjar adalah berkenaan adat  Pukong. Pukong ini adalah cara yang unik  untuk menidurkan bayi antara 1-5 bulan. Terdapat juga adat seperti ‘marhaban keliling budak iaitu adat untuk meraikan kehadiran orang baru.

Pantang Larang
Masyarakat Banjar juga mempunyai pantang larang yang mana dalam bahasa mereka disebut ‘pemalek’. Antaranya tidak boleh duduk di atas bantal kerana takut pelakunya akan berbisul. Yang kedua, melarang masyarakat mereka membawa kanak-kanak pergi berjalan jalan di waktu petang atau senja. Hal ini kerana, takut kanak-kanak  tersebut akan mendapat gangguan daripada benda halus.


Kesimpulan
Identiti masyarakat Banjar ini masih lagi boleh dilihat namun semakin hilang ditelan zaman yang mengarah ke arah kemodenan pesat pada hari ini terutama sekali dalam penggunaan bahasa banjar itu sendiri di kalangan remaja-remaja.
Terdapat juga mereka yang masih kuat pegangan adat serta amalan tradisional dan kelompok-kelompok ini dipelopori oleh golongan-golongan tua yang berumur 50 tahun keatas.
Masyarakat Banjar mempunyai keunikannya tersendiri yang mana mampu menonjolkan ciri-ciri kebanjaran itu sendiri dalam membuat perbandingan dengan masyarakat ataupun suku kaum lain yang terdapat di Malaysia ini.
Masyarakat Banjar juga merupakan masyarakat yang boleh setanding dengan masyarakat lain dalam segala aspek mahupun dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sebagainya walaupun jika dilihat pada sejarah masyarakat ini berasal dari mereka yang biasa-biasa sahaja.

Rujukan
Orang Banjar di Malaysia. Diperoleh pada 9 September 2014 daripada http://banjarcyber.tripod.com/artike9.html

Masyarakat Banjar di Malaysia. Diperoleh pada 10 September 2014 daripada http://www.slideshare.net/AbuIqram/masyrkt-banjar

credit to:
Faizal Loyppzz
Muhd Zulhanis Hassan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan