Sabtu, 16 Ogos 2014

HIJAB - Menutup aurat atau kepala?


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur ayat 31]

Ini merupakan dalil yang paling umum mengenai penutupan aurat bagi muslimah sekalian. Pemakaian tudung telah bermula sejak zaman sebelum kedatangan Islam lagi.
Sebagai contoh, wanita arab ketika zaman jahiliyah ada yang sudah mengenakan penutup pada kepalanya, tetapi kain yang digunakan dibiar lepas ke belakang, dan mendedahkan leher serta belahan dada yang sepatutnya ditutup setelah turunnya ayat 31 Surah An-Nur ini.

Begitu juga pemakaian hijab juga disyariatkan di dalam agama Yahudi dan Nasrani. Sebab itu, kita dapat lihat sesetengah penganut agama Yahudi memakai hijab yang agak mirip kepada pemakaian hijab muslimah sekalian. Namun pemakaian yang sebegitu, sudah jarang dilihat sekarang kerana wanita Yahudi kini kelihatan lebih selesa menutup kepala mereka sahaja. Dapat juga kita lihat bagi penganut kristian terutamanya para rahib wanita yang mengenakan hijab malah, ada yang labuh sehingga ke dada dan kelihatan lebih muslimah daripada para muslimah yang lain.

Kita juga dapat lihat penganut agama Hindu juga mengenakan hijab di kepala mereka walaupun ada di antara mereka tidak mengenakan hijab. Sedangkan agama hindu sudah lama wujud sebelum Nabi Isa As diutuskan lagi. Walaupun mungkin mereka mengenakan hijab setelah Islam tersebar ke India.

Namun setelah turunnya ayat 31 ini, maka pakaian yang disyariatkan kepada para muslimah sekalian adalah pakaian yang longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, tudung yang labuh ke dada serta tidak berlebih-lebihan dalam berhias. Pemakaian minyak wangi juga tidak begitu digalakkan bagi kaum wanita.

Sebaik sahaja turunnya Surah An-Nur yang menekankan tentang penutupan aurat bagi wanita, maka, bergegaslah para muslimah pada ketika itu mencari apa jua kain bagi menutup aurat mereka bagi membuktikan kebenaran dan membuktikan keimanan mereka kepada Allah SWT.


Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:


"Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."

Hadis ini menunjukkan bagaimana, wanita-wanita pada zaman Rasulullah SAW, menunjukkan taat setia mereka kepada perintah Allah SWT.

Apabila masa berlalu, dan berlalunya kerajaan-kerajaan Islam seperti Kerajaan Khulafa' Ar-Rasyidin, Kerajaan Bani Umaiyah, Kerajaan Bani Abbasiyah (di zaman Abbasiyah ini diceritakan bermulanya penambahan hiasan pada tudung kerana pengaruh daripada Parsi yang meletakkan hiasan pada tudung-tudung mereka) dan kita kini berada di zaman penghujung khalifah Islam. Di mana pengaruh barat mula meresap dalam kerajaan-kerajaan Islam. Orang-orang kristian dan yahudi pada ketika itu, bertungkus lumus ingin menjatuhkan Islam dan antara usaha yang mereka cuba lakukan adalah dengan membuka tudung pada muslimah sekalian.

Dan mereka berjaya. Kita dapat lihat di Parsi, Shah Iran, misalnya mengenakan polisi membuka tudung dan mengenakan pemakaian ala-ala barat. Mustafa Kamal Atarturk, di Turki juga mengenakan polisi sedemikian. Malah sehingga kini di Turki, masih ada rakyatnya berfikiran sedemikian.

Di Tanah Melayu juga sebelum tahun 1970-an, masyarakat Melayu tidak mengenakan tudung kecuali fesyen tudung yang mendedahkan jambul seperti yang dipakai oleh wanita Melayu di kawasan pedalaman. Ini semua merupakan hasil ideologi penjajah yang membuatkan masyarakat Islam semakin meninggalkan cara hidup Islam.
Selepas, 1970an, ada segelintir wanita Melayu yang mula sedar akan kewajipan menutup aurat. Maka timbullah perkataan Tudung Dakwah. Pada awal zaman kebangkitan Islam di Malaysia ini, wanita Melayu yang memakai tudung, selalunya, seorang yang baik, sopan dan mengamalkan cara hidup Islam.

Pada zaman sekarang, pemakaian tudung dianggap perkara biasa malah pemakaian purdah juga sudah dianggap normal walaupun ada tempat-tempat tertentu yang melarang pemakaian purdah. Namun, isu tudung pada zaman sekarang adalah, adakah tudung yang dipakai itu menutup aurat?

Kita lihat saja penggayaan tudung yang dipakai oleh anak-anak muda sekarang. Berapa ramai yang mengenakan tudung dan menutup aurat dengan sempurna? Sesetengah tudung yang dipakai tidak labuh, dek kerana terlalu banyak lilit. Sesetengahnya jarang sehingga nampak telinga.

Dan pada masa kini juga terbukti satu lagi hadis Rasulullah SAW mengenai wanita-wanita di akhir zaman iaitu :-

Ada dua golongan dari penduduk neraka yang aku belum melihat mereka sekarang. (Yang pertama,) suatu kaum yang bersama mereka ada rotan-rotan seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk merotan manusia. (Yang kedua,) para wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang, mereka miring lagi membuat orang lain miring. Kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga, padahal wanginya boleh tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian’.” (riwayat Imam Muslim no. 5547)

Wanita bertudung pada zaman sekarang, ada di antara mereka yang sengaja meletakkan sanggul tiruan ataupun sengaja meninggikan sanggul mereka demi mengejar kecantikan. Dengan sengaja mereka menggunakan istilah 'hijabista' kononnya walaupun bertudung, mereka masih boleh berfesyen.

Hal ini terjadi kerana, kurangnya ilmu dalam diri para wanita tentang kesedaran menutup aurat. Bagi mereka, selagi kulit aurat mereka tidak terdedah, sudah dikira sebagai menutup aurat. Mereka memakai tudung bukan atas kesedaran tentang aurat, tetapi kerana faktor masyarakat sekeliling mereka di mana kebanyakan wanita sekarang sudah mula mengenakan tudung.

Jika kita lihat pada zaman awal kebangkitan Islam di Malaysia dahulu, tiada istilah, fesyen dalam bertudung. Mereka mengenakan tudung kerana mereka sedar akan kewajipan menutup aurat. Pada zaman sekarang, pemakaian tudung hanyalah sekadar fesyen.

Apa peranan kita dalam mengatasi masalah seperti ini? Kita lihat ibu kita. Kakak dan adik perempuan kita. Isteri kita. Anak perempuan kita. Anak saudara perempuan kita. Bagaimanakah bentuk pemakaian mereka di hadapan ajnabi? Sudah mengenakan tudung? Tetapi adakah tudung syariat? Atau sekadar menutup kepala? Renung-renungkan..

Jika ada salah dan silap pada penulisan saya ini, mohon diperbetulkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan