Pendahuluan
Masyarakat Malaysia terkenal kerana sifat
majmuknya. Salah satu golongan etnik yang besar ialah orang Banjar. Seperti
golongan etnik lain, orang Banjar juga merupakan satu golongan yang kompleks
dan mempunyai sejarah yang tersendiri di negara ini.
Orang Banjar adalah tergolong dalam rumpun
bangsa Melayu, walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui tentang masyarakat
ini. Keadaan ini agak berbeza dengan orang Jawa yang lebih dikenali walaupun
kedua-dua masyarakat ini mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama
dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia.
Satu hal yang agak menarik juga, kedua-dua
masyarakat tersebut tinggal di kawasan petempatan yang berdekatan di Malaysia,
contohnya di daerah Batu Pahat, Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang,
Selangor dan daerah Bagan Datoh di Perak.
Sehingga kini, belum ada penulisan yang
benar-benar lengkap tentang sejarah kedatangan atau perkembangan masyarakat
tersebut di negara ini, walaupun sumbangan mereka dalam bidang sosial, ekonomi
dan politik bangsa Melayu khasnya di negara ini secara keseluruhannya tidak
kurang pentingnya.
Asal Usul Kedatangan Orang Banjar ke Tanah Melayu
Orang Banjar yang datang ke Tanah Melayu
adalah berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito,
terutama sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu.
Kawasan ini adalah terletak di bahagian tenggara Borneo. Di antara
daerah-daerah utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah dari daerah
Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian dari
mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi dan Sepat.
Daerah-daerah tersebut merupakan kawasan penanaman padi. Oleh demikian, mereka
yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam
penanaman padi. Di samping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang
permata dan berniaga juga ditekankan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang
membezakan mereka dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang
tinggal lebih ke utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan
kemahiran membuat peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata.
Kebanyakan mereka suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti di
sepanjang lembah Sungai Barito dari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung
di utara.
Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu
tidak dapat dipastikan, tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji
orang Banjar, migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang
awal sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka
sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak, Bentan,
Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada itu Bagan Datoh
di Perak juga dikatakan tempat pertapakanawal masyarakat ini di Tanah Melayu.
Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan
lain. Mereka masih lagi manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani,
berkebun getah, kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh
didapati di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman
padi seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak
Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di Sabah pula,
orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini
pula terbahagi kepada beberapa puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung
dan Kalua dari daerah Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari
daerah Alai, Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah
Margasari dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering
mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usul mereka di
Tanah Banjar.
Selain daripada faktor perdagangan,
kemiskinan yang mencengkam kehidupan orang Banjar di tempat asal mereka juga
telah mendorong penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar
agak sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang
buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah
pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan dengan
pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Di samping itu, mereka
tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu yang
dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke Tanah Melayu.
Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula
amat menggalakkan penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan
mengerjakan kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat
terkenal dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.
Sumber Ekonomi
Sumber ekonomi asas penduduk adalah bertani(menanam
padi) dan menangkap ikan. Mereka juga melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih
moden seperti industri pelancongan, pembuatan makanan, bengkel membuat kereta
dan motosikal dan sebagainya yang di lakukan di sekitar perkampungan tersebut. Mereka
juga mampu melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti tempatan setanding
dengan bangsa lain dan keluar menjadi
seorang yang mampu mengubah aktiviti ekonomi tradisional kepada suatu
yang lebih maju kehadapan seperti seorang ahli perniagaan, guru dan sebagainya.
Bahasa
Sebahagian besar perkataan dalam Bahasa
Banjar adalah sama dengan Bahasa Melayu, begitu juga dengan awalan
seperti di, ber, ter, men, meng, dan akhiran seperti kan,
an dan sebagainya. Perbezaan yang nyata hanyalah dari segi sebutan.
Bahasa Banjar menggunakan abagi
menggantikan e (pepet) seperti kalihatan(kelihatan),
handak(hendak) dsb.
Bahasa Banjar juga menggunakan awalan ‘ber‘
, ‘ter‘ , ‘me, men, meng‘ yang ditukar menjadi ‘ba‘, ‘ta‘, ‘ma‘ seperti ‘bersedih’ disebut
‘basadih‘, ‘memberi‘
disebut ‘mambari‘ , sementara
akhiran ‘kan’ kadangkala disebut ‘akan‘ contohnya ‘mendengarkan’ jadi ‘mandangarakan‘.
Muzik dan Kesenian
Salah satu kesenian muzik tradisional khas Suku Banjar ialah Muzik Panting. Muzik panting berasal dari daerah Tapin, Kalimantan
Selatan. Pada zaman dulu muzik hanya dimainkan secara solo. Disebabkan semakin
majunya perkembangan zaman dan muzik panting akan lebih menarik jika dimainkan
dengan beberapa alat muzik lainnya, seperti babun, gong,dan biola dan pemainnya
juga terdiri dari beberapa orang. Ada sebuah kesenian muzik tradisional Suku
Banjar, iaitu Muzik Kentung yang berasal dari daerah Kabupaten
Banjar iaitu di desa Sungai Alat, Astambul dan Kampong Bincau,
Martapura.
Agama dan Kepercayaan
Kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke
Tanah Melayu adalah terdiri daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan
cara hidup yang sederhana. Maka, tidak hairanlah bahawa masyarakat ini amat
condong terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dalam
kehidupan seharian mereka.
Perkembangan pendidikan secara formal yang
wujud dalam masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca al-Quran, mempelajari
hal-ehwal syariat Islam sama ada di sekolah-sekolah agama rakyat mahupun di
madrasah-madrasah. Bagi golongan yang berkemampuan pula, mereka menghantarkan
anak-anak mereka ke sekolah-sekolah arab mahupun pondok-pondok di tempat lain.
Bagi yang lebih berkemampuan, mereka juga turut menghantar anak-anak mereka ke
Tanah Suci Mekah untuk mendalami ilmu agama. Amat kurang sekali yang menghantar
anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan mahupun ke sekolah Melayu kerana
mereka berpendapat mata pelajaran yang di ajar tidak sesuai dan semata-mata
hal-ehwal duniawi sahaja. Begitu juga dengan sekolah-sekolah Inggeris mereka
khuatir anak-anak mereka akan terpengaruh dengan dakyah Kristian jika
menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut. Walaupun pada umumnya,
fahaman sebegini wujud dikalangan masyarakat Melayu yang lain, tetapi keadaan
yang wujud dikalangan orang Banjar amat ketara sekali.
Sebagai buktinya, sehingga awal tahun-tahun
60an, amat kurang sekali pegawai-pegawai kerajaan mahupun kakitangan yang
berketurunan Banjar. Kalau pun ada, hanya pegawai-pegawai agama atau guru-guru
agama. Ringkasnya mereka lebih berminat untuk bergiat dalam bidang-bidang yang
bersangkutan dengan hal-ehwal agama Islam sahaja. Kesan lain yang dapat
diperhatikan dan masih kekal sehingga kini ialah terdapatnya dengan banyak
sekali sekolah-sekolah agama rakyat, madrasah mahupun pondok-pondok
dikawasan-kawasan yang majoriti penduduknya orang Banjar seperti di daerah
Kerian, Perak mahupun di daerah Sabak Bernam, Selangor.
Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana,
rumah mereka dikatakan kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti
kerusi, meja dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang
dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak sahaja.
Namun masyarakat Banjar pada masa kini sudah
berubah dan tidak seperti pada masa dahulu. Seperti kaum yang lain juga,
masyarakat Banjar sudah ada di setiap bidang pekerjaan.
Adat dan Pantang Larang
Perkahwinan
Secara umumnya adat perkahwinan masyarakat
Banjar mirip kepada adat perkahwinan masyarakat Melayu. Cuma ada sedikit
perbezaan seperti masyarakat Banjar mempunyai adat Usung Jinggung.
Usung Jinggung merupakan adat dalam majlis perkahwinan
masyarakat banjar dimana pengantin akan diusung di atas bahu orang lain di
hadapan para tetamu yang hadir. Upacara ini hanya dilakukan oleh orang yang
mahir sahaja kerana ianya bukan sahaja memerlukan tenaga yang lebih untuk
mengusung pengantin tetapi harus pandai menari.Ini kerana pengusung yang di
panggil ‘Pausung’ perlu menari mengikut irama muzik yang dimainkan bagi tujuan menghiburkan
tetamu yang hadir.
Kelahiran
Antara adat resam yang diamalkan oleh
masyarakat banjar adalah berkenaan adat
Pukong. Pukong ini adalah cara yang unik
untuk menidurkan bayi antara 1-5 bulan. Terdapat juga adat seperti
‘marhaban keliling budak iaitu adat untuk meraikan kehadiran orang baru.
Pantang Larang
Masyarakat Banjar juga mempunyai pantang
larang yang mana dalam bahasa mereka disebut ‘pemalek’. Antaranya tidak boleh
duduk di atas bantal kerana takut pelakunya akan berbisul. Yang kedua, melarang
masyarakat mereka membawa kanak-kanak pergi berjalan jalan di waktu petang atau
senja. Hal ini kerana, takut kanak-kanak
tersebut akan mendapat gangguan daripada benda halus.
Kesimpulan
Identiti masyarakat Banjar ini masih lagi
boleh dilihat namun semakin hilang ditelan zaman yang mengarah ke arah
kemodenan pesat pada hari ini terutama sekali dalam penggunaan bahasa banjar
itu sendiri di kalangan remaja-remaja.
Terdapat juga mereka yang masih kuat pegangan
adat serta amalan tradisional dan kelompok-kelompok ini dipelopori oleh
golongan-golongan tua yang berumur 50 tahun keatas.
Masyarakat Banjar mempunyai keunikannya
tersendiri yang mana mampu menonjolkan ciri-ciri kebanjaran itu sendiri dalam
membuat perbandingan dengan masyarakat ataupun suku kaum lain yang terdapat di
Malaysia ini.
Masyarakat Banjar juga merupakan masyarakat
yang boleh setanding dengan masyarakat lain dalam segala aspek mahupun dalam
aspek pendidikan, ekonomi dan sebagainya walaupun jika dilihat pada sejarah
masyarakat ini berasal dari mereka yang biasa-biasa sahaja.
Rujukan
Orang Banjar di Malaysia. Diperoleh pada 9 September 2014 daripada http://banjarcyber.tripod.com/artike9.html
Masyarakat Banjar di Malaysia. Diperoleh pada 10 September 2014 daripada http://www.slideshare.net/AbuIqram/masyrkt-banjar
credit to:
Faizal Loyppzz
Muhd Zulhanis Hassan