Bagi sesiapa yang pernah tengok atau baca kisah bersiri Harry Potter ini sudah pasti mengenali watak yang merupakan kawan baik Harry iaitu Ron Weasley atau nama penuhnya Ronald Bilius Weasley. Ron Weasley berasal daripada keluarga Weasley salah satu keluarga berdarah tulen (keturunan ahli sihir) yang terkenal. Keluarga Weasley juga dikenali sebagai keturunan pengkhianat bagi sesetengah masyarakat sihir dek kerana terlalu menerima mereka yang bukan berketurunan ahli sihir atau bahasa kasarnya Darah Lumpur dalam keluarga mereka.
Ron Bilius Weasley |
Untuk entri kali ni aku nak kaitkan racism atau perkauman dalam watak Ron Weasley ini. Jadi definisi racism atau perkauman ni menurut google (hahaha... apa ko ingat aku rajin nak cari jurnal ke?) "the belief that all members of each race possess characteristics, abilities, or qualities specific to that race, especially so as to distinguish it as inferior or superior to another race or races." Asasnya sifat racism ini adalah kepercayaan di mana anggota di dalam satu kaum atau kelompok itu mempunyai satu nilai, kelebihan atau kualiti yang mengatasi kaum yang lain. Daripada sikap ini jika tidak dibendung dengan betul akan terlahirnya sifat prejudis, skeptik dan membenci satu kaum atau kelompok yang lain.
Dalam dunia sihir ini, sikap perkauman atau racism yang paling ketara adalah perbezaan darah atau keturunan. Mereka yang berketurunan ahli sihir atau digelar keturunan darah tulen akan dianggap mulia bagi sebahagian masyarakat manakala mereka yang berketurunan darah campur (salah seorang daripada ibu bapa ahli sihir) dan darah lumpur merupakan golongan kelas bawahan. Namun begitu, ideologi ini hanyalah diikuti dengan taksubnya oleh Voldemort dan penyokong-penyokongnya. Keluarga Weasley merupakan antara keluarga yang tidak mengiktiraf perbezaan keturunan ini dan menganggap semuanya sama saja termasuk Muggle (bukan ahli sihir) hanyalah seorang manusia yang perlu dilayan dengan baik.
Dilahirkan dalam keluarga yang tidak memegang ideologi seperti ini menjadikan Ron juga percaya bahawa konsep darah tulen dan darah lumpur ini tidak boleh digunapakai. Malah beliau antara mereka yang menganggap gelaran darah lumpur merupakan gelaran yang sangat biadap terhadap ahli sihir keturunan muggle. Kita dapat lihat dalam siri kedua 'Chamber of Secret' di mana apabila sahabat Ron, Hermione Granger digelar darah lumpur oleh Malfoy, serta merta Ron mengeluarkan tongkatnya dan meneyerang Malfoy. Ya mungkin sebab itu perasaan suka dia pada Hermione juga memainkan peranan dalam tindakan itu. Haha
Keluarga Weasley ketika bercuti di Mesir |
Namun begitu, ramai yang tak perasan bahawa Ron juga ada sikap perkauman yang tersendiri. Dan sikap ini juga terdapat dalam kebanyakan masyarakat sihir termasuk yang menolak ideologi darah tulen darah lumpur ini. Pertama sekali kita dapat lihat apabila Ron dapat tahu bahawa Remus Lupin, guru Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam beliau merupakan sergigala jadian, persepsi beliau pada Lupin serta merta berubah. "...jangan sentuh saya kamu serigala jadian.." kata Ron kepada Lupin ketika Lupin hendak membalut luka di kakinya. Sememangnya ahli sihir yang pernah digigit serigala jadian akan menjadi serigala setiap kali bulan mengambang dan mereka akan disisihkan masyarakat sihir. Lupin contohnya tidak dapat pekerjaan selama bertahun-tahun sebelum Dumbledore menawarkan kepadanya menjadi guru di Hogwarts. Malah Lupin juga sedar keluarga mertuanya juga kurang senang akan perkahwinan beliau dengan Tonks.
Selain itu, persepsi Ron kepada gergasi. Apabila terbongkar rahsia Hagrid dan Madam Maxime merupakan separuh gergasi dan tersebar luas berita tersebut, pada awalnya Ron agak terkejut. Malah serta merta apabila terjadinya satu insiden, Ron mengesyaki Madam Maxime antara suspek yang terlibat. Namun, ini tidaklah seteruk penerimaan masyarakat sihir yang lain di mana Hagrid dicemuh dan dihina lebih-lebih lagi oleh Malfoy dan si katak tua Umbridge. (Hahaha) Dalam masyarakat sihir juga kita dapat lihat masyarakat kurang menerima gergasi sebagai sekutu mereka. Cornelius Fudge jelas sekali menolak cadangan Dumbledore untuk bekerjasama dengan puak gergasi dalam menentang Voldemort.
Sikap perkauman juga wujud di antara Goblin dan ahli sihir. Dalam siri ketujuh "Deathly Hallows", Ron pernah berdebat dengan goblin bernama Griphook tentang hak ahli sihir dan goblin. Kelompok goblin merasa hak mereka dinafikan apabila mereka tidak dapat tahu ilmu pembuatan tongkat sakti daripada ahli sihir manakala ahli sihir juga merasa berhati-hati kerana goblin tidak pernah berkongsi ilmu mereka mencanaikan emas dan perak tanpa menggunakan tongkat sakti. Malah jika kita amati antara topik penting di dalam subjek Sejarah Ilmu Sihir di Hogwarts adalah tentang pemberontakan goblin.
Yang terakhir kita dapat lihat sikap Ron Weasley pada elf rumah. Secara asasnya Ron tidaklah memandang hina pada elf rumah. Namun, sikap Ron yang tidak ambil peduli akan kebajikan mereka juga kita boleh lihat dengan jelas. Sebagai contoh apabila Hermione Granger ingin menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Elf Rumah (S.P.E.W.) Ron dan Harry memandang sinis akan pertubuhan Hermione itu. Malah berbanding Harry yang tidak mengeluarkan pandangannya, Ron lebih banyak mengolok-olokkan pandangan Hermione. Dalam masyarakat sihir juga kita dapat lihat cara Amos Diggory bertanya pada Winky elf rumah Barty Crouch dengan sekadar memanggil Winky dengan panggilan "Elf....", tidak memanggil nama Winky.
Berdasarkan beberapa contoh aku beri ini, kita dapat lihat bahawasanya dalam masyarakat sihir racism tu ada di mana-mana. J.K Rowling menunjukkan bahawa racism ini bukan saja dalam kelompok yang jahat namun juga wujud dalam kelompok yang baik yang membesar dalam keadaan masyarakat seperti itu. Dan mereka boleh mengubah persepsi mereka juga. Kerana pada akhirnya, Ron tetap menerima Hagrid sebagai sahabat baik, tetap membenarkan Lupin membalut lukanya dan kita dapat lihat ketika 'Battle of Hogwarts', Ron melahirkan kebimbangan terhadapa keselamatan elf rumah pada ketika itu.
Namun, sikap perkauman masyarakat sihir terhadap golongan-golongan ini bukanlah tidak berasas kerana mereka juga ingin menjaga keselamatan mereka juga. Serigala jadian sangat bahaya ketika bulan mengambang dan ada juga kelompok serigala jadian yang ganas walaupun bukan di dalam bulan mengambang. Gergasi atas faktor saiz dan kekasaran mereka juga menimbulkan ketakutan. Elf rumah pula maklum saja laa mereka suka membuat kerja dan tidak kisah dihina membuatkan masyarakat sihir mengambil kesempatan terhadap kelemahan mereka. Goblin pula mereka juga bersifat perkauman terhadap ahli sihir malah mempunyai sejarah pemberontakan yang masih diingati. Namun sikap perkauman ini akan menjadi parah jika tidak dikawal dengan sepatutnya.
Dalam dunia sebenar kita ini juga wujud perasaan racist dalam diri kita walau sedaya upaya kita untuk tidak bersikap seperti ini. Adalah normal setiap kaum ingin mempertahankan kepentingan kaum masing-masing. Adalah normal jika kita berbangga dengan kelebihan kaum kita satu ketika dulu. Namun ia menjadi salah apabila kita memandang hina kaum yang lain. Lebih buruk apabila kita menghina kaum atau kelompok yang lain. Ini akan menjadi permusuhan antara kaum. Dan di situ bermulanya sikap perkauman ini menjadi salah.
Adalah mustahil untuk kita menjangkakan masyarakat membuang sikap perkauman ini. Namun kita boleh mengawalnya. Sebagai contoh kita lihat di Malaysia, kita ada tiga kaum utama yang masing-masing ingin mempertahankan budaya bangsa masing-masing. Baiknya pemimpin kita, diberi beberapa hak bumiputera kepada kaum Melayu dan Bumiputera. Dibenarkan sekolah-sekolah vernakular dibuka untuk kaum Cina dan India. Malah perayaan besar kaum-kaum ini kita dapat cuti dan kita dapat menyambutnya bersama-sama tanpa ada rasa prejudis. Tidak dinafikan akan wujud perbezaan yang akan menimbulkan konflik tapi jika kita kembali melihat beberapa persamaan, kita akan dapat menyelesaikan konflik itu sebaiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan