Sedar tak sedar dah nak masuk tahun baru lagi sekali. Terasa seperti semalam 2016 tu. Rupanya dah nak masuk 2017. Sungguh pantas masa berlalu. Jujur aku katakan, tahun ni merupakan tahun yang agak ermm... biasa. Walaupun biasa tapi bermakna. Tahun ni merupakan tahun pertama aku meneruskan pengajian ijazah aku dalam bidang Pendidikan Sains (Kimia). Doakan aku berjaya menjadi guru. :)
Apa yang menarik mengenai tahun ini, serius cakap aku tak berapa nak ingat. Tapi aku belajar banyak benda. Saat-saat yang boleh kata mencabar bagi aku tunggu panggilan ijazah. Hahaha.. bukannya mencabar sangat, tapi berdebar dan kerisauannya tu. Apa yang menarik mengenai tahun ni? Aku cerita apa yang aku ingat sahaja.
Tak silap betul-betul masa sambutan Tahun Baru, riuh satu Malaysia mengenai viral seorang remaja perempuan yang hilang. Audio perbualan remaja tersebut dengan kakaknya viral di whatsapp. Tetapi rupanya remaja tersebut tipu je. Habis dikutuk. Keluarga dicemuh. Pada aku, salah remaja tu juga. Sanggup buat macam tu. Tapi jiwa remaja kan. Tak tahu kenapa aku ingat yang ni.. hahaha..
Lagi, tahun ini merupakan tahun yang agak mencabar untuk seluruh umat Islam. Di Syria seperti empat lima tahun yang sudah, konflik masih berterusan terutama di kawasan seperti Aleppo dan Idlib. Di Rohingya juga sama. Pembunuhan beramai-ramai Muslim di Rohingya sangat menyedihkan kita. Namun di Malaysia, masih ada pihak yang ingin mempolitikkan perkara tersebut. Lebih memalukan ianya keluar daripada orang Islam itu sendiri. Sudah hilangkah rasa simpati?
Tak lupa juga tahun ini pemergian beberapa insan dan tokoh ternama Malaysia dan dunia seperti arwah Tuan Guru Haron Din, Muhammad Ali, SM Salim, dan banyak lagi. Kita tak tahu tahun depan apa takdir kita. Sama-sama kita doakan yang terbaik. Tahun ini juga secara peribadi aku kehilangan seorang junior sekolah. Mohd Asyrul Zaim. Meskipun kami tak begitu rapat dan sekadar kenal-kenal begitu, tapi pemergiannya agak terkesan dalam hati aku. Sebab aku kenal dia daripada dia tingkatan 1. Kalau terserempak kat masjid masa solat jumaat mesti dia tegur. Selain itu, seorang pensyarah UPSI, Dr. Kartini baru saja meninggal dunia pagi tadi. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi dan semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Sebenarnya banyak lagi perkara menarik tahun 2016 ni. Seperti Donald Trump menang pilihan raya presiden US... oh ya aku lupa masuk cerita olimpik. Sangat menarik tahun ini kita berjaya meraih banyak pingat (3 perak dan satu gangsa). Lagi bermakna, Lee Chong Wei berjaya mengalahkan Lin Dan. Kemenangan yang sangat bermakna buat rakyat Malaysia meskipun pada acara bergu lelaki, bau emas tu dah dekat tapi sayang tidak kesampaian. Tahniah juga kepada Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat gangsa dalam acara berbasikal.
Apa yang boleh kita harap pada tahun 2017 yang bakal menjelang ini adalah kita ubah diri kita ke arah yang lebih baik. Banyakkan amalan. Walaupun kita mulai tahun baru kita dengan kenaikan harga minyak (erghhh..) tapi kita sama-sama berdoa yang terbaik untuk tahun ini. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun yang sudah. Semoga segala konflik berjaya diamankan. Sama-sama kita doakan.
#Pray4Syria
#Pray4Rohingya
#SyamWillBeFree
dear writer,
BalasPadamada ig tak ? hehe ada bnda nak tanyaaaa pasal course masa edu uitm duluuu.. here my ig @thekimmmm_ please let me know ya