Selasa, 17 September 2019

Game of Thrones - Baru habis layan

Aku baru saja habis tonton kesemua siri Game of Thrones. Aku mula layan dalam awal Julai dan habis dalam masa sebulan. Biasalah cuti semester. Membazir masa. Hahaha. Pada mulanya aku memang tak ambil pusing pun pasal siri GoT ni. Mungkin sebab overrated sangat yang buat aku macam malas pula nak layan. Aku ada satu sikap bila satu-satu cerita tu terlalu dihebohkan, aku jadi tak nak tengok. Tak tau kenapa. Hahaha. Yang buat aku tergerak nak tengok cerita ni bila tahun ni (2019) ada beberapa rakan aku kat facebook buat ulasan mengenai cerita ni. Dari apa yang diulas, banyak sebut mengenai realpolitik, sejarah dan seumpamanya. Jadi aku pun mintalah dari kawan aku yang simpan semua siri GoT ni dan mula menontonnya.

Secara keseluruhan, cerita ni memang bagus walaupun ada beberapa adegan tak senonoh yang buat kau rasa tak selesa untuk menontonnya, tapi dari segi plot dan perkembangan watak serius cakap memang terbaik. Secara kasarnya cerita ni mengenai politik satu kawasan yang dinamakan Westeros yang mempunyai '7 kingdoms' tapi disatukan di bawah satu raja yang digelar 'Lord of 7 Kingdoms' di Kings Landing. Selama 300 tahun (tak silap aku laa) Westeros di bawah pemerintahan keluarga Targaryen. Kemudian satu pemberontakan diketuai oleh Robert Baratheon menggulingkan Targaryen dan Robert Baratheon menjadi pemerintah Westeros. Cerita Game of Thrones ni bermula 17 tahun kemudian. Segalanya bermula dengan kematian Jon Aryn sebagai Hand of the King dan Robert Baratheon mahu melantik Ned Stark (Lord of Winterfell) sebagai pengganti Jon Aryn. Aku nak jelaskan semua susahlah.. panjang.. hahaha tengoklah sendiri. Apa aku nak cakap selepas ni banyak spoiler untuk orang yang belum habis musim pertama lagi. Ok dah cakap awal-awal. Jadi ada beberapa point yang aku nak ulas pasal siri Game of Thrones ni:-

1. 'Honor'
Masa mula-mula tengok musim pertama, aku tengok sambil lewa sikit. Banyak watak nak kena hadam buat aku tengok lebih kurang je. Aku banyak fokus pada konflik antara keluarga Stark dengan Lannister je. Cerita ni jadi menarik bila sampai penghujung musim pertama ni, Ned Stark mati. Masa tu laa aku rasa cerita ni memang bagus yang membuatkan aku nak layan sampai habis. Hahaha. Kematian Ned Stark ni sangat simbolik sebab nak tunjuk realiti sebenar dunia politik di mana jangan jadi baik sangat. Ned Stark terlalu baik dan berpegang pada 'honor' atau maruah dalam bahasa kita. Tak salah untuk jadi seorang yang bermaruah, tetapi bila kau terlalu berpegang pada maruah kau, ia akan memakan diri kau. Samalah seperti Ned Stark, hanya kerana dia terlalu baik dan mungkin rasa tak bermaruah untuk bocorkan rahsia Lannister tanpa beri amaran, membuatkan tindakannya tu makan diri dia semula.

Selepas kematian Ned Stark, anak sulungnya Robb Stark menggerakkan orang-orang North untuk menuntut bela kematian Ned sekaligus untuk memerdekakan North daripada kerajaan Westeros dan Robb menjadi King in the North. Namun nasib Robb kurang baik kerana dia juga sama seperti bapanya. Daripada kelihatan seperti akan beroleh kemenangan sudahnya habis dibunuh hampir kesemua orang-orang penting North pada musim ketiga dalam tragedi 'Red Wedding'. Kerana lebih memilih 'cinta' dan mengutamakan maruah, akhirnya habis dibunuh angkatan tentera North oleh Frey. Dan dalam babak Red Wedding ni pada aku ayat Catelyn Stark (isteri Ned, mak Robb) "In my honor as a Tully. In my honor as a Stark.." Pada aku macam simbolik gila ayat ni macam nak tunjuk 'honor' yang kau pegang bagai nak rak tak boleh selamatkan kau dan buat kau kalah dalam permainan politik. Tapi taklah bermakna kita tak perlu berpegang pada konsep 'honor' tu. Sebab pada akhirnya 'honor' yang dipegang oleh Jon Snow berjaya membuatkan beliau dihormati.

2. Tak klise
Awal-awal dalam siri Game of Thrones ni, aku ingatkan cerita ni mengenai Ned Stark. Setelah kematian Ned Stark, aku mula rasa cerita ni mengenai macam mana Robb Stark menuntut bela kematian ayah dia dan memerdekakan North serta menyatukan balik keluarga dia yang dah entah ke mana semuanya. Tapi sayang seribu kali sayang Robb dan Catelyn Stark mati dalam Red Wedding. Hampir dua siri masa intro cerita ni Winterfell macam dah hancur sampai aku rasa cerita ni sebenarnya takkan ada kaitan dengan Winterfell pun. Tapi akhirnya Winterfell berjaya bangkit semula. Ok apa yang aku nak cakap, cerita ni banyak elemen yang tak dijangka. Bukan klise. Kebanyakan watak-watak yang kita rasakan baik mati akibat sikap baik mereka sendiri juga sesetengahnya. Dan siapa sangka akhirnya Brandon Stark menjadi King of Westeros. Cerita ni tak terlalu klise dan pada masa sama tidaklah sampai tak klise langsung. Macam contoh watak Daenerys yang pada aku, ada rasa dia akan jadi pemimpin yang gila kuasa.

3. Perkembangan watak
Pada aku, selain plot yang baik dan tak klise, perkembangan watak juga memainkan peranan yang penting dalam sesebuah cerita. Contoh kalau dalam siri Game of Thrones ni yang paling ketara pada aku ialah Sansa Stark dan Theon Greyjoy. Watak Sansa pada mulanya memang aku menyampah betul. Hahaha. Serius aku cakap. "I want to be a queen.." Siapa sangka pada akhirnya bukan menjadi isteri raja, tetapi pemerintah North dan berjaya menjadikan North sebagai satu kerajaan yang merdeka daripada Westeros. Tapi laluan dia untuk capai apa yang dia capai itulah yang membentuk wataknya. Pada tiga siri yang terakhir, aku mula suka watak Sansa ni. Dia nampak lebih rasional dan tak terlalu emosional. Malah dia tak terlalu mementingkan honor dan bijak berpolitik.

Watak Theon juga apa kurangnya. Malah pada aku watak Theon ni memang tak disangka-sangka akan jadi antara watak kegemaran aku. Itu pun masa siri terakhir tiga episod pertama. Yelah dia mati episod ketiga kan. Tapi watak Theon ni memang berjaya dikembangkan dengan jayanya oleh penulis cerita ni. Pada siri pertama memang aku tak ambil pusing sangat watak Theon ni. Kemudian bila dia mengkhianati Stark aku mula benci dia dan aku rasa mungkin dia akan mati awal sebab ikutkan dia taklah jahat sangat tapi lebih kepada keliru dan tak bijak buat keputusan. Kemudian dia disiksa yang pada awalnya aku rasa macam 'padan muka kau Theon' tapi lama-lama jadi kesian sampai dia hilang identiti dia. Sehinggalah dia berjaya mendapatkan kemaafan dan dengan bantuan Sansa dan Yara, Theon berjaya mendapatkan identiti dan semangatnya semula dan terus dia jadi watak kegemaran aku. Aku rasa sebak sikit masa dia mati tu. Hahaha. Jarang aku sebak tengok cerita tau.

Ok, setakat ni, itu saja point yang aku boleh beri sebab kenapa aku suka siri Game of Thrones ni. Hahaha. Serius aku menyesal juga tak layan cerita ni awal-awal.

Ahad, 6 Januari 2019

Selamat Datang 2019

Tahun 2018 telah selamat melabuhkan tirainya. Kini, tiba pula tahun 2019. Macam tahun-tahun yang sudah, aku akan seperti biasa buat acah-acah perutusan atau rangkuman sepanjang tahun. Maka.. ya bacalah.. hahaha

Tahun 2018 merupakan tahun yang cukup bersejarah bagi negara kita. Tak kiralah pada belah mana pendirian kita atau apa juga ideologi kita. Buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita Malaysia, kita mengubah parti memerintah pada PRU ke-14 yang lepas. Ada yang gembira, ada yang kecewa dan bersedih dan tidak kurang juga berbelah bahagi. Namun sudah pasti tarikh 9 dan 10 Mei 2018 menyaksikan satu peristiwa bersejarah bagi negara kita. Selama 60 tahun Barisan Nasional atau satu ketika dahulu dikenali sebagai Parti Perikatan diberi mandat untuk memerintah Malaysia. Kini, bak kata pemimpin baru kita 'Malaysia Baru' memilih untuk satu perikatan yang boleh kata baru dibentuk iaitu Pakatan Harapan bagi memerintah Malaysia. Tidak dinafikan terdapat beberapa ironi seperti kita menerima bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat sebagai PM yang ketujuh iaitu Tun Dr. Mahathir. Namun tetap ia merupakan peristiwa bersejarah bagi negara kita.

Tahun 2018 juga boleh aku kata merupakan antara tahun yang agak menyedihkan bagi negara jiran kita, Indonesia. Pada bulan Julai, kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di Lombok. Selang beberapa bulan kita dikejutkan pula dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban. Sangat menyayat hati apabila kita dikhabarkan banyak perkampungan musnah dan tenggelam begitu saja. Dan baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan kejadian tsunami di pesisiran pantai Selat Sunda akibat daripada letusan Anak Karakatoa. Lebih menyedihkan tsunami yang tiba tanpa sebarang amaran kerana sistem amaran yang sedia ada rupanya telah rosak mengakibatkan ramai nyawa terkorban termasuk anggota kumpulan seventeen yang kebetulan sedang mengadakan persembahan di kawasan pesisiran pantai berkenaan.

Apabila kita bercakap tentang gempa bumi di Indonesia, terkait pula dalam fikiran aku beberapa isu antara golongan agamawan dan err... ilmuwan? PU Amin antara individu awal yang menerima kecaman setelah beliau mengaitkan bencana yang menimpa merupakan amaran dari Tuhan atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Maka, banyaklah kecaman yang terkena pada beliau. Pada aku, tak wajar untuk kita memperbesar-besarkan hal ini. Yalah, bukan ke bencana alam tu sememangnya amaran dan peringatan dari Tuhan?

Tahun 2018 juga, pada aku merupakan tahun yang ramainya pihak menyuarakan pandangan masing-masing. Hahaha. Maklumlah Malaysia Baru. Sudah tentu aktivis LGBT sangat-sangat aktif ya tahun ni. Semua benda nak dituntutnya. Dan tidaklah bermakna golongan yang menentang senyap seribu bahasa. Kecoh sebentar negara apabila kerajaan ada ura-ura hendak meratifikasikan ICERD (nak tau apa tu ICERD google sendiri..). Maka ramai orang terutama orang-orang Melayu Islam yang membantah cadangan ini kerana ini akan menyebabkan ketuanan Melayu dan Islam di Malaysia ini akan terhakis sedikit demi sedikit. Maka, mereka berhimpun pada 8 Disember yang lepas bagi membantah dan meminta kerajaan agar tidak sama sekali meratifikasikan ICERD.

Dan antara perkara menyedihkan yang berlaku pada tahun 2018 ialah kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib, akibat rusuhan mengenai Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. Asalnya pada aku bukanlah isu perkauman. Ianya bermula antara penganut agama Hindu dan pihak One City. Kemudian dek kerana beberapa kenyataan oleh beberapa ahli politik, nyaris-nyaris berlaku isu perkauman. Mujur, rakyat Malaysia semakin matang dalam isu-isu ini.

Dan bila disebut mengenai bomba, kita menerima beberapa berita menyedihkan mengenai anggota bomba kita sepanjang tahun 2018 ini. Awal tahun, kita menerima berita seorang anggota bomba yang agak terkenal dengan kepakarannya dalam mengendalikan ular, maut akibat dipatuk ular berbisa. Pada Oktober yang lalu kita dikejutkan dengan kematian 6 anggota bomba akibat lemas ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di dalam sebuah lombong.

Tak banyak aku boleh cerita. Maklum saja, ada yang jadi isu panas, kontroversi dan sebagainya. Apa-apa pun, kita sama-sama ambil pengajaran tentang apa saja yang terjadi sepanjang 2018 sama ada baik atau buruk. Dan sama-sama kita doakan tahun 2019 kita lalui dengan aman dan semakin matang. Secara peribadi tahun 2018 antara tahun yang agak menyeronokkan atas beberapa sebab. Banyak kenangan yang aku simpan untuk tahun 2018 ni ^_^.

Rabu, 19 September 2018

Bulan Muharram

Sempena ketibaan tahun baru hijrah ni, aku ada azam nak tulis pasal sejarah untuk tiap-tiap bulan Islam. Jadi setiap bulan aku akan cerita beberapa peristiwa sejarah yang terjadi pada bulan tu. Sejarah berkaitan bulan tu pun kalau ada aku akan tulis juga.

Untuk bulan Muharram ni. Dalam kalender Islam, Muharram merupakan bulan pertama. Ianya ditentukan ketika pemerintahan khalifah kedua kita iaitu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab. Namun permulaan kiraan tahun adalah pada tahun berlakunya peristiwa hijrah. Tujuan mewujudkan kalender Islam ini adalah untuk menunjukkan ketinggian Islam dengan mempunyai kalender sendiri. Idea untuk memulakan kiraan kalender Islam ini dengan perisitiwa Hijrah merupakan idea Saidina Ali bin Abi Talib. Namun begitu peristiwa Hijrah bukanlah berlaku pada bulan Muharram itu sendiri. Sebab dipilih bulan Muharram adalah kerana ia bulan yang orang baru sahaja selesai menunaikan ibadah haji dan ia juga termasuk di dalam bulan-bulan haram (bulan yang diharamkan berperang)

Dan sudah tentu dalam bulan Muharram kita ada satu tarikh istimewa iaitu 10 Muharram atau disebut Hari As-Syura'. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku pada tarikh 10 Muharram ini antaranya adalah Allah telah menenggelamkan Firaun pada tarikh tersebut. Ini berdasarkan hadis:-

Telah menceritakan kepadaku Ibnu Abi ‘Umar, telah menceritakan kepada kami Sufyaan, dari Ayyuub, dari ‘Abdullaah bin Sa’iid bin Jubair, dari Ayahnya, dari Ibnu ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma, bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam mendatangi Madinah, maka beliau mendapati Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, beliau bersabda kepada mereka, “Hari apakah ini yang kalian berpuasa didalamnya?” Mereka menjawab, “Hari ini adalah hari yang agung karena Allah telah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan Allah menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya, maka Musa berpuasa pada hari ini sebagai ungkapan rasa syukur kepada Allah dan kami pun ikut berpuasa.” Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Kami lebih berhak mengikuti Musa dibanding kalian.” Maka berpuasalah Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam dan beliau memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi kita digalakkan berpuasa pada 10 Muharram ini.

Selain itu dalam sejarah Islam sendiri, tarikh 10 Muharram juga merupakan tarikh terbunuhnya cucu Rasulullah S.A.W iaitu Saidina Hussein bin Ali. Maka terdapat beberapa amalan menyeleweng oleh puak fahaman Syiah yang mencederakan diri mereka pada tarikh 10 Muharram ini. Punca bagaimana Saidina Hussein dibunuh aku rasa tak perlu untuk diceritakan sebab banyak riwayat dan melibatkan beberapa tokoh. 

Bulan Muharram juga merupakan bulan berlakunya peperangan Khaibar iaitu pada tahun 7 hijrah. Peperangan Khaibar ni antara peperangan utama dalam sejarah Islam pada zaman Rasulullah S.A.W. Punca utama Khaibar diperangi oleh Rasulullah S.A.W. adalah kerana penduduk Khaibar telah menghimpunkan tenaga untuk memerangi kaum Muslimin dalam peperangan Ahzab. Mereka juga yang memberi jalan kepada Yahudi Bani Quraizah supaya mengkhianati orang-orang Islam, dan mereka jugalah yang membuat hubungan dengan orang-orang munafik. Lebih hina lagi, mereka merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W. Nak diceritakan kisah peperangan Khaibar ni sangat menarik sebab kubu Khaibar ni berlapis-lapis dan kukuh. Dan sudah tentu peperangan ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. 

Jadi tu saja laa yang aku tau pasal bulan Muharram ni. Nanti dah sampai Safar, aku tulis pula pasal bulan Safar.

Khamis, 19 Julai 2018

Sikap Racism Dalam Watak Ron Weasley

Bagi sesiapa yang pernah tengok atau baca kisah bersiri Harry Potter ini sudah pasti mengenali watak yang merupakan kawan baik Harry iaitu Ron Weasley atau nama penuhnya Ronald Bilius Weasley. Ron Weasley berasal daripada keluarga Weasley salah satu keluarga berdarah tulen (keturunan ahli sihir) yang terkenal. Keluarga Weasley juga dikenali sebagai keturunan pengkhianat bagi sesetengah masyarakat sihir dek kerana terlalu menerima mereka yang bukan berketurunan ahli sihir atau bahasa kasarnya Darah Lumpur dalam keluarga mereka.

Ron Bilius Weasley

Untuk entri kali ni aku nak kaitkan racism atau perkauman dalam watak Ron Weasley ini. Jadi definisi racism atau perkauman ni menurut google (hahaha... apa ko ingat aku rajin nak cari jurnal ke?) "the belief that all members of each race possess characteristics, abilities, or qualities specific to that race, especially so as to distinguish it as inferior or superior to another race or races." Asasnya sifat racism ini adalah kepercayaan di mana anggota di dalam satu kaum atau kelompok itu mempunyai satu nilai, kelebihan atau kualiti yang mengatasi kaum yang lain. Daripada sikap ini jika tidak dibendung dengan betul akan terlahirnya sifat prejudis, skeptik dan membenci satu kaum atau kelompok yang lain.

Dalam dunia sihir ini, sikap perkauman atau racism yang paling ketara adalah perbezaan darah atau keturunan. Mereka yang berketurunan ahli sihir atau digelar keturunan darah tulen akan dianggap mulia bagi sebahagian masyarakat manakala mereka yang berketurunan darah campur (salah seorang daripada ibu bapa ahli sihir) dan darah lumpur merupakan golongan kelas bawahan. Namun begitu, ideologi ini hanyalah diikuti dengan taksubnya oleh Voldemort dan penyokong-penyokongnya. Keluarga Weasley merupakan antara keluarga yang tidak mengiktiraf perbezaan keturunan ini dan menganggap semuanya sama saja termasuk Muggle (bukan ahli sihir) hanyalah seorang manusia yang perlu dilayan dengan baik.

Dilahirkan dalam keluarga yang tidak memegang ideologi seperti ini menjadikan Ron juga percaya bahawa konsep darah tulen dan darah lumpur ini tidak boleh digunapakai. Malah beliau antara mereka yang menganggap gelaran darah lumpur merupakan gelaran yang sangat biadap terhadap ahli sihir keturunan muggle. Kita dapat lihat dalam siri kedua 'Chamber of Secret' di mana apabila sahabat Ron, Hermione Granger digelar darah lumpur oleh Malfoy, serta merta Ron mengeluarkan tongkatnya dan meneyerang Malfoy. Ya mungkin sebab itu perasaan suka dia pada Hermione juga memainkan peranan dalam tindakan itu. Haha

Keluarga Weasley ketika bercuti di Mesir

Namun begitu, ramai yang tak perasan bahawa Ron juga ada sikap perkauman yang tersendiri. Dan sikap ini juga terdapat dalam kebanyakan masyarakat sihir termasuk yang menolak ideologi darah tulen darah lumpur ini. Pertama sekali kita dapat lihat apabila Ron dapat tahu bahawa Remus Lupin, guru Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam beliau merupakan sergigala jadian, persepsi beliau pada Lupin serta merta berubah. "...jangan sentuh saya kamu serigala jadian.." kata Ron kepada Lupin ketika Lupin hendak membalut luka di kakinya. Sememangnya ahli sihir yang pernah digigit serigala jadian akan menjadi serigala setiap kali bulan mengambang dan mereka akan disisihkan masyarakat sihir. Lupin contohnya tidak dapat pekerjaan selama bertahun-tahun sebelum Dumbledore menawarkan kepadanya menjadi guru di Hogwarts. Malah Lupin juga sedar keluarga mertuanya juga kurang senang akan perkahwinan beliau dengan Tonks.

Selain itu, persepsi Ron kepada gergasi. Apabila terbongkar rahsia Hagrid dan Madam Maxime merupakan separuh gergasi dan tersebar luas berita tersebut, pada awalnya Ron agak terkejut. Malah serta merta apabila terjadinya satu insiden, Ron mengesyaki Madam Maxime antara suspek yang terlibat. Namun, ini tidaklah seteruk penerimaan masyarakat sihir yang lain di mana Hagrid dicemuh dan dihina lebih-lebih lagi oleh Malfoy dan si katak tua Umbridge. (Hahaha) Dalam masyarakat sihir juga kita dapat lihat masyarakat kurang menerima gergasi sebagai sekutu mereka. Cornelius Fudge jelas sekali menolak cadangan Dumbledore untuk bekerjasama dengan puak gergasi dalam menentang Voldemort. 

Sikap perkauman juga wujud di antara Goblin dan ahli sihir. Dalam siri ketujuh "Deathly Hallows", Ron pernah berdebat dengan goblin bernama Griphook tentang hak ahli sihir dan goblin. Kelompok goblin merasa hak mereka dinafikan apabila mereka tidak dapat tahu ilmu pembuatan tongkat sakti daripada ahli sihir manakala ahli sihir juga merasa berhati-hati kerana goblin tidak pernah berkongsi ilmu mereka mencanaikan emas dan perak tanpa menggunakan tongkat sakti. Malah jika kita amati antara topik penting di dalam subjek Sejarah Ilmu Sihir di Hogwarts adalah tentang pemberontakan goblin.

Yang terakhir kita dapat lihat sikap Ron Weasley pada elf rumah. Secara asasnya Ron tidaklah memandang hina pada elf rumah. Namun, sikap Ron yang tidak ambil peduli akan kebajikan mereka juga kita boleh lihat dengan jelas. Sebagai contoh apabila Hermione Granger ingin menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Elf Rumah (S.P.E.W.) Ron dan Harry memandang sinis akan pertubuhan Hermione itu. Malah berbanding Harry yang tidak mengeluarkan pandangannya, Ron lebih banyak mengolok-olokkan pandangan Hermione. Dalam masyarakat sihir juga kita dapat lihat cara Amos Diggory bertanya pada Winky elf rumah Barty Crouch dengan sekadar memanggil Winky dengan panggilan "Elf....", tidak memanggil nama Winky.

Berdasarkan beberapa contoh aku beri ini, kita dapat lihat bahawasanya dalam masyarakat sihir racism tu ada di mana-mana. J.K Rowling menunjukkan bahawa racism ini bukan saja dalam kelompok yang jahat namun juga wujud dalam kelompok yang baik yang membesar dalam keadaan masyarakat seperti itu. Dan mereka boleh mengubah persepsi mereka juga. Kerana pada akhirnya, Ron tetap menerima Hagrid sebagai sahabat baik, tetap membenarkan Lupin membalut lukanya dan kita dapat lihat ketika 'Battle of Hogwarts', Ron melahirkan kebimbangan terhadapa keselamatan elf rumah pada ketika itu.

Namun, sikap perkauman masyarakat sihir terhadap golongan-golongan ini bukanlah tidak berasas kerana mereka juga ingin menjaga keselamatan mereka juga. Serigala jadian sangat bahaya ketika bulan mengambang dan ada juga kelompok serigala jadian yang ganas walaupun bukan di dalam bulan mengambang. Gergasi atas faktor saiz dan kekasaran mereka juga menimbulkan ketakutan. Elf rumah pula maklum saja laa mereka suka membuat kerja dan tidak kisah dihina membuatkan masyarakat sihir mengambil kesempatan terhadap kelemahan mereka. Goblin pula mereka juga bersifat perkauman terhadap ahli sihir malah mempunyai sejarah pemberontakan yang masih diingati. Namun sikap perkauman ini akan menjadi parah jika tidak dikawal dengan sepatutnya.

Dalam dunia sebenar kita ini juga wujud perasaan racist dalam diri kita walau sedaya upaya kita untuk tidak bersikap seperti ini. Adalah normal setiap kaum ingin mempertahankan kepentingan kaum masing-masing. Adalah normal jika kita berbangga dengan kelebihan kaum kita satu ketika dulu. Namun ia menjadi salah apabila kita memandang hina kaum yang lain. Lebih buruk apabila kita menghina kaum atau kelompok yang lain. Ini akan menjadi permusuhan antara kaum. Dan di situ bermulanya sikap perkauman ini menjadi salah.

Adalah mustahil untuk kita menjangkakan masyarakat membuang sikap perkauman ini. Namun kita boleh mengawalnya. Sebagai contoh kita lihat di Malaysia, kita ada tiga kaum utama yang masing-masing ingin mempertahankan budaya bangsa masing-masing. Baiknya pemimpin kita, diberi beberapa hak bumiputera kepada kaum Melayu dan Bumiputera. Dibenarkan sekolah-sekolah vernakular dibuka untuk kaum Cina dan India. Malah perayaan besar kaum-kaum ini kita dapat cuti dan kita dapat menyambutnya bersama-sama tanpa ada rasa prejudis. Tidak dinafikan akan wujud perbezaan yang akan menimbulkan konflik tapi jika kita kembali melihat beberapa persamaan, kita akan dapat menyelesaikan konflik itu sebaiknya.

Selasa, 17 Julai 2018

Adegan Panas Filem/Drama

Ok entri kali ni pendek je.. haha

Kita dibesarkan dengan drama & filem dengan pelbagai genre. Bila aku sebut drama dan filem aku juga memasukkan anime dan kartun kerana ianya juga sebuah penceritaan. Maka semestinya semua ini memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup kita dan tanpa sedar mempengaruhi pemikiran kita.

Tapi aku khususkan kepada drama dan filem Malaysia saja. Tahun lepas heboh sebentar sebuah filem yang dikatakan mempunyai adegan panas. Tak nak sebut filem apa. Aku tengok dan ya, ada beberapa adegan yang tak sewajarnya dipertotonkan. Ada juga dialog yang tak wajar disebut. Hal ini kerana filem tersebut ditayangkan secara awam. Itu pandangan aku. Tapi perkara ini bukanlah sesuatu yang asing dalam industri perfileman ini, dari zaman P Ramlee dah wujud adegan-adegan panas atau ranjang dalam sesetengah filem. Malah ada juga P Ramlee menghasilkan filem serupa ini satu ketika dahulu (tak perlu untuk judge.. kita tak tahu mungkin saja Allah ampunkan dosa dia... filem tu pun tak ditayangkan)

Macam-macam pandangan masyarakat apabila isu adegan panas di dalam filem dan drama ditunjukkan. Pandangan pertama mengatakan, inilah realiti masyarakat yang harus ditonjolkan. Pandangan kedua pula kata tak sepatutnya kerana filem dan drama perlulah menunjukkan contoh yang baik. Dan kedua pandangan ini terus diperdebatkan sehingga ke hari ini dan tak akan habis sampai bila-bila.

Pandangan aku pula, ya.. filem dan drama haruslah menunjukkan realiti masyarakat. Namun begitu adakah perlu menonjolkan adegan panas? Pada aku tak perlu pun. Banyak saja filem atau drama yang tunjuk adegan panas tapi tak melambangkan sangat pun realiti masyarakat. Adegan-adegan seperti itu tak tunjuk pun tak apa. Sebab yang penting mesej yang hendak disampaikan. Cukuplah sekadar dua pasangan masuk bilik tutup pintu. Dah... orang dah faham dah apa yang terjadi. Dan budak-budak pun tak perlulah nak kita risaukan terpengaruh.

Selasa, 15 Mei 2018

Pasca PRU 14

Rabu 9 Mei 2018 yang lalu, rakyat Malaysia memilih. Seperti semua sedia maklum keputusan PRU ke-14 kali ini merupakan keputusan pilihan raya paling bersejarah di Malaysia, di mana buat pertama kalinya, kemenangan majoriti parlimen berpihak bukan kepada Barisan Nasional (BN). Malah, negeri-negeri yang selama ini dikatakan menjadi kubu kuat BN turut tumbang. Kemenangan PRU ke-14 ini berpihak kepada Pakatan Harapan yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan  kemenangan sebanyak 113 kerusi parlimen.

Dan buat pertama kali juga di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Perdana Menteri Keempat Malaysia, memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua sekaligus menjadikan beliau Perdana Menteri Ketujuh Malaysia. Dan kita juga menerima Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Ini merupakan persitiwa bersejarah buat negara kita kerana sebelum ini tiada lagi wanita yang pernah memegang jawatan tersebut.

Bagi penyokong Pakatan Harapan, sudah tentu kemenangan ini merupakan satu kemenangan yang dinanti-nanti setelah sekian lama. Di facebook saja aku sendiri dapat lihat keseronokan beberapa sahabat akan kemenangan yang diraih oleh Pakatan Harapan ini. Lebih-lebih lagi pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dinanti-nanti oleh penyokong Pakatan Harapan.

Aku juga turut rasa berbangga kerana anak muda (bawah 30 tahun) merupakan antara pengundi yang paling ramai mengundi iaitu melebihi 40% dari keseluruhan yang turun mengundi. Ini menunjukkan anak muda sebaya aku semakin sedar akan kepentingan mengundi ini. Tidak perlu untuk turun ke jalanan untuk mengubah kerajaan. Tidak perlu rusuhan, atau mogok yang berlebihan di negara kita. Cukup dengan turunnya kita semua mengundi. Jika sebelum ini seringkali juga aku dengar di kaca televesyen di mana peratusan anak muda yang turun mengundi kurang memberangsangkan. Kini, tidak lagi. Berani aku kata angin perubahan yang terjadi untuk PRU 14 ini merupakan 'tsunami anak muda'. Hehehe

Secara peribadi aku juga berasa teruja akan perubahan yang telah terjadi ini. Pada masa juga berdebar-debar akan apakah perubahan yang bakal berlaku. Diharap kerajaan yang baru dibentuk ini memberi manfaat yang besar kepada agama, negara dan bangsa. Tidak dinafikan, aku agak bimbang akan kelompok-kelompok liberal, pendukung LGBT dan beberapa golongan sekular yang lain yang mengharapkan kerajaan yang baru dibentuk ini membela apa yang mereka panggil 'hak-hak' mereka. Kerisauan utama aku sudah tentu kepada geng LGBT ini. Dan tidak terkecuali juga geng-geng liberal yang ingin sangat institusi agama seperti JAKIM dihapuskan.

Perdana Menteri baru kita juga telah menamakan beberapa menteri seperti Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), Mat Sabu (Menteri Perdagangan) dan Tan Sri Muhyidin Yassin (Menteri Dalam Negeri). Tun M juga telah melantik lima panel Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada mereka yang bukan calang-calang orangnya iaitu:
1. Tun Daim (bekas Menteri Kewangan)
2. Tan Sri Zeti Aziz (bekas Gabenor Bank Negara)
3. Tan Sri Hassan Merican (Ketua Pegawai Eksekutif Petronas)
4. Tan Sri Robert Kuok (Tokoh Korporat)
5. Prof Dr Jomo (Ahli Ekonomi)
Mereka ditugaskan untuk membantu kerajaan dalam membentuk dasar dan program bagi membantu kerajaan melunaskan janji 100 hari Pakatan Harapan ini.

Sebagai pelajar kursus Pendidikan, sudah tentu apa yang dinanti-nantikan oleh aku adalah Menteri Pelajaran/Pendidikan yang baru. Sudah tentu isu yang aku nanti-nantikan adalah isu posting bakal-bakal guru. Hehehe.. Harap dipermudahkan.

Apa-apa pun sekali lagi aku sebut, sudah tentu harapan kita supaya kepimpinan yang baru ini membawa negara kita bukan saja maju secara luaran malah dalaman juga maju. Aku sedar adab sesama kita sudah semakin terhakis dek kerana ketaksuban kita terhadap pandangan politik kita. Apatah lagi melihatkan beberapa hinaan kepada Yang Di Pertuan Agong kita kerana kelewatan angkat sumpah Tun M sebagai Perdana Menteri. Kita juga semakin diasak oleh pendukung liberal, LGBT  dan sekular yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan Islam di negara kita ini.

Kepada penyokong yang partinya kalah... usah sedih-sedih. Mainkanlah peranan sebagai pembangkang sebaiknya dengan 'check and balance' kepimpinan baru ini.

Sekian

Isnin, 9 April 2018

PRU 14 Makin Menjelang

Jumaat lepas, parlimen akhirnya dibubarkan. Ini menandakan satu hal iaitu, Pilihan Raya Umum yang ke-14 (PRU 14) bakal menjelang. Jadi sempena musim PRU ni naklah juga tulis sesuatu kan. Cuma mungkin pendek sikit entri kali ni.

Biasalah bila mana musim pilihan raya ni banyak isu-isu politik dibangkitkan sama ada benar atau tidak. Baik dari pihak kerajaan mahupun parti-parti pembangkang. Aku dibesarkan dengan suasana macam ni sebab biasalah... generasi internet katakan. Isu-isu politik memang sentiasa diperkatakan setiap masa dalam mana-mana media sosial, apatah lagi dalam musim pilihan raya ni kan.

Jadi, tergerak nak menulis sebab aku perasan makin lama orang kita ni makin kurang beradab bila berpolitik. Tak kisahlah dari mana-mana puak pun, mesti ada golongan yang membincangkan isu politik dengan tidak beradab. Antara contoh yang kita boleh tengok, dari segi penggunaan bahasa, ayat yang digunakan, serta label melabel seperti macai, pemakan dedak, orang tua nyanyuk, tok lebai dan sebagainya.

Dah masuk 2018 kot. Ini bukan lagi zaman semua orang dari remaja hingga ke tua bangka jakun nak ber'keyboard warrior' di laman media sosial. Ini bukan lagi zaman politik label melabel. Kalau sokong kerajaan (Barisan Nasional) kita kata pemakan dedak laa, macai laa. Kalau sokong pembangkang kata pengkhianat negara laa. Kalau sokong yang islamik sikit (errr.... aku lupa orang PAS kena label apa.. hahaha).

Ini bukan lagi zaman di mana kita semua benda nak bawa ke demonstrasi. Bukan lagi zaman kita percaya bulat-bulat apa saja di internet dengan alasan kononnya di TV tu menipu, kat internet je boleh percaya. Zaman sekarang kita sendiri tau fitnah kat internet tu sama saja dengan fitnah di media-media utama seperti TV dan surat khabar. Kita sebagai pengguna internet yang matang perlulah tahu untuk menentukan maklumat manakah yang benar dan maklumat manakah yang tidak benar.

Aku sebenarnya ikutkan nak tulis beberapa isu yang berkaitan tapi tak apa la. Tulis panjang-panjang pun buat apa. Bukannya orang nak baca sangat pun. Tak ada laa... aku cuma 'trigger' sikit bila terbaca komen sesetengah penyokong sebuah parti yang menggunakan ayat yang kurang sopan kepada seorang tengku mahkota. Walaupun aku bukanlah jenis yang nak kata semua kata sultan dan raja ni betul, ada saja yang salah kerana mereka juga manusia biasa. Tapi adab dengan pemimpin juga perlulah kita jaga. 

Macam mana kita nak pastikan parti yang kita sokong tu menang kalau kita sebagai penyokong tidak menggambarkan parti kita tu sebagai parti yang matang dan tak gelabah berpolitik fitnah mengarut sepanjang masa? Ada beza penyokong yang berilmu dengan penyokong yang ibarat lembu dicucuk hidung atau senang kata, ikut membabi buta tanpa tahu dan faham perkara sebenar di sebalik mana-mana isu sekalipun.

Akhir kata, biarlah PRU 14 ni sebagai titik mula rakyat Malaysia matang dari segi politik. Sampai bila kita nak jadi bodoh dalam berpolitik?