Sabtu, 20 Januari 2018

Apa Erti Merdeka Bagi Diri Saya

Sebenarnya tulisan ni aku tulis untuk masuk pertandingan menulis sempena Hari Kebangsaan. Lepas tu aku tak ingat sama ada aku hantar atau tidak. Kalau hantar dah sah-sah tak menang. Maka aku sekadar kongsi kat blog aku. Silakan baca ^_^
.
.
Betapa kacaknya aku dengan Jalur Gemilang... hehehe

Bulan Ogos tiba lagi dan seperti biasa di Malaysia, bulan ini sangat sinonim dengan Hari Kebangsaan sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Sudah mencapai 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya. Namun begitu, ada pandangan yang mengatakan bahawa negara kita ini belum merdeka sepenuhnya dari belenggu penjajah. Hal ini kerana definisi merdeka itu sendiri berbeza-beza bagi setiap individu. Hamka pernah berkata "Kemerdekaan suatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa."

Bagaimana pula kita? Apakah erti kemerdekaan itu pada kita? Adakah negara ini sudah betul-betul merdeka? Pada pandangan saya, kita memang telah merdeka dari kebanyakan aspek terutamanya dari sudut politik, tetapi dalam beberapa perkara sesetengah daripada kita belum merdeka sepenuhnya. Mudah saja untuk melihatnya. Kita lihat dari sudut bahasa. Orang yang mahir berbahasa Inggeris lebih dipandang tinggi berbanding mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Tahun lalu, apabila Faiz Subri yang memenangi Anugerah Gol Terbaik di PUSKAS dikritik kerana kurang fasih berbahasa Inggeris. Malah lebih memalukan ada yang mengatakan Faiz telah memberi malu kepada negara hanya kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris meskipun telah memenangi anugerah yang membanggakan negara.

Tak lupa juga dari sudut budaya. Kebanyakan daripada kita malu untuk menunjukkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia kepada orang luar. Contoh yang sama apabila Faiz Subri ingin berbaju Melayu ketika mahu menerima anugerah tersebut. Beliau dikritik kononnya tidak sesuai dan seumpamanya. Kita mungkin sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan, tetapi pemikiran kolonial seperti ini masih wujud dalam masyarakat kita. Bahkan berapa ramai antara kita yang bangga mengenakan pakaian kebangsaan di dalam majlis formal? Kita lebih suka mengenakan pakaian barat malah merasa gah mengenakannya.

Tidak dinafikan banyak perubahan yang berjaya kita kecapi setelah mencapai kemerdekaan. Kita sudah mampu mentadbir negara kita sendiri. Kita sudah ada kereta berjenama kita sendiri. Kita sudah ada sistem pendidikan kita sendiri. Malahan kita sudah ada mercu tanda yang dihasilkan oleh orang kita sendiri seperti KLCC. Tetapi sangat sedih jika masih ramai tidak bangga menaiki kereta buatan tempatan. Masih ramai golongan elit terutamanya yang menghantar anak-anaknya belajar ke luar negara. Lebih menyedihkan, masih ramai warganegara Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sesama mereka. Bahasa penjajah lebih diagung-agungkan.

Bukanlah saya tidak bersyukur akan apa yang kita telah capai daripada kemerdekaan ini, tetapi bukankah kemerdekaan kita ini akan menjadi lebih bermakna jika kita berbangga menggunakan produk tempatan kita. Kita berbangga menuturkan bahasa kebangsaan kita meskipun di hadapan pelancong luar negara. 60 tahun kita merdeka. Kita mampu memerintah negara kita sendiri. Namun hakikatnya untuk kita menuju ke arah erti kemerdekaan yang sebenarnya masih jauh. Jiwa kita masih lagi dibelenggu oleh pemikiran yang telah diterapkan oleh penjajah.

Kesimpulannya, erti merdeka pada saya tidak sekadar merdeka fizikal semata-mata. Jiwa yang merdeka adalah tujuan utamanya. Kerana tanpa jiwa yang merdeka kita tidak akan tenang. Bagaimana mahu menjadi sebuah negara maju jika jiwa kita masih terbayang keagungan negara lain? Tidaklah salah mencontohi mereka namun berpada-padalah. Orang Jerman, Jepun, Korea, Perancis malah Arab sekalipun jarang kita tengok menyindir orang senegara mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Tetapi kita berasa malu jika tidak tahu berbahasa Inggeris di hadapan orang Inggeris. Seolah mereka itu masih tuan kita yang perlu untuk kita mengikut rentak mereka. Jika kita mampu memimpin negara kita tanpa mereka, pasti kita mampu dan gah menunjukkan identiti kita sendiri kepada mereka.

Jumaat, 19 Januari 2018

Pengenalan Ringkas Wali Songo

Bangsa Jawa, merupakan bangsa yang tidak asing lagi di dalam masyarakat nusantara. Seperti yang kebanyakan ketahui, asal-usul Jawa itu sendiri datang dari tanah Jawa. Saya sendiri merupakan salah satu daripada mereka yang mewarisi darah Jawa itu. Jika disebut bangsa atau kaum Jawa ini, adalah sangat sinonim dengan sejarah yang masyhur iaitu Wali Songo atau dalam Melayunya Wali Sembilan di mana perkataan 'Songo' membawa maksud 'sembilan' di dalam Bahasa Jawa.

Menurut kepercayaan umum, Wali Songo ini merupakan antara mereka yang bertanggungjawab dalam meletakkan atau menyebarkan Islam di Tanah Jawa itu sendiri. Namun begitu, ada juga pandangan mengatakan bahawa Islam sudah bertapak di Tanah Jawa sebelum kedatangan Wali Songo itu sendiri. Hal ini kerana, telah dijumpai sebuah makam seorang wanita yang bernama Fatimah yang meninggal dunia pada tahun 475 Hijrah atau 1028 Masihi. Namun mungkin pada ketika itu, Islam belum berkembang dengan luas di Tanah Jawa.

Meskipun peribadi para wali ini telah ditutupi dengan pelbagai kisah dongeng terutama yang kita dapat lihat pada Sunan Kali Jogo, namun melalui dongeng ini kita dapat lihat bahawa meskipun telah menerima Islam, orang Jawa belum 'sampai hati' untuk membuang sisa-sisa dari kepercayaan mereka yang lama.

Berikut merupakan sedikit sebanyak maklumat mengenai sembilan wali songo tersebut. Saya mengambil daripada beberapa sumber seperti kitab 'Sejarah Umat Islam' karangan Hamka dan terdapat juga yang aku cedok maklumat daripada internet dalam beberapa blog dan sebagainya. Tapi aku tak ambil semua maklumat bulat-bulat daripada internet. Hal ini kerana terdapat beberapa kisah yang aku sendiri meraguinya seperti kuasa-kuasa hikmat yang dikatakan pada sesetengah wali tersebut. Oh ya.. paling penting, ini bukan artikel ilmiah. Sekadar penulisan biasa.

1. Maulana Malik Ibrahim
Megambil daripada catatan Hamka di dalam tulisannya di dalam kitab 'Sejarah Umat Islam', Maulana Malik Ibrahim ini asalnya daripada bangsa Arab yang datang ke Tanah Jawa untuk menyebar agama Islam. Maulana Malik Ibrahim ini dikatanya datang ke Gersikpada tahun 1404 Masihi. Beliau berdakwah di Gersik sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1419 Masihi.

2. Sunan Ngampel (Ampel) (Raden Rahmat)
Wali kedua iaitu Sunan Ngampel atau Ampel dan juga dikenali sebagao Raden Rahmat. Tersebut kisah bahawa raja negeri Champa mempunyai dua orang puteri. Yang tua diperisterikan dengan Angkawijaya Raja Majapahit. Dan anak perempuannya yang kedua dikahwinkan dengan seorang pendakwah Islam daripada Tanah Arab. Maka dari zuriat puterinya yang kedua inilah lahirnya Raden Rahmat.
Jika Champa yang disebutkan ini merupakan Champa yang di Acheh (negeri Jeumpa) maka tidak pelik jika Raden Rahmat itu berasal dari keturunan Arab datangnya dari Acheh.
Maka, Raja Champa ini menghantar Raden Rahmat ke Tanah Jawa. Kemudian beliau kahwin dengan seorang puteri dari Bupati Tuban yang telah memeluk agama Islam. Namanya Nyi Ageng Manila. Pada tahun 1450, beliau memperoleh seorang putera yang bernama Makhdum Ibrahim yang masyhur dengan nama Sunan Bonang. Dan dengan anaknya yang seoramh lagi, Masih Ma'unat, yang kemudiannya masyhur dengan nama Sunan Drajat.
Raden Rahmat ini mengajar Islam di sebuah kampung bernama Ampel atau Ngampel.

3. Sunan Bonang (Makhdum Ibrahim)
Beliau merupakan anak lelaki tertua Sunan Ngampel melalui perkahwinannya dengan Nyi Ageng. Makhdum Ibrahim atau lebih masyhur dengan gelaran Sunan Bonang bersama saudaranya Sunan Drajat (Masih Maunat) menerima pelajaran sedalam-dalamnya daripada bapa mereka, Raden Rahmat (Sunan Ngampel). Malah dihantar sehingga ke Mekah.

4. Sunan Drajat (Masih Ma'unat)
Setelah menerima pelajaran tentang agama Islam, beliau ke negeri Sedayu dan mengajar Islam kepada murid-murid di sana. Untuk lebih lanjut bolehlah buka pautan di bawah ini :-
https://www.thepatriots.asia/seni-dakwah-sunan-drajat-memuliakan-fakir-miskin/
Sebab aku rasa artikel yang ni menarik~

5. Maulana Ainul Yaqin (Raden Paku, Sunan Giri)
Setelah Maulana Ishak, rakan kepada Raden Rahmat membantu Raden Rahmat menyiarkan Islam di Ngampel, maka beliau berangkat ke Kerajaan Balambangan di hujung Jawa Timur yang masih menganut agama Hindu. Selain itu, di sana juga terdapat beberapa orang yang sudah bersedia memeluk agama Islam.
Kebetulan pula, puteri kepada Raja Balambangan sedang gering. Banyak tabib cuba mengubatinya, namun tidak berjaya. Maka disampaikan kepada raja oleh seseorang mengenai seorang Syeikh yang bernama Ishak yang telah banyak mengubati orang sehingga sembuh. Raja bersetuju malah beliau sudi untuk mengahwinkan puterinya yang sedang gering itu untuk dikhawinkan dengan Maulana Ishak asal sahaja penyakitnya itu bisa sembuh. Malah Raja juga bersedia untuk memeluk agama Islam.

Dan bersemangatlah Maulana mengubati sang puteri sehingga beliau sembuh. Maka seperti yang dijanjikan, berlangsunglah perkahwinannya dengan puteri tersebut. Malah, puteri tersebut memeluk Islam dan menjalankan segala ajaran Islam dengan penuh bersemangat. Tidak lama kemudian, berita gembira hadir di mana puteri sedang hamil. Tetapi ayahnya Raja Balambangan tidak mahu memenuhi janjinya yang mahu memeluk Islam, sebaliknya berasa cemburu akan pengaruh Maulana yang nampaknya sudah mula bertapak di Balambangan.

Maka tidak hairanlah jika Maulana Ishak dihalau dari Balambangan dan dipisahkan dengan sang puteri yang sedang hamil itu. Puteri pula pada ketika itu yang risau jika anaknya diberi didikan hindu setelah anaknya lahir, diserahkan anaknya itu kepada seorang perempuan janda kaya yang teguh memegang ajaran Islam tinggal di Gersik. Daripada ibu angkatnya itu, anak kecil ini diberi didikan secara Islam. Setelah usianya 12 tahun, diserahkannya belajar bersama Sudan Ngampel (Raden Rahmat) sahabat ayah kandungnya sendiri. Dan belajarlah anak itu dan diberi nama Raden Paku. Disebut juga sebagai Ainul Yaqin. Dan Raden Rahmat mengahwinkan Raden Paku dengan anak perempuannya.

Oleh kerana Raden Paku dan anak Raden Rahmat, Makhdum Ibrahim itu sebaya, maka beliau menyuruh keduanya melanjutkan pelajarannya ke luar negeri, sama ada ke Pasai atau ke Melaka. Dan jika ada kapal tempat menumpang, dapatlah melanjutkan pelajaran ke negeri Mekah. Dalam perjalanan itu, mereka sampai ke Melaka. Di sana mereka belajar bersama seorang Ulama dari Iran selama 3 tahun. Setelah menuntut ilmu dengan lebih mendalam, pulanglah mereka ke Tanah Jawa. Makhdum Ibrahim mengajar di Bonang. Itu sebab beliau (Makhdum Ibrahim) bersama Raden Paku mengambil tempat di puncak sebuah bukit di Gersik, bernama Bukit Giri. Semakin lama, semakin ramailah yang belajar menuntut ilmu di sana. Kemudian apabila Raden Rahmat meninggal dunia, Raden Paku diakui oleh Raja Mahapahit sebagai ketua masyarakat Islam di Gersik dan Ngampel.

6. Sunan Kali Jaga (Raden Syahid)
Di antara kesembilan wali songo, beliau merupakan yang paling melekat di dalam hati kaum Muslimin di Tanah Jawa. Sehinggakan banyak kisah-kisah dongeng tentang beliau. Sehingga ada yang mengatakan bahawa beliau pernah ke Mekah dan berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan diberi hadiah pula oleh Nabi SAW kepadanya. Wallahualam.

Antara sumbangan beliau adalah beliau berjaya memasukkan pengaruh Islam ke dalam amalan kebiasaan orang-orang Jawa. Kecintaan orang Jawa terhadap wayang, menyebabkan beliau memasukkan hikayat-hikayat Islam ke dalam permainan wayang. Malah, beliau juga mencipta beberapa puisi dan yang masyhur kita ketahui pada zaman sekarang merupakan nyanyian 'Lir ilir' dan diketahui kebanyakan kaum Muslimin di Nusantara.

Untuk lebih lanjut boleh juga buka pautan di bawah ni:
https://www.thepatriots.asia/sunan-kalijaga-pendakwah-budayawan-seniman-wayang-kulit/

7. Sunan Kudus (Syeikh Ja'far Sadiq)
Dikatan bahawa beliau merupakan keturunan daripada Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau bekerja keras dalam menyebarkan Islam di satu tempat bernama Quds. Nama tempat tersebut dikatakan diambil daripada nama Baitul Maqdis, sebab kononnya dari sana ia datang. Mempunyai pandangan yang berbeza dengan Sunan Kali Jaga, kerana beliau lebih mengutamakan memperdalami pegaruh Islam serta mengikis semua pengaruh-pengaruh Hindu.

8. Sunan Muria
Turut dikenali sebagai Raden Umar Said. Beliau merupakan antara wali songo yang menetap di daerah Gunung Muria. Menurut sesetengah riwayat, dikatakan beliau merupakan anak kepada Sunan Kali Jaga. Namun terdapat juga beberapa ahli sejarah yang tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Kebanyakan riwayat mengatakan bahawa cara Sunan Muria berdakwah mirip kepada Sunan Kali Jaga. Beliau juga mencipta beberapa lagu Jawa.

9. Sunan Gunung Jati
Beliau lahir dan dibesarkan di Pasai. Selain daripada seorang ulama, beliau juga seorang panglima perang yang hebat, penakluk Pajajaran, pembangun Kerajaan Bantam, pendiri negeri Jakarta, penghambat penjajahan Portugis. Orang Portugis menyebut namanya 'Falatehan' berasal dari kata Fatahillah (pembuka kemenangan daripada Allah). Kemungkinan nama ini diberi oleh para ulama kerana kemenangannya yang gilang gemilang atau daripada Sultan Terenggono, raja Demak.

Antara nama lain beliau adalah Sheikh Ibrahim bin Maula Ash-Shaikh Israil (nama kecil), disebut juga Sharif Hidayatullah, Sayid Al-Kamil, Makhdum Rahmatullah.

Dia datang ke Demak pada tahun 1521 setelah pulang dari Mekah. Beliau tidak ke Pasai lagi sebaliknya terus menetap di Demak kerana Pasai telah diduduki oleh Portugis. Pada awalnya, beliau hanya menjadi guru agama sahaja di Demak, mengajar anak-anak raja tentang agama Islam. Selain pengetahuan yang luas dalam bidang agama, beliau juga mahir dalam hal-hal berkaitan politik, pemerintahan dan peperangan. Maka tertariklah Sultan Terenggono sehingga dia dikahwinkan dengan adiknya. Tidak lama kemudian beliau dijadikan panglima perang untuk menaklukkan Jawa Barat. Gelaran beliau Sunan Gunung Jati adalah kerana makam beliau yang terletak di Gunung Jati.





RUJUKAN
Sejarah Umat Islam
biografi-tokoh-ternama.blogspot.com/2014/11/sunan-muria-raden-umar-said.html?m=1

***aku dah tulis ni entah dah dua tiga tahun sudah rasanya.... baru sekarang ni tergerak nak letak kat blog***