Tahun 2017 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Seperti biasa apabila tiba hujung tahun, aku biasanya akan cuba mengenang semula apa yang telah berlaku sepanjang tahun ini sama ada melalui penulisan aku atau sekadar di dalam kepala aku sendiri. Dan lagi sekali aku cuba merangkumkan (acah-acah) semula beberapa peristiwa yang telah sepanjang tahun ini.
Tahun 2017 merupakan antara tahun yang boleh kata bermakna bagi negara kita Malaysia kerana tahun ini merupakan tahun ke-60 kita menyambut Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan. Sudah enam dekad rupanya. Tidak lupa juga sambutan pada kali ini cukup bermakna apabila negara kita menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA. Lebih manis apabila negara kita berjaya menjadi juara keseluruhan dengan kita berjaya meraih sebanyak 145 pingat emas. Dan secara peribadi, aku cukup sukakan persembahan penutup yang dibuat sekali dengan konsert ambang merdeka di Stadium Putra Bukit Jalil di mana artis-artis terkenal tanah air mempersembahkan lagu-lagu popular dari zaman sebelum merdeka sehingga lagu terkini. Diikuti dengan lagu-lagu patriotik. Meremang bulu roma bila terdengar suara orang ramai-ramai nyanyi di stadium.
Sebut pasal sukan, tahun ini juga seorang pemain bola sepak kita berjaya meraih anugerah PUSKAS bagi jaringan tercantik iaitu Faiz Subri pada awal tahun ini. Timbul juga isu mengenai bahasa, pakaian dan adat resam namun itu tidaklah bermakna kejayaan beliau tidak dipandang malah cukup membanggakan negara.
Selain itu, tahun ini juga kita banyak didedahkan dengan isu sosial yang agak menyedihkan kita. Pada bulan Mei yang lalu kita dikejutkan dengan kes kematian seorang pelajar UPNM kerana 'dibuli'. (Berita lanjut cari di Google). Sesuatu yang agak mengejutkan seluruh negara apabila kes ini berlaku dalam kalangan mereka yang bergelar mahasiswa. Agak menyedihkan juga apabila kita dapati kerana sedikit kesilapan iaitu tidak dapat mengawal emosi, lalu mengakibatkan kematian insan lain. Dan lebih menyedihkan sabit kesalahan, mereka berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati mandatori.
Kes kedua yang agak besar turut mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila sebuah Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat terbakar akibat perbuatan khianat mengakibatkan lebih 20 orang termasuk pelajar dan tenaga pengajar maut. Dan lebih mengejutkan apabila penangkapan dilakukan ke atas beberapa orang remaja dalam lingkungan 11-18 tahun. Cerita mengenai cara mereka membakarnya juga tersebar luas di media sosial. Sekiranya benar pasti amat menyedihkan kerana menunjukkan kes dadah dalam kalangan remaja kita telah mencapai satu tahap yang ermmm.... menakutkan dalam masa yang sama juga menyedihkan.
Kedua-dua isu ini membuat kita berfikir, sebegini terukkah masyarakat kita? Inikah generasi muda kita? Inikah generasi aku? Generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara kita ini. Di mana silapnya. Tahun ini juga kita dihadapkan dengan beberapa isu di mana ibu bapa mengkritik, menyaman dan memarahi guru-guru yang mendenda anak-anak mereka meskipun sudah terang lagi bersuluh anak-anak mereka melakukan kesilapan. Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang guru disaman oleh ibu bapa seorang pelajar kerana guru tersebut menampar anak mereka yang ditangkap menghidu gam. Bagaimana seorang guru mahu mendidik generasi akan datang dengan kewujudan ibu bapa seperti ini? Apabila anak-anak sudah tidak mampu untuk dilentur lagi, siapa yang mahu dipertanggungjawabkan?
Tahun 2017 juga kita dikejutkan dengan dua kematian melibatkan penyanyi yang agak terkenal. Pertama sekali pada Julai lalu dunia hiburan dikejutkan dengan kematian Chester Bennington iaitu vokalis kumpulan Linkin Park. Punca kematian adalah bunuh diri. Secara jujurnya, aku tidaklah mengikuti lagu-lagu Linkin Park dan aku juga tidak mengenali vokalis tersebut sampailah kepada hari kematian beliau. Namun apa yang membuatkan kematian beliau viral dan diperkatakan bukanlah bunuh diri semata-mata, tetapi depresi. Isu depresi aku perasan sudah mula berlegar-legar dan diperkatan sedikit di alam maya. Namun, apabila tersebar luasnya kematian beliau, ise depresi semakin mendapat liputan meluas. Dan mereka yang tidak pernah didedahkan dengan apa maksud depresi yang sebenar seperti aku mula mencari dan mengenal apa itu depresi. Kesedaran mengenai depresi semakin meluas dalam masyarakat kita namun tidaklah viral sangat pada aku pada ketika itu.
Namun baru-baru ini, dunia sekali lagi dikejutkan dengan kematian seorang penyanyi korea yang agak popular iaitu Jonghyun yang berpunca juga kerana bunuh diri. Dan aku perasan topik depresi semakin hangat diperkatakan. Malah, aku juga tidak sangka sehingga ke corong-corong radio isu depresi semakin hangat diperkatakan oleh penyampai radio. Pada aku, hikmah di sebalik kematian dua nama besar ini adalah kematian mereka memberi pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat kita akan isu depresi. Diharap masyarakat kita semakin cakna dan tidak skeptikal terhadap mereka yang mempunyai masalah mental seperti ini.
Di seluruh dunia pula, kita dapat lihat isu di Asia Barat semakin tidak nampak jalan penyelesaiannya. Baru-baru ini juga, Trump entah kenapa tiba-tiba mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Palestin. Tak tau apa di sebalik isu ini. Wallahualam. Tapi kita dapat lihat isu Palestin timbul semula setelah beberapa ketika kita seolah terlupa akan mereka.
Tidak lupa juga akan isu Rohingya yang sehingga kini belum jumpa jalan penyelesaiannya. Namun, sejujurnya aku agak kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang seakan memandang remeh akan isu Rohingya hanya kerana sebahagian daripada warga Rohingya berkelakuan tidak sopan di negara kita. Apakah wajar? Aku dah ulas pasal hal ini pada entri aku yang lepas.
Satu isu yang agak besar turut melanda negara kita pada Februari yang lalu apabila seorang warga Korea Utara yang bukan sebarang orang iaitu abang kepada presiden Korea Utara sendiri bernama Kim Jong Nam terbunuh di KLIA. Rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita disyaki membunuh beliau. Akhirnya sudah ditangkap, iaitu seorang wanita warganegara Indonesia. Heboh juga sementara isu ini kerana kita bimbang akan mengeruhkan hubungan kita dengan Korea Utara dan lebih bimbang akan mencetuskan peperangan. Yalah, Korea Utara, bukannya boleh jangka kan.. hehehe.
Secara peribadi, tahun ini aku rasa seperti tahun 2016 yang sudah. Agak pantas ia berlalu rasanya walaupun dengan pelbagai berita sensasi dan panas (wahh... hahaha) yang berlaku. Seperti baru semalam menyambut ketibaan 2017, tahu-tahu sudah sampai ke penghujungnya. Sungguh pantas masa berlalu aku rasa sekarang. Banyak juga perkara baru yang aku pelajari, kenalan-kenalan baru dan tak kurang juga ujian yang melanda.. gituhh...
Banyak lagi sebenarnya kan peristiwa suka duka pahit manis yang kita telah lalui sepanjang tahun 2017 ini. Persoalannya adakah kita mengambil pengajaran daripadanya? Sama-sama kita renungkan. Apa-apa pun, sama-samalah kita doakan dan berharap agar tahun 2018 yang bakal menjelma ini memberikan kita seribu satu kenangan manis untuk kita.