Aku baru saja habis tonton kesemua siri Game of Thrones. Aku mula layan dalam awal Julai dan habis dalam masa sebulan. Biasalah cuti semester. Membazir masa. Hahaha. Pada mulanya aku memang tak ambil pusing pun pasal siri GoT ni. Mungkin sebab overrated sangat yang buat aku macam malas pula nak layan. Aku ada satu sikap bila satu-satu cerita tu terlalu dihebohkan, aku jadi tak nak tengok. Tak tau kenapa. Hahaha. Yang buat aku tergerak nak tengok cerita ni bila tahun ni (2019) ada beberapa rakan aku kat facebook buat ulasan mengenai cerita ni. Dari apa yang diulas, banyak sebut mengenai realpolitik, sejarah dan seumpamanya. Jadi aku pun mintalah dari kawan aku yang simpan semua siri GoT ni dan mula menontonnya.
Secara keseluruhan, cerita ni memang bagus walaupun ada beberapa adegan tak senonoh yang buat kau rasa tak selesa untuk menontonnya, tapi dari segi plot dan perkembangan watak serius cakap memang terbaik. Secara kasarnya cerita ni mengenai politik satu kawasan yang dinamakan Westeros yang mempunyai '7 kingdoms' tapi disatukan di bawah satu raja yang digelar 'Lord of 7 Kingdoms' di Kings Landing. Selama 300 tahun (tak silap aku laa) Westeros di bawah pemerintahan keluarga Targaryen. Kemudian satu pemberontakan diketuai oleh Robert Baratheon menggulingkan Targaryen dan Robert Baratheon menjadi pemerintah Westeros. Cerita Game of Thrones ni bermula 17 tahun kemudian. Segalanya bermula dengan kematian Jon Aryn sebagai Hand of the King dan Robert Baratheon mahu melantik Ned Stark (Lord of Winterfell) sebagai pengganti Jon Aryn. Aku nak jelaskan semua susahlah.. panjang.. hahaha tengoklah sendiri. Apa aku nak cakap selepas ni banyak spoiler untuk orang yang belum habis musim pertama lagi. Ok dah cakap awal-awal. Jadi ada beberapa point yang aku nak ulas pasal siri Game of Thrones ni:-
1. 'Honor'
Masa mula-mula tengok musim pertama, aku tengok sambil lewa sikit. Banyak watak nak kena hadam buat aku tengok lebih kurang je. Aku banyak fokus pada konflik antara keluarga Stark dengan Lannister je. Cerita ni jadi menarik bila sampai penghujung musim pertama ni, Ned Stark mati. Masa tu laa aku rasa cerita ni memang bagus yang membuatkan aku nak layan sampai habis. Hahaha. Kematian Ned Stark ni sangat simbolik sebab nak tunjuk realiti sebenar dunia politik di mana jangan jadi baik sangat. Ned Stark terlalu baik dan berpegang pada 'honor' atau maruah dalam bahasa kita. Tak salah untuk jadi seorang yang bermaruah, tetapi bila kau terlalu berpegang pada maruah kau, ia akan memakan diri kau. Samalah seperti Ned Stark, hanya kerana dia terlalu baik dan mungkin rasa tak bermaruah untuk bocorkan rahsia Lannister tanpa beri amaran, membuatkan tindakannya tu makan diri dia semula.
Selepas kematian Ned Stark, anak sulungnya Robb Stark menggerakkan orang-orang North untuk menuntut bela kematian Ned sekaligus untuk memerdekakan North daripada kerajaan Westeros dan Robb menjadi King in the North. Namun nasib Robb kurang baik kerana dia juga sama seperti bapanya. Daripada kelihatan seperti akan beroleh kemenangan sudahnya habis dibunuh hampir kesemua orang-orang penting North pada musim ketiga dalam tragedi 'Red Wedding'. Kerana lebih memilih 'cinta' dan mengutamakan maruah, akhirnya habis dibunuh angkatan tentera North oleh Frey. Dan dalam babak Red Wedding ni pada aku ayat Catelyn Stark (isteri Ned, mak Robb) "In my honor as a Tully. In my honor as a Stark.." Pada aku macam simbolik gila ayat ni macam nak tunjuk 'honor' yang kau pegang bagai nak rak tak boleh selamatkan kau dan buat kau kalah dalam permainan politik. Tapi taklah bermakna kita tak perlu berpegang pada konsep 'honor' tu. Sebab pada akhirnya 'honor' yang dipegang oleh Jon Snow berjaya membuatkan beliau dihormati.
2. Tak klise
Awal-awal dalam siri Game of Thrones ni, aku ingatkan cerita ni mengenai Ned Stark. Setelah kematian Ned Stark, aku mula rasa cerita ni mengenai macam mana Robb Stark menuntut bela kematian ayah dia dan memerdekakan North serta menyatukan balik keluarga dia yang dah entah ke mana semuanya. Tapi sayang seribu kali sayang Robb dan Catelyn Stark mati dalam Red Wedding. Hampir dua siri masa intro cerita ni Winterfell macam dah hancur sampai aku rasa cerita ni sebenarnya takkan ada kaitan dengan Winterfell pun. Tapi akhirnya Winterfell berjaya bangkit semula. Ok apa yang aku nak cakap, cerita ni banyak elemen yang tak dijangka. Bukan klise. Kebanyakan watak-watak yang kita rasakan baik mati akibat sikap baik mereka sendiri juga sesetengahnya. Dan siapa sangka akhirnya Brandon Stark menjadi King of Westeros. Cerita ni tak terlalu klise dan pada masa sama tidaklah sampai tak klise langsung. Macam contoh watak Daenerys yang pada aku, ada rasa dia akan jadi pemimpin yang gila kuasa.
3. Perkembangan watak
Pada aku, selain plot yang baik dan tak klise, perkembangan watak juga memainkan peranan yang penting dalam sesebuah cerita. Contoh kalau dalam siri Game of Thrones ni yang paling ketara pada aku ialah Sansa Stark dan Theon Greyjoy. Watak Sansa pada mulanya memang aku menyampah betul. Hahaha. Serius aku cakap. "I want to be a queen.." Siapa sangka pada akhirnya bukan menjadi isteri raja, tetapi pemerintah North dan berjaya menjadikan North sebagai satu kerajaan yang merdeka daripada Westeros. Tapi laluan dia untuk capai apa yang dia capai itulah yang membentuk wataknya. Pada tiga siri yang terakhir, aku mula suka watak Sansa ni. Dia nampak lebih rasional dan tak terlalu emosional. Malah dia tak terlalu mementingkan honor dan bijak berpolitik.
Watak Theon juga apa kurangnya. Malah pada aku watak Theon ni memang tak disangka-sangka akan jadi antara watak kegemaran aku. Itu pun masa siri terakhir tiga episod pertama. Yelah dia mati episod ketiga kan. Tapi watak Theon ni memang berjaya dikembangkan dengan jayanya oleh penulis cerita ni. Pada siri pertama memang aku tak ambil pusing sangat watak Theon ni. Kemudian bila dia mengkhianati Stark aku mula benci dia dan aku rasa mungkin dia akan mati awal sebab ikutkan dia taklah jahat sangat tapi lebih kepada keliru dan tak bijak buat keputusan. Kemudian dia disiksa yang pada awalnya aku rasa macam 'padan muka kau Theon' tapi lama-lama jadi kesian sampai dia hilang identiti dia. Sehinggalah dia berjaya mendapatkan kemaafan dan dengan bantuan Sansa dan Yara, Theon berjaya mendapatkan identiti dan semangatnya semula dan terus dia jadi watak kegemaran aku. Aku rasa sebak sikit masa dia mati tu. Hahaha. Jarang aku sebak tengok cerita tau.
Ok, setakat ni, itu saja point yang aku boleh beri sebab kenapa aku suka siri Game of Thrones ni. Hahaha. Serius aku menyesal juga tak layan cerita ni awal-awal.