Ahad, 6 Januari 2019

Selamat Datang 2019

Tahun 2018 telah selamat melabuhkan tirainya. Kini, tiba pula tahun 2019. Macam tahun-tahun yang sudah, aku akan seperti biasa buat acah-acah perutusan atau rangkuman sepanjang tahun. Maka.. ya bacalah.. hahaha

Tahun 2018 merupakan tahun yang cukup bersejarah bagi negara kita. Tak kiralah pada belah mana pendirian kita atau apa juga ideologi kita. Buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita Malaysia, kita mengubah parti memerintah pada PRU ke-14 yang lepas. Ada yang gembira, ada yang kecewa dan bersedih dan tidak kurang juga berbelah bahagi. Namun sudah pasti tarikh 9 dan 10 Mei 2018 menyaksikan satu peristiwa bersejarah bagi negara kita. Selama 60 tahun Barisan Nasional atau satu ketika dahulu dikenali sebagai Parti Perikatan diberi mandat untuk memerintah Malaysia. Kini, bak kata pemimpin baru kita 'Malaysia Baru' memilih untuk satu perikatan yang boleh kata baru dibentuk iaitu Pakatan Harapan bagi memerintah Malaysia. Tidak dinafikan terdapat beberapa ironi seperti kita menerima bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat sebagai PM yang ketujuh iaitu Tun Dr. Mahathir. Namun tetap ia merupakan peristiwa bersejarah bagi negara kita.

Tahun 2018 juga boleh aku kata merupakan antara tahun yang agak menyedihkan bagi negara jiran kita, Indonesia. Pada bulan Julai, kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di Lombok. Selang beberapa bulan kita dikejutkan pula dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban. Sangat menyayat hati apabila kita dikhabarkan banyak perkampungan musnah dan tenggelam begitu saja. Dan baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan kejadian tsunami di pesisiran pantai Selat Sunda akibat daripada letusan Anak Karakatoa. Lebih menyedihkan tsunami yang tiba tanpa sebarang amaran kerana sistem amaran yang sedia ada rupanya telah rosak mengakibatkan ramai nyawa terkorban termasuk anggota kumpulan seventeen yang kebetulan sedang mengadakan persembahan di kawasan pesisiran pantai berkenaan.

Apabila kita bercakap tentang gempa bumi di Indonesia, terkait pula dalam fikiran aku beberapa isu antara golongan agamawan dan err... ilmuwan? PU Amin antara individu awal yang menerima kecaman setelah beliau mengaitkan bencana yang menimpa merupakan amaran dari Tuhan atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Maka, banyaklah kecaman yang terkena pada beliau. Pada aku, tak wajar untuk kita memperbesar-besarkan hal ini. Yalah, bukan ke bencana alam tu sememangnya amaran dan peringatan dari Tuhan?

Tahun 2018 juga, pada aku merupakan tahun yang ramainya pihak menyuarakan pandangan masing-masing. Hahaha. Maklumlah Malaysia Baru. Sudah tentu aktivis LGBT sangat-sangat aktif ya tahun ni. Semua benda nak dituntutnya. Dan tidaklah bermakna golongan yang menentang senyap seribu bahasa. Kecoh sebentar negara apabila kerajaan ada ura-ura hendak meratifikasikan ICERD (nak tau apa tu ICERD google sendiri..). Maka ramai orang terutama orang-orang Melayu Islam yang membantah cadangan ini kerana ini akan menyebabkan ketuanan Melayu dan Islam di Malaysia ini akan terhakis sedikit demi sedikit. Maka, mereka berhimpun pada 8 Disember yang lepas bagi membantah dan meminta kerajaan agar tidak sama sekali meratifikasikan ICERD.

Dan antara perkara menyedihkan yang berlaku pada tahun 2018 ialah kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib, akibat rusuhan mengenai Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. Asalnya pada aku bukanlah isu perkauman. Ianya bermula antara penganut agama Hindu dan pihak One City. Kemudian dek kerana beberapa kenyataan oleh beberapa ahli politik, nyaris-nyaris berlaku isu perkauman. Mujur, rakyat Malaysia semakin matang dalam isu-isu ini.

Dan bila disebut mengenai bomba, kita menerima beberapa berita menyedihkan mengenai anggota bomba kita sepanjang tahun 2018 ini. Awal tahun, kita menerima berita seorang anggota bomba yang agak terkenal dengan kepakarannya dalam mengendalikan ular, maut akibat dipatuk ular berbisa. Pada Oktober yang lalu kita dikejutkan dengan kematian 6 anggota bomba akibat lemas ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di dalam sebuah lombong.

Tak banyak aku boleh cerita. Maklum saja, ada yang jadi isu panas, kontroversi dan sebagainya. Apa-apa pun, kita sama-sama ambil pengajaran tentang apa saja yang terjadi sepanjang 2018 sama ada baik atau buruk. Dan sama-sama kita doakan tahun 2019 kita lalui dengan aman dan semakin matang. Secara peribadi tahun 2018 antara tahun yang agak menyeronokkan atas beberapa sebab. Banyak kenangan yang aku simpan untuk tahun 2018 ni ^_^.