Rabu, 19 September 2018

Bulan Muharram

Sempena ketibaan tahun baru hijrah ni, aku ada azam nak tulis pasal sejarah untuk tiap-tiap bulan Islam. Jadi setiap bulan aku akan cerita beberapa peristiwa sejarah yang terjadi pada bulan tu. Sejarah berkaitan bulan tu pun kalau ada aku akan tulis juga.

Untuk bulan Muharram ni. Dalam kalender Islam, Muharram merupakan bulan pertama. Ianya ditentukan ketika pemerintahan khalifah kedua kita iaitu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab. Namun permulaan kiraan tahun adalah pada tahun berlakunya peristiwa hijrah. Tujuan mewujudkan kalender Islam ini adalah untuk menunjukkan ketinggian Islam dengan mempunyai kalender sendiri. Idea untuk memulakan kiraan kalender Islam ini dengan perisitiwa Hijrah merupakan idea Saidina Ali bin Abi Talib. Namun begitu peristiwa Hijrah bukanlah berlaku pada bulan Muharram itu sendiri. Sebab dipilih bulan Muharram adalah kerana ia bulan yang orang baru sahaja selesai menunaikan ibadah haji dan ia juga termasuk di dalam bulan-bulan haram (bulan yang diharamkan berperang)

Dan sudah tentu dalam bulan Muharram kita ada satu tarikh istimewa iaitu 10 Muharram atau disebut Hari As-Syura'. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku pada tarikh 10 Muharram ini antaranya adalah Allah telah menenggelamkan Firaun pada tarikh tersebut. Ini berdasarkan hadis:-

Telah menceritakan kepadaku Ibnu Abi ‘Umar, telah menceritakan kepada kami Sufyaan, dari Ayyuub, dari ‘Abdullaah bin Sa’iid bin Jubair, dari Ayahnya, dari Ibnu ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma, bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam mendatangi Madinah, maka beliau mendapati Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, beliau bersabda kepada mereka, “Hari apakah ini yang kalian berpuasa didalamnya?” Mereka menjawab, “Hari ini adalah hari yang agung karena Allah telah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan Allah menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya, maka Musa berpuasa pada hari ini sebagai ungkapan rasa syukur kepada Allah dan kami pun ikut berpuasa.” Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Kami lebih berhak mengikuti Musa dibanding kalian.” Maka berpuasalah Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam dan beliau memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi kita digalakkan berpuasa pada 10 Muharram ini.

Selain itu dalam sejarah Islam sendiri, tarikh 10 Muharram juga merupakan tarikh terbunuhnya cucu Rasulullah S.A.W iaitu Saidina Hussein bin Ali. Maka terdapat beberapa amalan menyeleweng oleh puak fahaman Syiah yang mencederakan diri mereka pada tarikh 10 Muharram ini. Punca bagaimana Saidina Hussein dibunuh aku rasa tak perlu untuk diceritakan sebab banyak riwayat dan melibatkan beberapa tokoh. 

Bulan Muharram juga merupakan bulan berlakunya peperangan Khaibar iaitu pada tahun 7 hijrah. Peperangan Khaibar ni antara peperangan utama dalam sejarah Islam pada zaman Rasulullah S.A.W. Punca utama Khaibar diperangi oleh Rasulullah S.A.W. adalah kerana penduduk Khaibar telah menghimpunkan tenaga untuk memerangi kaum Muslimin dalam peperangan Ahzab. Mereka juga yang memberi jalan kepada Yahudi Bani Quraizah supaya mengkhianati orang-orang Islam, dan mereka jugalah yang membuat hubungan dengan orang-orang munafik. Lebih hina lagi, mereka merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W. Nak diceritakan kisah peperangan Khaibar ni sangat menarik sebab kubu Khaibar ni berlapis-lapis dan kukuh. Dan sudah tentu peperangan ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. 

Jadi tu saja laa yang aku tau pasal bulan Muharram ni. Nanti dah sampai Safar, aku tulis pula pasal bulan Safar.