Selasa, 15 Mei 2018

Pasca PRU 14

Rabu 9 Mei 2018 yang lalu, rakyat Malaysia memilih. Seperti semua sedia maklum keputusan PRU ke-14 kali ini merupakan keputusan pilihan raya paling bersejarah di Malaysia, di mana buat pertama kalinya, kemenangan majoriti parlimen berpihak bukan kepada Barisan Nasional (BN). Malah, negeri-negeri yang selama ini dikatakan menjadi kubu kuat BN turut tumbang. Kemenangan PRU ke-14 ini berpihak kepada Pakatan Harapan yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan  kemenangan sebanyak 113 kerusi parlimen.

Dan buat pertama kali juga di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Perdana Menteri Keempat Malaysia, memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua sekaligus menjadikan beliau Perdana Menteri Ketujuh Malaysia. Dan kita juga menerima Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Ini merupakan persitiwa bersejarah buat negara kita kerana sebelum ini tiada lagi wanita yang pernah memegang jawatan tersebut.

Bagi penyokong Pakatan Harapan, sudah tentu kemenangan ini merupakan satu kemenangan yang dinanti-nanti setelah sekian lama. Di facebook saja aku sendiri dapat lihat keseronokan beberapa sahabat akan kemenangan yang diraih oleh Pakatan Harapan ini. Lebih-lebih lagi pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dinanti-nanti oleh penyokong Pakatan Harapan.

Aku juga turut rasa berbangga kerana anak muda (bawah 30 tahun) merupakan antara pengundi yang paling ramai mengundi iaitu melebihi 40% dari keseluruhan yang turun mengundi. Ini menunjukkan anak muda sebaya aku semakin sedar akan kepentingan mengundi ini. Tidak perlu untuk turun ke jalanan untuk mengubah kerajaan. Tidak perlu rusuhan, atau mogok yang berlebihan di negara kita. Cukup dengan turunnya kita semua mengundi. Jika sebelum ini seringkali juga aku dengar di kaca televesyen di mana peratusan anak muda yang turun mengundi kurang memberangsangkan. Kini, tidak lagi. Berani aku kata angin perubahan yang terjadi untuk PRU 14 ini merupakan 'tsunami anak muda'. Hehehe

Secara peribadi aku juga berasa teruja akan perubahan yang telah terjadi ini. Pada masa juga berdebar-debar akan apakah perubahan yang bakal berlaku. Diharap kerajaan yang baru dibentuk ini memberi manfaat yang besar kepada agama, negara dan bangsa. Tidak dinafikan, aku agak bimbang akan kelompok-kelompok liberal, pendukung LGBT dan beberapa golongan sekular yang lain yang mengharapkan kerajaan yang baru dibentuk ini membela apa yang mereka panggil 'hak-hak' mereka. Kerisauan utama aku sudah tentu kepada geng LGBT ini. Dan tidak terkecuali juga geng-geng liberal yang ingin sangat institusi agama seperti JAKIM dihapuskan.

Perdana Menteri baru kita juga telah menamakan beberapa menteri seperti Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), Mat Sabu (Menteri Perdagangan) dan Tan Sri Muhyidin Yassin (Menteri Dalam Negeri). Tun M juga telah melantik lima panel Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada mereka yang bukan calang-calang orangnya iaitu:
1. Tun Daim (bekas Menteri Kewangan)
2. Tan Sri Zeti Aziz (bekas Gabenor Bank Negara)
3. Tan Sri Hassan Merican (Ketua Pegawai Eksekutif Petronas)
4. Tan Sri Robert Kuok (Tokoh Korporat)
5. Prof Dr Jomo (Ahli Ekonomi)
Mereka ditugaskan untuk membantu kerajaan dalam membentuk dasar dan program bagi membantu kerajaan melunaskan janji 100 hari Pakatan Harapan ini.

Sebagai pelajar kursus Pendidikan, sudah tentu apa yang dinanti-nantikan oleh aku adalah Menteri Pelajaran/Pendidikan yang baru. Sudah tentu isu yang aku nanti-nantikan adalah isu posting bakal-bakal guru. Hehehe.. Harap dipermudahkan.

Apa-apa pun sekali lagi aku sebut, sudah tentu harapan kita supaya kepimpinan yang baru ini membawa negara kita bukan saja maju secara luaran malah dalaman juga maju. Aku sedar adab sesama kita sudah semakin terhakis dek kerana ketaksuban kita terhadap pandangan politik kita. Apatah lagi melihatkan beberapa hinaan kepada Yang Di Pertuan Agong kita kerana kelewatan angkat sumpah Tun M sebagai Perdana Menteri. Kita juga semakin diasak oleh pendukung liberal, LGBT  dan sekular yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan Islam di negara kita ini.

Kepada penyokong yang partinya kalah... usah sedih-sedih. Mainkanlah peranan sebagai pembangkang sebaiknya dengan 'check and balance' kepimpinan baru ini.

Sekian