Alhamdulillah kita dipertemukan lagi dengan bulan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ramadan Al-Mubarak datang lagi dengan berjuta rahmat, dan ganjaran yang menanti kita. Bulan yang mendidik kita untuk menjadi seorang insan yang bertaqwa. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang kurang eloklah orang kata tu yang sentiasa kita semua atau sebahagian daripada kita lakukan dalam bulan Ramadan.
1. Pembaziran
Benda ni memang lumrah. Bukan di Malaysia saja malah di negara-negara Islam yang lain. Seharusnya di dalam bulan Ramadan inilah kita boleh berjimat cermat dalam bab pemakanan. Namun sayang seribu kali sayang, di kala waktu berbuka puasa umpama pesta makanan jadinya. Nak-nak lagi kalau beli makanan di bazar ramadan. Semua makanan nak beli kalau boleh. Tapi bila waktu berbuka saja, hanya sedikit yang dimakan. Walau macam mana kita menyaksikan pembaziran itu seumur hidup kita, kita sentiasa mengulanginya. Kadang tu tanpa rasa bersalah. Bukankah orang yang membazir itu diibaratkan sebagai saudara syaitan? Ramadan seharusnya mendidik kita menjadi seorang Muslim yang bertaqwa, tapi kita? Bila masuk Ramadan mula membazir. Astaghfirullah.. T.T
2. 8 atau 20?!!!
Ini memang sentiasa diperdebatkan sejak zaman dulu lagi. Aku rasa sebelum merdeka agaknya dah digaduhkan. Cuma isu ini semakin luas merebak sejak ada media sosial ni. Aku rasa kita semua ni mesti dah muak dengar perdebatan ni. Tapi sekarang aku rasa isu ni dah mula senyap dan diharap kekal senyap tanpa perlu diperdebatkan lagi. Walaupun aku selalu terdengar golongan berusia masih memperbesarkan isu ini, tapi aku harap kita yang muda-muda ni dah boleh terima. Bayangkanlah, kita ni diasak musuh Islam dari segenap penjuru. Takkan kerana perkara khilaf ni kita nak berpecah? Tolak ansur itu perlu. Bukan dalam isu rakaat terawih di bulan Ramadan saja. Isu wirid selepas sembahyang, bacaan yasin pada malam jumaat, talkin, sambutan maulud dan banyak lagi. Tak perlu diperbesar-besarkan isu yang remeh temeh ni lagi. Banyak isu besar yang boleh kita fikirkan solusinya bersama-sama.
3. Ramadan Muslim
Ini normal. Serius normal. Dan tak ada apa salahnya. Aku agak hairan dengan orang yang suka sindir orang yang nak buat baik dalam bulan Ramadan ni. Apa masalah dia eh? Eh baguslah orang nak datang masjid & surau dalam bulan Ramadan ni. Walaupun sebenarnya memang lagi elok kalau dikekalkan sehingga keluar dari bulan Ramadan tapi sekurang-kurangnya mereka masih fikir untuk merebut ganjaran pahala di dalam bulan Ramadan. Tak kurang pahala kau kalau orang yang jarang ke masjid datang masjid dalam bulan Ramadan. Kau kutuk dia yang buat kurang pahala tu. Sedangkan sahabat Nabi pun menambah amalan di bulan Ramadan. Kau rasa dengan amalan kau yang kononnya banyak tu cukup untuk kau memandang rendah orang lain. Eh terlebih marah pulak aku kan...
4. Persiapan raya
Yang ni aku rasa semakin berkurangan mungkin. Sebab sekeliling aku dah mula kalau sebut raya je diorang akan kata tak ada nak fikir apa sangat pun. Sambut apa adanya. Kadang-kadang aku rasa kita ni dah mula sambut puasa dengan meriah lebih daripada raya. Dah macam orang-orang Arab gitu. Tak ada dah acah-acah dramatik raya nak ada itu ini bagai. Kuih pun banyak kuih tunjuk. Lemang pun kalau teringin merata jual sepanjang tahun. Tak ada jumpa lemang cuma di pagi raya saja. Ketupat palas pun dah selalu sangat jumpa. Cuma ketupat anyam biasa tu memang jumpa time raya aje la. Yalah mungkin susah nak anyam tu yang cuma jumpa time raya je. Tapi serius, lagi elok bulan Ramadan ni fokus habis untuk cari ganjaran pahala je. Persiapan raya tu siap ala kadar pun ok. Walaupun ya aku tak nafikan di penghujung Ramadan, jumlah jemaah yang datang terawih semakin berkurangan. Agak aneh di situ. Seharusnya kita menambah amalan kita dah nak hujung-hujung Ramadan ni. Nak kata persiapan raya tu takkan tiap-tiap malam kau bersiap? Nenek aku pun suruh aku gantung langsir lepas aku balik terawih. Ya tak dinafikan kita kena bersangka baik mungkin saja yang tidak berterawih itu tidur awal untuk berqiamullail.
Kesimpulannya, bulan puasa ni sama-samalah kita berubah ke arah kebaikan. Tujuan utama berpuasa pun menjadikan kita seorang yang bertaqwa bukan sahaja di dalam bulan Ramadan sahaja, tapi apabila kita keluar dari Ramadan kita mengekalkan ketaqwaan kita. Kita (termasuk aku) walaupun masih jauh untuk itu, tapi apa salahnya kita cuba sedikit demi sedikit. Bukankah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Sekian.