Khamis, 19 Mei 2016

RAMADAN SEMAKIN HAMPIR.. ^_^

Dalam dua tiga minggu lagi kita bakal menghadapi bulan Ramadan. Ok la, sebenarnya aku tergerak nak tulis pasal Ramadan sebab 7 Jun 2016 (2 Ramadan 1437 ke berapa hijrah?) aku ada program Iftar bawah Persatuan SEEDS (Science Education Society). Aku bawah AJK Program. Jadi kami cadang nak buat tayangan video dalam 15 minit. Jadi aku pun menjelajah Youtube cari video-video pasal Ramadan. Dan, hasilnya, aku tak tau nak pakai video mana tapi tergerak pulak nak menulis.

Ok, aku tak tau nak bermula dari mana, tapi macam kita semua tau laa, bulan Ramadan ni bulan paling mulia dalam kalender Islam. Dan kita, sebagai orang-orang yang beriman wajib menjalankan ibadah berpuasa di siang hari sepanjang bulan Ramadan pada yang berkemampuan bersesuaian dengan dalil yang terkenal :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Di sini jelas dia sebut, 'orang-orang yang beriman'. Jadi ayat ini diturunkan di Madinah. Maka, sewajarnya kita sedar untuk menjadi seorang yang beriman, kita perlulah menunaikan ibadah puasa ni.

Lalu apa tujuan kita berpuasa? Ya dalam ayat ni disebut dengan jelas tujuan kita berpuasa adalah 'agar kamu bertaqwa'. Allah nak didik kita jadi orang yang bertqawa. Apa maksud taqwa. Buka buku Pendidikan Islam ada sebut, 'melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang Allah..' Ini yang aku ingat laa. Jadi apakah dengan berpuasa sahaja kita menjadi seorang yang bertaqwa. Jawapan dia mestilah tak. Yelah kalau kita puasa tapi tak solat, taqwa ke tu?

Berpuasa ni tujuan utama dia macam aku sebut tadi Allah nak kita jadi orang yang bertaqwa. Salah satu cara untuk didik kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Itu sebab, berpuasa ni bukan setakat menahan lapar, dahaga dan bersetubuh sahaja, tapi kita kena tahan diri buat segala apa yang dilarang. Dan itu sebab di bulan Ramadan, syaitan dari golongan jin diikat. Sebab Allah nak memudahkan kita beribadah di dalam bulan Ramadan. Allah nak memudahkan kita memperbaiki diri kita sepanjang bulan Ramadan. Supaya bila kita keluar dari bulan Ramadan, kita dapat sesuatu yang positif atau kebaikan atau seumpamanya.

Tapi malang sekali, berapa ramai antara kita (termasuk aku) yang berjaya dapat kebaikan tu? Sepatutnya dalam setiap kali kita keluar daripada Ramadan, kita jadi seorang yang lebih baik. So, sepatutnyalah, iman kita meningkat setiap tahun. Tapi masih ditakuk lama. Mungkin sebab 'mind-set' kita bulan Ramadan ni bulan ibadah tapi bila masuk Syawal, dalam kepala kita apa? Nak beraya atau teruskan ibadah bulan Ramadan tu? Selalunya kita tak teruskan pun kan.. T.T

Baru tadi aku dengar ceramah Ustaz Saiful kat Surau Ibnu Sina ni, dia ada sebut kat sini kalau satu Ramadan jemaah yang hadir melimpah ruah, tapi bila semakin susut hari demi hari. Aku rasa kat mana-mana pun macam tu. Pelik kita ni kan, awal Ramadan bukan main kita ke masjid tapi akhir Ramadan sibuk fikir raya. Sedangkan kita sendiri tahu 10 malam terakhir ada satu malam Lailatul Qadar, malam lebih baik dari seribu bulan.

Ok, aku sendiri pun tak tau apa aku merepek. Nak kongsi sikit Ramadan tahun 2014 aku. Kira ini merupakan Ramadan paling bermakna dalam hidup aku. Pertama sekali, buat pertama kali aku berjaya khatamkan satu Al-Quran untuk Ramadan. Rasanya tu je la sekali. Tahun lepas tak dapat. Ramadan 2014 (aku lupa tahun hijrah dia sebenarnya.. ) juga merupakan bulan yang betul-betul berjaya mengubah aku sikit. (tak banyak... sikit je..). Masa Ramadan tahun tu laa aku paksa diri aku pergi Subuh berjemaah dekat Masjid UPSI (masa tu aku masih diploma kat UPSI) dan solat-solat fardu yang lain aku berjaya berjemaah. Alhamdulillah aku berjaya kekalkan jugak lepas Ramadan tu walaupun kadang-kadang selalu je terlepas berjemaah kat masjid.

Dan Ramadan tahun 2014 masihi tu juga aku mula kenal dan rapat dengan masjid. Sebelum ni aku ke masjid solat jumaat je. Masa tu aku baru faham apa maksud bila ada ustaz-ustaz umpamakan Ramadan ni dengan madrasah. Sebab sepatutnya bulan Ramadan ni dia didik kita menjadi lebih baik. Jadi bila keluar kita jadi seorang hamba Allah yang meningkat ketaqwaannya.

Ok, akhir kata (uishh terus akhir kata...) untuk Ramadan tahun ni, kita tanamkan azam untuk kita berubah. Tak perlu tergesa-gesa sangat 1 Ramadan nak terawih 20 rakaat tahajjud sampai berpuluh-puluh. Buat perlahan-lahan pun tak apa. Masa Ramadan 2014 aku tu pun, awal-awal Ramadan, terawih aku dua rakaat je. Kadang-kadang lepas Isyak aku terus blah. Tapi Alhamdulillah aku usaha jugak sepanjang Ramadan tu tambah rakaat tarawih. Sampai lapan je, yelah masjid universiti selalu buat lapan je.

Semoga ramadan kali ni bermakna buat kita. Dan sama-sama kita doa Allah panjangkan umur kita sehingga Ramadan dan permudahkan usaha kita untuk berubah. Mula dari sekarang lagi elok. Tak payah nak tunggu Ramadan. Nanti dah masuk Ramadan senang, tinggal nak tambah dan tambah lagi je. Ok, sekian karangan aku ni. Ambil yang baik, yang tak betul tu janganlah ambil. :)


Ahad, 15 Mei 2016

Nakbah dan Hari Guru

16 Mei setiap tahun, kita menyambut Hari Guru. Sambutan yang kita semua pernah merasainya semasa di sekolah. Hari kita menghargai guru-guru kita atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka setiap tahun. Tidak dinafikan, sumbangan para guru dalam melahirkan generasi yang cemerlang amat besar. Guru merupakan salah satu kelompok atau komuniti yang sangat-sangat penting dalam sistem masyarakat kita dalam mencorak generasi akan datang. Lebih-lebih lagi di zaman serba moden ini, cabaran guru semakin sukar setiap tahun. Dengan kerenah pelajar yang semakin banyak ragamnya, 'kerja-kerja' selain mengajar yang perlu diselesaikan, dan ditambah pula oleh kerenah ibu bapa pelajar yang tak sedar diri.

Di kesempatan ini, sempena Hari Guru esok, terima kasih kepada semua cikgu, sir, teacher, ustaz dan ustazah, pensyarah dan semua tenaga pengajar yang pernah mengajar saya secara langsung atau tak langsung. Segala jasa tidak mampu untuk dibalas. ^_^ (ayat klise sangat rasanya.. huhu)

Tarikh sambutan Hari Guru Malaysia ini juga berdekatan (sesetengah kata sama) dengan tarikh hari penting di dalam Sejarah Umat Islam. Tanggal 15 Mei (atau 16 Mei atau 14 Mei.. perbezaan ini mungkin atas faktor perbezaan masa di setiap negara) 1948. Sejarah hitam untuk kita umat Islam. Hari di mana tanah Palestin dirampas secara rasmi dan jatuh ke tangan Yahudi Zionis. Semenjak Nakbah, rakyat Palestin merana dan terus merana sehingga ke hari ini. Tanah mereka dirampas, dibom dan sebagainya. Kini, setelah 68 tahun sejak peristiwa Nakbah, nasib rakyat Palestin masih belum terbela. Malah, negara-negara di sekitarnya seperti Syria menjadi semakin huru-hara.

Lalu, apakah kaitan di antara Hari Guru Malaysia dan Nakbah ini? Secara umum memang tak berapa nampak perkaitannya. Apa yang aku cuma nampak, peranan guru dalam memberi kesedaran kepada pelajarnya (khusus kepada yang beragama Islam) tentang penderitaan rakyat Palestin. Bukan sahaja Palestin tetapi kita lihat jiran-jiran di sekitarnya, Syria. Tanah Syria sedang bergolak. Syria dan Palestin termasuk dalam Tanah Syam. Memang di akhir zaman, tanah Syam bakal bergolak sebelum kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa untuk mengalahkan dajjal laknatullah.

Apa peranan kita? Apa yang sudah aku lakukan untuk membantu mereka? Hanya kata maaf yang mampu aku beri kerana hanya mampu berdoa serta menyumbang sedikit. T.T