Agama Islam bermula di Tanah Arab. Di mana pada ketika itu, berdirinya dua kerajaan yang hebat iaitu Kerajaan Romawi dan Kerajaan Parsi. Dua buah kerajaan yang sangat digeruni. Penduduk Arab pada ketika itu hanya dianggap sebagai orang gurun dan tidak bertamadun. Tetapi selepas kehadiran Islam, penduduk tanah Arab yang dianggap tidak bertamadun berjaya menumbangkan Kerajaan Parsi dan berjaya membuka tanah Syam, Palestin, Mesir dari belenggu Kerajaan Romawi.
Jika di Arab, berdirinya beberapa kerajaan yang sangat hebat seperti Kerajaan Khulafa' Ar-Rasyidin, Kerajaan Bani Umaiyah dan Kerajaan Bani Abbasiyah. Berdiri juga sebuah kerajaan yang bertahan selama 6 abad iaitu Kerajaan Uthmaniyah yang berpusat di Turki di mana pada ketika itu wilayahnya merangkumi tiga benua malah sehingga ke Makkah dan Madinah.
Di Eropah Barat, kita masih dapat melihat sisa-sisa tinggalan Kerajaan Islam di Andalusia atau lebih dikenali Sepanyol pada masa kini. Di India, kita diserikan pula dengan Kerajaan Islam Moghul atau Monggul yang diperintah oleh raja-raja berketurunan Monggolia di mana nenek moyang mereka pernah menghancurkan Islam tetapi kerana keindahan Islam hampir seluruh bangsa Monggol menganut Islam.
Dan sejarah umat Islam semakin harum mewangi bila kita melihat di kawasan nusantara di mana berdirinya beberapa Kerajaan Islam di sana seperti di Acheh, Melaka dan Jawa. Kita dapat lihat kehebatan orang-orang nusantara pada ketika itu dalam memartabatkan agama Islam dalam kehidupan mereka.
Namun itu semua hanya tinggal sebuah kenangan yang indah buat kita, seorang yang beragama Islam kerana pada zaman sekarang tiada satu pun negara Islam yang berjaya menggugat orang-orang kafir malah orang-orang kafir pula yang mengancam kita dan kadangkala hidup kita bertuankan mereka.
Kita lihat di Mesir, tanah suci Palestin dan bumi Syam. Apakah yang sudah jadi kepada ketiga-tiga tanah yang penuh barakah itu? Di bumi Parsi pula kesucian Islam tercemar apabila pemerintahan di sana di ambil alih oleh puak Syiah. Walaupun sesetengah pihak berpendapat Syiah ini hanyalah sebuah fahaman dalam Islam tetapi ia umpama racun untuk umat Islam yang berpegang teguh dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malahan puak Syiah sendiri melaknat ramai sahabat Nabi SAW yang berjaya meluaskan empayar Islam ke merata dunia.
Kita lihat pula di India, umat Islam di sana walaupun tidak begitu bergolak ataupun disiksa tetapi ada juga beberapa hak-hak mereka dirampas. Contohnya, mereka dilarang membawa pulang air zam zam ke negara India.
Kita lihat pula di Rohingya di mana saudara kita di sana dibunuh begitu sahaja. Tiada siapa yang dapat membela nasib saudara-saudara kita di sana.
Di Eropah pula sudah ada gerakan-gerakan yang didalangi oleh musuh-musuh Islam untuk menyekat pertambahan populasi penduduk Islam di sana. Malah ada negara Eropah seperti Perancis yang melarang rakyatnya memakai tudung.
Malah, semuanya lebih jelas selepas peristiwa 11 September 2001 di mana orang-orang Islam dituduh bertanggungjawab atas serangan ke atas World Trade Center. Malah selepas peristiwa tersebut, orang-orang Islam dituduh sebagai pengganas. Al-Qur'an dikatakan kitab yang menggalakkan keganasan. Sehingga kini, walaupun peristiwa tersebut sudah lebih 10 tahun berlalu, namun masih ramai orang-orang bukan Islam yang berpandangan Islam merupakan agama keganasan.
Di mana kekuatan kita dahulu? Di mana semangat kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW? Semuanya hilang dek kerana hanyut dengan nafsu. Kita semua sudah jauh hanyut dibuai mimpi-mimpi indah dan terpengaruh dengan budaya-budaya orang bukan Islam sehingga kita mengetepikan budaya kita sebagai orang Islam. Sesungguhnya kita, sudah lemah dan rosak. Semoga Allah memelihara kita dari segala fitnah akhir zaman..
Mungkin ramai yang akan berkata, ini semua kerana konspirasi jahat manusia-manusia yang terlibat dalam pergerakan Freemason dan Illuminati. Tak perlu saya huraikan apakah penglibatan mereka semua kerana ramai yang sudah tahu dengan lebih mendalam mengenai gerakan jahat ini. Tapi adakah konspirasi mereka lebih hebat? Mereka kelihatan hebat kerana kita lemah. Di manakah kita ketika Subuh? Adakah di masjid ataupun di rumah? Sedangkan sembahyang Subuh berjemaah di masjid itu, antara perkara yang sangat takut oleh musuh Islam jika kita lakukan.